Saturday, May 24, 2008

MASUK ITM - ITM-03


Khir Abdul Rahman @ Jin Kapiak serta Black dan Jumaat Elias Engson kini bergelar Datuk adalah antara insan yang banyak mempengaruhi aku untuk menjejakkan kaki ke ITM. Ketika Jin Kapiak menjalani latihan praktikalnya di Bilik Berita Radio KL, seorang lagi wartawan RTM Sabah, Jumaat Alias Engson dihantar ke Bilik Berita Radio KL untuk menimba pengalaman di Semenanjung. Secara kebetulan Jumaat juga turut berhasrat ke ITM dan kehadirannya di Kuala Lumpur digunakan untuk meninjau tempat ke ITM. Ditakdirkan kami berdua diterima masuk ke ITM berserta seorang lagi pemberita RTM, Sabah, Bujang Abu Bakar.
Namun berbeza dengan aku, Jumaat dan Bujang bercuti sambil belajar ketika di ITM sedangkan aku berhenti dari RTM. Aku tinggal di hostel rumah terrace, sementara Alias dan Bujang menyewa rumah di Shah Alam. Setelah meninggalkan ITM, Alias meneruskan kerjayanya di RTM sehinggalah menjawat Pengarah RTM-Sabah sehingga sekarang. Bujang pula ialah seorang usahawan. Kawan-kawan lain dalam kelas 1975-1978-Kewartawanan - Dewani Abas, Berita Harian, Singapore, Zaharah Osman-lebih popular dengan blognya Kak Teh Blogspot.com, Nuraina Samad anak Pak Samad - Bapa Wartawan Negara yang juga popular dengan blog 3540, Jalan Sudin, Hanif Hadi bekas Ketua Pengarang Berita Harian, Yunus Salleh bertugas di Petronas yang juga abang kepada Prof. Madya Alias Salleh,UITM, Md. Bahadon, Munirah, Fizi dan Fatimah Abu Bakar, guru Akademi Fantasia terbitan Astro. Anak-anak Fatimah, Sharifah Aleya, Sharifah Amani, Sharifah Aleysha and Sharifah Aryana kini mengikuti jejak ibunya menjadi anak seni yang mewarnai perkembangan filem negara. Masih teringat lagi kegigihan Fatimah berulang alik dari kampus ITM ke KL untuk mengasah bakat dalam bidang lakonan di bawah bimbingan Arwah Mustafa Noor, Shuhaimi Baba, & Maznah Nordin.

KERJA SAMBILAN - ITM-02

Akhirnya aku mengambil keputusan melanjutkan pelajaran ke ITM pada pertengahan tahun 1975. Itupun setelah menjalani beberapa siri perbincangan dan rundingan dengan bos-bos di RTM. Pada masa itu bos-bos ni sungguh sporting. Mereka bukan sahaja memberi sokongan moral terhadap niatku melanjutkan pelajaran, malah turut membuka jalan bagiku mencari duit untuk menampung pengajian ketika di ITM. Encik Tamimuddin Karim, Pengawal Berita Radio ketika itu, mencadangkan agar aku bekerja di Bilik Berita Radio sebagai wartawan sambilan dengan gaji RM25 sehari pada setiap hujung minggu. Ini bermakna setiap hujung bulan aku masih boleh menerima gaji berjumlah RM200. Setiap minggu ketika bertugas Sabtu dan Ahad aku boleh dapat RM50. Lebih RM10 daripada gaji bekerja sebagai kakaitangan tetap. Sokongan Ketua Pemberita ketika itu, Nazli Zakuan dan Arwah Salleh Patih Akhir, Penyunting Kanan begitu mengalakkan. Salleh Patih Akhir bersama Editor RTM Mokhtar juga sanggup menjadi penjaminku ketika aku memohon biasiswa MARA untuk menyambung pengajian Sarjana ke Boston University selepas selesai belajar di ITM pada tahun 1978. Alangkah leganya. Untuk memudahkan aku pergi balik dari ITM ke RTM, aku beli sebuah motosikal Yamaha baru 100 CC. Setiap cuti semester adalah masanya untuk aku membuat duit kerana aku bekerja setiap hari dan boleh menerima gaji lebih RM500 sebulan sepanjang dua bulan cuti semester. Masa praktikal ataupun latihan amali yang disyaratkan kepada pelajar tahun akhir ITM - aku terus bertugas di RTM dan menerima gaji yang sama. Ini semua rezeki. Tuhan nak bagi. Terima sajalah. Syukur Alhamdulillah.