Tuesday, December 2, 2008

SEDAPNYA SATEY FINDLAND - 06

SELEPAS tiga jam di dalam keretapi dari Turku barulah tiba di Helsinki. Ibrahim menelefon kawannya Marti. Setengah jam kemudian Marti muncul di stesen dan terus membawa kami makan di salah sebuah restoran jagaannya. Sebagai seorang lepasan Universiti Amerika, Marti mempunyai kedudukan tinggi di negaranya kerana beliau ialah pegawai pemasaran sebuah firma yang mempunyai 12 restoran di sekeliling kota. Selesai makan, kami dihantar ke rumahnya dan dia pulang semula ke pejabat.

Jam 5 petang, Marti pulang dan membawa kami mandi di Sauna . Upacara mandi Sauna ini adalah amalan tradisi orang Findland yang membawa rakan rapat ke Sauna ala Findland.

Di hari berikutnya, pagi-pagi lagi Marti membawa kami berpusing-pusing kota dengan keretanya. Kota itu bergelar ”Bandar Putih di Utara”, kerana banyaknya jumlah bangunan berwarna putih. Kota itu nampak berbeza dengan kota-kota lain di Eropah Barat, kerana ia tidak sebegitu sebok. Di tengah-tengah pusat bandar terletak Senate Square di mana orangramai boleh berehat setelah letih membeli-belah.

Setiap petang di tempat itu diadakan pertunjukan kebudayaan. Antara acara menarik ialah pertandingan menari rentak Finnish yang boleh disertai oleh sesiapa pun.

Setelah puas berpusing ke sana ke mari sepanjang hari kami pulang ke rumah Marti. Pada sebelah petang, Ibrahim berjanji untuk memasak makanan ala-Malaysia. Dia juga menjanjikan dengan tuan rumah untuk membuat satey. Marti sendiri telah jatuh cinta dengan makanan itu ketika Ibrahim membuatnya di Amerika dulu.

Pada mulanya aku pun merasa agak pelik dengan persetujuan Ibrahim memasak. Bagaimana untuk mendapat rencah yang diperlukan? Untuk mendapat daging tidaklah menjadi masalah.

Petang itu telah siap sedia nasi goreng serta satey yang rasanya lebih kurang sama dengan satey Kuala Lumpur. Selesai makan, para tetamu termasuk dua orang rakan sepejabat Marti meminta resipi membuat satey itu. Aku tersenyum bila mengetahui rencah yang digunakan untuk kuah satey dibuat daripada Peanut Butter. Begitu rupanya, aku sendiri kurang mengerti. Bagaimanapun, habis juga satey yang dihidangkan. Satey Ala Findland.

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di Berita Minggu di dalam ruangan Catitan Dari Eropah oleh Salleh Kassim pada 28/9/80.

No comments:

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...