Monday, December 8, 2008

BERTEMU MELAYU DI ZURICH -15

Kami tiba ke destinasi yang dituju jam 5 petang waktu tempatan. Memandangkan sewa hotel terlalu mahal, kami meninjau dahulu sekiranya ada asrama belia yang lazimnya terdapat di bandar-bandar penting untuk kemudahan pengembara seperti kami.
Setelah berputar-putar kira-kira setengah jam, ditemui juga tempat yang dimaksudkan.

Kami dikenakan bayaran kira-kira $10, berbanding dengan sewa hotel atau motel yang terlalu mahal di negara pelancungan ini.

Esoknya, kami tidak ke mana-mana. Kami hanya melawat sekitar kota yang menjadi tumpuan pelancung. Oleh kerana kesempitan wang ditambah dengan harga barang makanan yang begitu mahal, kami mengubah rancangan dengan menyingkatkan lawatan.

Kalau air kopinya saja berharga hampir $20 secawan, bayangkanlah barang makanan lain.

Setelah malam tiba, kami meninggalkan Interlaken menuju Zurich. Dengan tidak di sangka-sangka, setibanya di kota itu, kami menemui empat pelajar Malaysia yang secara kebetulan juga ialah bekas penuntut ITM. Mereka mengambil ijazah setelah menyelesaikan Diploma di Malaysia di bidang pengurusan hotel.

Zurich dan kota lain di Switzerland memang terkenal dengan perusahaan hotelnya. Atas sebab-sebab inilah ramai pelajar Malaysia khususnya dari ITM dihantar melanjutkan pelajaran ke sini.

Oleh kerana kami bercadang untuk meneruskan perjalanan ke Paris sebelum ke Brussels di Belgium untuk menaikki kapalterbang pulang ke tanahir, kami rakamkan rasa sedih kepada rakan-rakan ini kerana tidak dapat bermalam di Zurich. Walau bagaimanapun, kami tidak sampai hati mengecilkan hati mereka yang tidak pernah menerima tetamu tanahair sendiri, lalu kami tunda cadangan untuk berangkat lebih awal ke tengah malam.

Dengan cara demikian, dapatlah kami singgah ke rumah mereka di mana kami dijamu makan nasi goreng ala-Switzerland yang disediakan oleh rakan-rakan ini.

Tepat jam 12 tengah malam, dengan perasaan sayu kami berpisah dengan rakan-rakan yang baru dikenal itu dan berjanji akan bertemu di tanahair di satu masa nanti. Kami tinggalkan kota Zurich dengan penuh kenangan manis.

* Petikan rencana ini disiarkan dalam majalah SELECTA pada Mei 1981.

No comments:

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...