AKU dan Ibrahim Abdul Hamid tiba di kota Venice yang terletak di sebuah lagun bahagian utara Italy jam enam pagi setelah 11 jam berada dalam keretapi dari Vienna, Austria. Kota Venice didirikan di atas 118 buah pulau kecil yang dihubungkan dengan tanah besar Italy melalui beberapa batang lebuhraya dan jalan keretapi. Terdapat kira-kira 160 buah terusan di sekitar kawasan. Bagi menghubungkan kota-kota yang ada, pihak pemerintah terpaksa mendirikan 400 buah jambatan untuk menghubungkan terusan-terusan itu. Perahu ”Gondola” yang begitu popular di kalangan pelancong yang mengunjungi kota itu memenuhi terusan yang ada.
Venice berlainan dari kota-kota lain di Eropah. Ia mempunyai identitinya sendiri. Oleh kerana keperibadiannya itu, tidak hairanlah ia terus menjadi tumpuan pelancung dari seluruh dunia. Di samping keindahan semula jadi ini, kota itu juga mempunyai cerita sedihnya tersendiri. Para penghuninya telah ramai meninggalkan kota ini kerana ia dalam proses ditenggelami air sedikit demi sdikit.
Daripada cerita yang diperolehi, masih ramai lagi penduduknya yang tidak mahu meninggalkan kota kerana di situlah mereka mencari rezeki dari ihasan pelancung yang menyewa hotel, motel serta membeli cenderamata ataupun mereka yang masih ghairah menaiki perahu Gondola.
Setelah difikirikan yang kami tidak mungkin ke sini lagi, seperti pelancung lain kami menaiki Gondola yang terdapat di sepanjang terusan selama 45 minit. Sepanjang perjalanan, pengayuh Gondola itu memberi penerangan ringkas mengenai tempat menarik. Sungguhpun bahasa Inggerisnya tidak begitu lancar kami dapat juga penerangan yang diperlukan.
Setelah lewat petang dan merasa letih berpusing di sekeliling kota, kami kembali semula ke stesen keretapai. Kami bercadang meninggalkan kota itu untuk menuju ke Brandisi untuk menyambung perjalanan ke Athens, Greece.
Lewat tengah malam keretapi menggelongsor meninggalkan stesen pusat menuju Brandisi. Sepanjang perjalanan kami terlelap kerana terlalu letih berjalan di siang hari. Kami tiba di stesen Brandisi pagi esoknya. Bagi menantikan kapal yang akan membawa kami ke Athens, kami berbaring di tepi pantai berhampiran pelabuhan. Kapal hanya belayar di sebelah malam.
Jam 9.00 malam, barulah kami dibenarkan menaiki kapal. Setelah ke dalam, barulah kami sedar yang kami terpaksa tidur di Dek sahaja. Bagaimanapun, kami bernasib baik kerana membawa ”Sleeping Bag” dan ini d membantu kami membungkuskan badan daripada kesejukan angin laut. Ada di kalangan pengembara yang senasib dengan kami terpaksa tidur di atas Dek tanpa bekalan pakaian panas dan terpaksalah bersejuk sepanjang malam. Mereka tidak menyangka diletakkan di Dek untuk berbaring tanpa kerusi serta tanpa diberi ruangan untuk melindungi diri daripada kesejukan malam.
* Petikan rencana ini disiarkan di dalam Majalah Selecta bagi bulan Mac 1981
No comments:
Post a Comment