Monday, December 8, 2008

BILA ISTERI DIBAWA MERANTAU - Ep. 2 - 09

Masa yang paling seronok untuk makan angin ketika di US ialah pada musim cuti terutama di musim panas. Pada ketika itu, mereka yang berkeluarga dapat berkumpul di rumah tanpa gangguan beban kuliah yang perlu dibereskan. Mereka boleh juga melancung ke tempat peranginan atau melawat rakan-rakan di universiti lain. Bagi yang mempunyai wang lebih, mereka boleh menaiki kapalterbang yang menawarkan tiket tambang murah.

Untuk yang lebih adventurers, mereka boleh mamandu kereta beribu-ribu kilometer jauhnya untuk mengunjungi tempat peranginan yang diminati. Lebuhraya di sini sangat baik, lengkap dengan motel di kiri kanan jalan. Harga minyak belum lagi melambung naik sebagaimana di Eropah ataupun negara lain. Tempat yang sering dikunjungi pastilah Florida yang menawarkan beberapa tempat seperti Miami Beach, Disneyland, Sea World serta Pusat Penerbangan Angkasa J.F.Kennedy. Di sebelah barat iaitu di California pula terdapat Disneyworld dan Hollywood. Tempat-tempat lain yang juga popular ialah Washington DC, Kotaraya New York, Grand Canyon di Arizona serta Niagara Falls di sempadan Amerika-Kanada.

Di tempat yang ramai keluarga dari tanahair, lain pula ragamnya. Mereka dapat mengunjungi rakan-rakan dan jiran setanahair.

Seringkali juga, kalau dah ramai, ciri-ciri negatif pasti wujud. Perasaan berlumba-lumba membeli perhiasan rumah atau pinggan mangkuk untuk digunakan di sini ataupun dikirimkan ke tanahair. Yang paling diminati pastilah pinggan mangkuk Pyrex ataupun Corningware, kerana tawaran harga yang murah berbanding dengan beratus-ratus ringgit di tanahair. Berkotak-kotak dibeli untuk dikirim pulang.

Bagi yang punya wang lebih, macam-macam lagi boleh dibeli, dari kerusi antik hinggakan ke kereta menjalar buatan Amerika. Kalau pulang nanti, bolehlah mendabik dada yang barang barang kepunyaanya semua barang import.

Yang berjimat - lain pula halnya. Wang biasiswa sahaja digunakan untuk menampung sara hidup seluruh keluarga. Wang gaji tidak disentuh langsung, disimpan baik-baik di bank di tanahair dan mengharapkan keuntungan faedah-interest ketika pulang nanti dan bolehlah digunakan sebagai wang pendahuluan untuk membeli rumah baru.

Kalau tidak membawa keluarga , terpaksalah hidup membujang. Hidup bujang bermakna terpaksalah memasak serta wang biasiswa kadang kala habis untuk membayar bil telefon sahaja. Masakan tidak. Berbual dengan isteri selama 3 minit pertama menelan belanja kira-kira $15 wang Malaysia. Paling pendek sepuluh minit. Kalau berbual dengan isteri sahaja, kecil hati pula anak-anak. Itu belum masuk ibu mertua, bapa mertua, kedua ibubapa dan keluarga terdekat. Terpaksalah diletakkan jam loceng di depan muka untuk menjimat waktu. Kalau tidak di hujung bulan pastinya, mereka akan mengira hutang bil telefon sahaja.

* Petikan rencana ini disiarkan di Berita Minggu dalam ruangan Warkah Salleh Kassim dari Boston, Amerika pada 10.02.1980.

No comments:

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...