Monday, December 15, 2008

MELAHIRKAN MAJALAH 3 - 04


Apabila Pengurus Berita TV3, Subohi Yatim pulang dari Ibupejabat TV3, di Jalan Syed Putra (Jalan Lornie) ke Studio TV3, di Jalan Liku, Bangsar. Aku dipanggil ke pejabatnya. Selaku Utility Producer aku diminta menyiapkan sebuah rencana khas atau dokumentari mengenai Bangunan UMNO dan Kompleks Pusat Dagangan Dunia Putra atau lebih dikenali dengan Putra World Trade Centre, PWTC yang mahu dirasmikan pembukaannya.

Kerana belum ada pengalaman dalam bidang TV, aku naik pening kepala pada mulanya kerana belum tahu pendekatan membuat sebuah dokumentari mahupun majalah. Di samping itu, aku juga terpaksa melakukannya sendirian kerana belum ada wartawan. Walaupun aku seorang Penerbit, akulah juga Wartawan, Penolong Penerbit dan Pembantu Penerbit untuk unit Ehwal Semasa ini.

Namun, apa yang penting dibuat ketika itu ialah menyiapkan skrip mengenai tugasan yang diberi. Maka bermulalah tugasku sebagai Penerbit Majalahone off - dan pada waktu yang sama meneruskan tugas pengganti Penerbit Berita BM dan Penerbit Berita Bahasa Inggeris yang bercuti mingguan. Ini bermakna aku mempunyai masa sehari sahaja untuk mengumpulkan bahan bersama jurukamera, menyunting bersama Editor dan membuat Post Production. Dapat juga aku siapkan program khas itu dan disiarkan sebagai rancangan bercorak Ehwal Semasa TV3 sempena pembukaan Bangunan UMNO.

Selepas penyiarannya itu, Pengurusan TV3 mahukan beberapa lagi rancangan seperti itu. Ketika mahu bermesyuarat ke ibupejabat TV3, Subohi bertanyakan aku - nama slot yang mahu diberikan untuk rancangan minggun ehwal semasa yang akan disiarkan setiap minggu. Pada ketika itu kepalaku berserabut kerana terlalu banyak perkara yang mahu dipikirkan dan aku tidak mempunyai apa-apa idea mengenainya. Tetapi kerana desakan Subohi itu, secara spontan memberitahunuya, namakan sahaja Majalah Tiga, sempena Majalah TV3.

Mesyuarat pengurusan TV3 hari itu, menyetujui nama Majalah 3 dan bermulalah aku menghasilkan beberapa rancangan Ehwal Semasa di dalam slot Majalah 3.

Dengan adanya slot itu, bermulalah tugasku sebagai Penerbit Majalah 3. Aku melakukannya sepenuh masa, dan tugas-tugas Utility Producer itu terus dilakukan dan apabila terlalu sebok , Fuad Salim dari Berita Harian Singapura yang menjadi Penolong Pengurus Berita menggantikan aku.

Apa yang memeningkan kepala pada peringkat awal sebagai Penerbit Majalah3 ialah tiadanya sokongan kelengkapan khususnya kamera. Pak Samad Ismail selaku Penasihat Editorial TV3 sendiri mengarahkan sekiranya aku mahukan kamera ia hanya boleh digunakan pada sebelah malam - selepas selesai urusan liputan berita keseluruhannya.

Cadangan ini sungguh membebankan, sehingga aku sendiri bertemu Pak Samad dan memberitahunya, sekiranya aku diberikan kamera sebelah malam, Majalah 3 akan hanya menghasilkan 3P, iaitu Pondan, Pelacur dan Penunggang Motosikal Haram selepas jam 12 malam. Pada masa itu istilah Mat Rempit masih belum wujud. Menyedari keperluan ini serta tuntutan mengadakan sebuah program setiap minggu, barulah aku diberi bantuan seorang Jurukamera.

Dalam penerbitan Majalah 3, aku memberi pendekatan, People like to see People. Iaitu percubaan melahirkan rancangan ehwal semasa mengenai paparan penghidupan orang biasa. Tajuk-tajuk seperti kereta buatan sendiri, pengemis asing, pemandu teksi bina rumah sendiri, rumah api dan pelbagai lagi. Program ini memberi pendekatan baru dalam penerbitan majalah dan cuba lari daripada penghasilan rencana yang sedia ada yang berteras propaganda megenai kejayaan projek pembangunan kerajaan di stesen television yang sedia ada.

1 comment:

farid azlan ghani said...

Assalamualaikum En Mohd Salleh..saya bercadang untuk menjemput tuan memberi taklimat dalam satu sesi bengkel penerbitan rancangan majalah TV. Sudi kiranaya tuan berikan cara untuk saya berhubung dengan tuan untuk selanjutnya. Tuan boleh jua menghubungi saya melalui email saya farid.ghani@aiti.gov.bn

Terima Kasih

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...