Monday, December 8, 2008

BILA ISTERI DIBAWA MERANTAU - 08

Semasa di tanahair, ramai suri rumahtangga merasa beruntung sekiranya berpeluang menemani suami melanjutkan pelajaran keluar negara. Mereka yang berkerja terpaksa mengambil cuti lama bagi memastikan kejayaan suami yang lazimnya mengambil kursus di peringkat Sarjana ataupun PHD.

Di samping gaji yang lumayan, mereka mendapat elaun keluarga, serta tambang kapalterbang pergi balik. Anak-anak yang mengikut, turut beruntung kerana berpeluang melanjutkan pelajaran di sekolah luar negeri semasa umur masih muda.

Mereka yang tinggal di universiti yang kurang pelajar tanahair, harapan dan tanggapan mengenai keindahan negara yang akan dikunjungi ketika berlepas dari Lapangan Terbang Subang dulu adalah berbeza dengan realiti sebenar ketika di sini.

Keindahan yang sering dilihat di layar perak atau tv misalnya adalah hayalan semata-mata. Keindahan dari luar sebegitu superficial dan tidak sejajar dengan keindahan isi dan penghuninya. Dalam masa sesingkat-singkatnya, mereka dapati hidup di luar negeri mula membosankan. Bosan kerana kesunyian tanpa rakan, kaum keluarga yang ditinggalkan di tanahair.

Ini ditambah dengan kesibukan suami yang menumpukan masa dan tenaga mengikuti kuliah, membuat persediaan peperiksaan serta tugas-tugas kuliah lain. Bagi si isteri yang pernah bekerja, berkurung di rumah memasak, mengemas rumah dan menjaga anak-anak adalah satu rutin yang membosankan.

Untuk mendapatkan pekerjaan sekadar mengurangkan kebosanan adalah sukar. Undang-undang imigresen begitu ketat melarang melakukan apa-apa pekerjaan terutama bagi mereka yang dibiyaai dengan biasiswa kerajaan. Peluang untuk bekerja hanya diberi kepada mereka yang pembiyaannya digantung ataupun terputus sebagaimana yang dialami oleh setengah penuntut dari Iran.

Kerja yang boleh dibuat tanpa pengetahuan pihak berkenaan hanyalah dengan menjadi ”Baby Sitter” yang bayarannya begitu rendah.

Bagi yang punya anak, mereka terpaksa menghadapi masalah sosial lain. Keadaan pergaulan anak-anak di sekolah perlu diperhatikan. Cara hidup yang sering melupakan nilai dan norma ketimuran boleh mengubah pandangan anak-anak yang sebegitu mudah dipengaruhi. Perhatian yang lebih perlu dikenakan terutama kepada golongan yang meningkat ke alam remaja. Pengaruh masyarakat sezamannya di sekolah seperti menghisap rokok, dadah serta kegiatan seks bebas perlu diawasi. Sebab itu, beban tugas mendidik anak-anak tergantung kepada ibu, kerana bapa sibuk dengan tanggungjawab sebagai pelajar.

Bagi mereka yang tidak punya anak, lain pula halnya. Mereka boleh mengambil kesempatan mengikuti kursus yang ditawarkan di sini. Kalau bercadang menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana, boleh mencuba nasib memohon tempat di universiti tempatan.

Masalah biasiswa boleh difikirkan kemudian. Mereka boleh mengikhtiarkan setelah permohonan masuk ke universiti diterima. Yang tidak berminat pula, mereka terpaksalah dengan routine sehari-hari memasak, mengemas rumah dan kebanyakan masa dihabiskan menonton televisyen di siang hari yang dipenuhi dengan ”Soap Opera” yang bertemakan kisah masyarakat.

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di Berita Minggu dalam ruangan Warkah Salleh Kassim dari Boston, Amerika pada 11.05.1980.

No comments:

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...