Tuesday, December 2, 2008

MENUJU KE HELSINKI - 05

JAM 8 pagi keretapi ekspress dari Oslo meluncur masuk ke stesen pusat Stockholm. Bandar yang terletak di sebelah timur berhampiran Lautan Baltic itu adalah pusat perdagangan dan perindustrian terpenting Sweden. Ia dikenali panggilan Venice Utara kerana banyaknya terusan yang didirikan di sekeliling kota sebagaimana yang terdapat di Venice. Namun, terusan-terusannya tiada perahu gondola sebegaimana di Venice.

Di stesen keretapi itu, kami berpisah dengan rombongan dari Singapura yang ditemui di Oslo. Mereka mempunyai rancangan lain dan begitu juga kami. Sebagaimana biasa kami bercadang meninggalkan kota Stockholm malam itu juga menuju Finland. Di sana kami bercadang untuk tinggal agak lama sedikit.

Kota Stockholm yang dikunjungi terbahagi kepada yang lama dan baru. Kota lama begitu indah dengan bentuk bangunannya terletak di sebuah pulau – saujana mata memandang. Kota yang lebih dikenali dengan panggilan ”Stadsholmen” atau ”City Island” itu dijaga dengan sebegitu rapi oleh pihak berwajib untuk menarik perhatian para pelancung. Jalan-jalan yang sempit, lorong-lorong berbatu merah menambahkan keindahan semula jadi kota tua itu. Kota yang baru pula dipenuhi dengan hutan batu. Bagaimanapun, ia masih teratur tidak seperti bangunan pencakar langit di Amerika Syarikat.

Tempat lain yang menarik ialah Istana Diraja yang mempunyai 600 buah bilik yang direka oleh Nicodemus Tessin dan dibina antara tahun 1697-1754.

Kami sempat juga melawat pusat membeli-belah di tengah kota yang dikenali sebagai Pedestrian Mall Center. Untuk tandamata daripada lawatan singkat itu, aku beli sebatang paip yang menurut penjualnya adalah yang termurah di Eropah. Harganya hanya RM15 untuk dihadiahkan kepada rakan di tanah air.

Lewat petang kami meninggalkan kota itu menuju ke Pelabuhan Silja Line, iaitu kapal yang membawa kami ke Turku. Kapal akan hanya tiba jam 9.30 malam. Ketika menunggu kapal, sempat juga kami berbual dengan beberapa penumpang yang mempunyai tujuan yang sama ke Findland. Seorang daripadanya bernama Mark boleh berbahasa Inggeris. Mark bertugas di sebuah firma terkemuka di Stockholm dan berulang alik bertugas sebulan sekali ke rumah orangtuanya di Findland. Menurut ceritanya, dia tidak mahu bekerja di Findland kerana kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi adalah kira-kira 50 peratus. Oleh itu beliau lebih suka bekerja di negeri lain. Sambil berjenaka, tetapi bernada serious beliau berkata ”Sekurang-kurangnya kalau Soviet bertindak mengambil alih Findland, kaki saya yang sebelah sudah ada di Sweden”.

Jam 9.30 malam barulah kapal rapat dan para penumpang berebut-rebut untuk mendapatkan tempat duduk. Sesiapa yang lambat bermakna terpaksalah tidur di lantai kapal...

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di Berita Minggu di dalam kolum Catitan Dari Eropah oleh Salleh Kassim pada 28/9/80..


No comments:

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...