Saturday, December 6, 2008

TERSADAI DI NEW YORK DENGAN 5 SEN - 06

HARI pertama tahun 1979. Keadaan kewangan kurang mengalakkan. Tapi rasa optimistik, kerana seorang kawan dari Boston akan tiba di New York bersama-sama wang lebih untuk dipinjam. Apabila perut lapar, Mansor Putih, mengajak ke China Town untuk mencari nasi goreng. Tiba di sana disambut pula dengan perarakan mengalu-alukan perhubungan diplomatik antara Beijing dan Washington. Di sudut lain, satu kumpulan lain berdemonstrasi anti perhubungan diplomatik itu. Mereka ialah golongan pro-Taiwan. Polis New York memenuhi kawasan China Town di Canal Street mengawal keadaan dan memastikan tidak berlaku perkelahian ideologi antara mereka yang mengambil bahagian.

Selesai makan, Mansor membawa kami ke Bangunan World Trade Center. Bangunan setinggi 107 tingkat itu adalah yang tertinggi di New York. Kami mengorbankan US1.50 untuk naik ke atas bangunan untuk menyaksikan hutan batu di sekeliling New York.

Hari kedua tahun 1979 matahari menjenguk muka. Tapi panasnya tidak dirasakan. Angin sejuk mengalahkan bahang panas menyebabkan kami bertiga terketar-ketar di dalam feri yang membawa kami ke Statute of Liberty. Baju tebal yang dipakai tidak memberi kesan. Selesai memanjat patung yang melambangkan kebebasan dari hujung kaki ke kepala, kami bertolak pulang. Kemudian kami singggah di bangunan PBB. Kami ke tingkat bawah untuk minum kopi di kedai PBB. Di situ juga ditempatkan kedai menjual cenderamata negara anggota. Bagaimanapun aku agak terkilan kerana tidak adapun barangan Malaysia. Batik Indonesia serta barang-barang negara jiran menarik minat pelancung.

Pulang awal ke bilik. Kawan dari Boston dijadual tiba jam 8 malam. Lepaslah sesak di dada. Adalah sikit wang untuk digunakan. Jam lapan berlalu. Dia tak juga tiba. Jam sembilan, telefon berdering. Berita cemas diterima.Dia tidak dapat datang. Cuaca buruk di Boston. Aku dan Mustafa diraut bimbang. Dia tak datang bermakna wang yang diperlukan juga tak datang. Hati sedap sedikit apabila diberitahu yang wang akan dikirim. Alhamdulillah.

Esok tidak ke mana-mana. Wang untuk berjalan-jalan sudah habis. Yang ada wang untuk makan. Itupun terpaksa mencari makanan yang murah-murah. Sekeping pizza di sini berharga 40 sen. Pizzalah makanan yang paling murah. Itupun kena makan berdiri. Kalau mahu duduk, kena cari kedai lain dengan harga lebih 20 sen. Berdiri pun berdirilah. Untuk jimat belanja. Mansor sendiri wangnya telah susut. Mustahil baginya menyara kami.

Khamis 4.1.79 – duduk saja di bilik. Wang yang dikirim dari Boston dijadual tiba hari ini. Belum dapat duit sudah berangan-angan hendak makan sedap. Telah dua hari asyik telan pizza dan air sejuk. Wang dikocek tinggal $2.00. Mustafa dah kering. Mansor punya wang lebih sedikit dari kami, tapi kami tidak mahu menyusahkannya.

Wang dijadualkan tiba jam 3.00 petang. Masanya berlalu. Surat tidak juga sampai. Hati yakin akan tiba esok. Hati yang bimbang cuba ditenteramkan. Wangku tinggal seringgit. Yang lebih ku beri Mustafa. Kami pergi makan. Selepas makan kami kira duit. Aku tinggal 5 sen, Mustafa 2 sen.

Esoknya terpaksa pinjam wang Mansor untuk melapik perut. Jam 3.00 petang pergi lagi ke pejabat menerima surat di Universiti Mansur. Tiba di sana, pejabat ditutup bagi menyambut Perayaan Sabbath Yahudi. Harapan menipis. Sabtu dan Ahad memang cuti minggu. Ini bermakna kalau ditunggu wang akan hanya diterima hari Isnin.

Kepala sudah pusing. Ikhtiar mesti dibuat untuk mencari duit untuk pulang ke Boston. Mula menyumpah diri. Kalau dah tahu nak berjalan jauh, kenapa tak dibawa wang lebih.

Teringat kawan sekuliah yang menetap di New York semasa cuti. Mustafa menelefonnya. Dia ada. Kami mengadu hal. Mahu pulang ke Boston. Sudah jemu dengan pizza dan pahit maung New York. Dia faham. Sejam kemudian dia datang...Ketika dalam bas dalam perjalanan pulang termenung mengenangkan kebesaran Tuhan. Dalam sesak-sesak dengan lima sen di kotaraya New York ada juga hamba Allah yang sudi menolong.

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di Berita Minggu di dalam Warkah Salleh Kassim dari Amerika pada 11.02.79.

2 comments:

Andek Heshamuddin said...

1979... Tak sangka, 11 tahun lepas tu... Dapat jejak kaki dan menetap 3tahun di Kota New York... ikut jejak langkah Yayeh. Alhamdulillah

Andek Heshamuddin said...

1979... 11 tahun lepas tu, orang pulak dapat menetap kat New York. 1979 1990; Situasi tetap sama, tiap2 hujung bulan kitorang mesti korek2 sana sini utk carik dime ke, nikel ke... Alhamdulillah... New York tetap Best!

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...