SETELAH berehat empat hari di Helsinki, Findland aku dan Ibrahim bertolak ke pelabuhan Silja Line. Dari sana kami berangkat ke Stockholm dan Copenhagen sebelum bertukar keretapi ke Hamburg, Germany. Sedang aku melihat keindahan alam sekeliling dengan pulau-pulau kecil dari atas kapal, seorang pemuda menghampiri aku. Dia juga dari malaysia dan kini sedang menuntut di Norway di bidang Perkembangan Tenaga Hydro. Pemuda bermisai tipis itu rupa-rupanya telah lama memerhatikan aku. Pada mulanya dia sangsi, sama ada aku berasal dari Malaysia. Maklum sahajalah, orang Thailand, Filipino serta Vietnam juga berkulit sawo matang sebagaimana orang Melayu. Namanya Mazlan Ali, dan bertugas di Lembaga Letrik Negara.
Waktu makan malam, Ibrahim bersama kami di Cafetaria kapal. Barang makanan di dalam perjalanan pulang itu lebih murah dibandingkan waktu pergi. Kami berbual rancak tanpa disedari penumpang lain di situ memerhatikan. Mereka merasa agak pelik dengan perbualan kami yang asing di telinga. Tetapi tidak seorang pun yang datang bertanya. Kerana kesempitan waktu, kami terpaksa menolak pelawaan Mazlan singgah ke rumahnaya di Oslo.
Dari Stockholm kami berpisah dengan Mazlan dan berjanji akan bertemu di Malaysia satu hari nanti. Kami mengambil keretapi ekspress ke Copenhagen dan seterusnya ke Hamburg. Aku bercadang mencari rakan tanahair di Hamburg. Oleh kerana kami tiba jam tiga pagi, terpaksalah kami ”tidur duduk” di stesen menantikan hari siang. Aku berkeyakinan penuh boleh menemui rakan-rakan sebangsa, sekurang-kurangnya dapatlah menumpang untuk merehatkan badan.
Setelah hari siang, kami merayau sekeliling kota mencari manusia berkulit sawo matang dengan harapan dapat menemui rakan yang dimaksudkan. Bagaimnnapun sehingga lewat petang, satu batang hidung Melayu pun tak bersua.
Petang itu kami mengubah rancangan. Kami mengambil keputusan meneruskan perjalanan ke ibu negara German Barat, Munich. Oleh kerana terlalu letih, kami mengorbankan wang RM22 untuk mendapatkan tempat tidur di dalam keretapi.
Jam sembilan malam, keretapi meluncur laju meninggalkan stesen Hamburg menuju ke destinasi Munich. Kami tiba ke tempat yang dituju jam 8.30 pagi esoknya.
Sebelum berbuat apa-apa, kami menuju ke kedutaan Austria di Munich untuk mendapatkan visa ke Vienna, Austria. Setelah selesai urusan visa, kami menaikki bas pelancong melihat sekitar kota Munich dengan harapan boleh meneruskan perjalanan ke Vienna malam itu juga. Tanpa membuang wang untuk tidur di hostel belia di Munich, ”Hostel” dalam keretapi telah sedia ada.
Munich adalah sebuah kota yang tersusun, kaya dengan bangunan bentuk Gothic lama. Bangunan-bangunan lama dipelihara dengan teliti. Adalah ditaksirkan kira-kira 40% daripada bangunan lama di kota itu musnah akibat peperangan. Antara bangunan yang masih kekal ialah bangunan Lieb-franenkirche yang didirikan pada kurun ke 15.
Bas pelancong sempat membawa kami ke Stadium Olimpik Munich yang kini menjadi pusat pelancungan. Selesai sehari suntuk di kota ini, kami pulang ke stesen keretapi untuk menymbung perjalanan ke Vienna.
No comments:
Post a Comment