Monday, December 8, 2008

PERJALANAN EMAS KE SWITZERLAND - 14

SWITZERLAND adalah sebuah negara yang menjadi idaman pelancung dari seluruh dunia. Ia dianggap sebagai satu-satunya negara yang stabil dalam semua bidang. Ini disebabakan sikap negara itu yang benar-benar berkecuali di bidang ketenteraan. Negara itu juga tidak pernah melibatkan diri dalam apa jua bentuk peperangan sejak tahun 1815 dan tidak terlibat dalam Pakatan Tentera Negara-Negara Eropah, NATO.

Selain itu, Ia juga terkenal sebagai pusat bank yang terkemuka kerana kestabilan mata wangnya, Franc.

Kerana keistimewaan ini jugalah menyebabkan kami mengambil keputusan untuk singgah ke negara itu sebelum pulang ke tanahair.

Setelah meninggalkan kota Pisa di Italy, kami singggah di Florence selama semalam. Dari situ kami bertolak balik ke Rome untuk menyambung perjalanan ke Geneva, Switzerland. Oleh kerana kami becadang untuk bermalam di Interlaken, sebuah bandar kecil yang indah di kawasan pergunungan di tengah-tengah Switzerland, kami terpaksa menyingkatkan lawatan ke Geneva.

Sebelum tiba di Geneva, keretapi menggelongsor menuruni bukit-bukit curam dan setibanya di bawah, nampak luas terbentang Tasik Geneva yang menjadi tempat istirehat para pelancung yang mengunjungi kota peranginan itu. Kota itu tidaklah sebegitu sibuk dibandingkan dengan kota-kota lain di Switzerland dan di Eropah.

Kami meninggalkan Geneva untuk menuju Interlaken selepas makan tengahari. Makanandi sini juga terlalu mahal untuk orang seperti kami berbanding dengan harga makanan di Italy.

Menurut buku panduan pelancongan, perjalanan keretapi ekspres antara Geneva ke Interlaken dikenali sebagai ”Golden Pass” atau perjalanan emas.Ia bertepatan dengan nama yang diberi, kerana sepanjang perjalanan, pemandangannya begitu indah dan menarik, seolah-olah seperti keping-keping lukisan yang indah. Gunung-ganang serta tasik tersusun rapi sepanjang perjalanan. Apa yang menambahkan lagi keindahan suasana ialah gunung-ganang itu masih diseliputi salji, seolah-olah dibentuk sebegitu rupa untuk menakjubkan insan yang melihatnya.

Sungguhpun badan terasa terlalu letih dan benar-benar perlukan rehat, namun mata ini tidak terasa mahu tidur kerana takjub melihatkan keindahan alam semula jadi ciptaan tuhan ini. Dalam perjalanan itu, kami sempat singgah di beberapa buah bandar kecil untuk bertukar keretapi.

Sebenarnya, perjalanan itu dirancang sebegitu rupa oleh pihak berkenaan bertujuan bagi membolehkan para penumpang berhenti di mana-mana bandar berkenaan.

* Petikan rencana ini disiarkan dalam majalah SELECTA pada Mei 1981.


No comments:

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...