Monday, December 8, 2008

MENARA CONDONG PISA - 13


Sebagaimana di Greece, barang makanan di Rome juga adalah murah dibandingkan dengan bandar-bandar lain di Eropah. Kami mengambil kesempatan dari peluang yang ada untuk makan lebih sedikit daripada biasa. Maklum sahajalah, badan pun sudah susut kerana bukan sahaja makan tak cukup sepanjang pengembaraan, tetapi juga tak cukup tidur. Masakan cukup tidurnya, kalau sepanjang perjalanan, tempat tidur hanyalah dalam keretapi.

Sekiranya diteliti, orang-orang Italy adalah agak berbeza dengan orang Eropah lain. Mereka cepat mesra dengan orang luar seperti orang Greece.

Walau bagaimanapun, ketika berbual, orang Italy sering kali meninggikan nada suara dan ini boleh menimbulkan salah faham bagi mereka yang tidak mengetahui sifat-sifat ini. Kadangkala agak sukar membezakan bila masa mereka berbual dan bila masa pula mereka bertengkar. Ini adalah ciri-ciri jelas yang boleh diperhatikan bagi membezakan mereka dengan bangsa Eropah lain.

Setelah puas melawat sekitar kota Rome sepanjang hari, kami pulang ke stesen keretapi untuk mengambil bag yang disimpan.

Kami bercadang berehat selama semalam sebelum menyambung perjalanan ke Pisa. Kami bercadang tidur di Rumah Tumpangan Belia dan bertolak di sebelah pagi ke Pisa di mana terdapat Menara Condong Pisa.

Keesokan hari, kami berada di Pisa. Apa yang menarik mengenai menara Pisa ini ialah ketelitiannya ketika ia dibina. Tidak hairanlah kerana ketelitian ini sehingga menyebabkan pembinaan menara itu hanya disiapkan selepas 99 tahun.

Pembinaan yang dimulakan pada tahun 1174 oleh Bonano Pisamp itu hanya disiapkan pada tahun 1273, oleh Giovanni di Simone.

Menara 8 tingkat itu kami naiki sampai ke puncak. Ia mempunyai 294 anak tangga dan tingginya bangunan daripada pangkal ke puncak ialah kira-kira 56,075 kaki.

Di puncak menara itu diletakkan tujuh buah loceng yang mempunyai tujuh nota lagu yang berlainan. Daripada puncak itulah Galileo Galilei menjalankan ujiannya mengenai kuasa graviti.

Oleh kerana kesempitan masa ditambah dengan tiada tempat menarik lain yang berhampiran, kami meninggalkan Pisa dan keindahannya untuk menuju ke Florence.
Florence adalah sebuah lagi bandar di Italy yang kaya dengan karya-karya seni halusnya.

Selepas berada di Florence selama sehari, kami kembali ke Rome bagi membolehkan kami meneruskan perjalanan ke Switzerland.

* Petikan rencana ini disiarkan dalam majalah SELECTA pada April 1981.

2 comments:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...

the opposite

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...