MAMAKTARIA adalah joint paling popular di kampus di INTEKMA di Shah Alam pada zaman terawal penubuhannya. Pada tahun aku belajar (1975-1978), warong makan yang ada di persekitaran kampus hanyalah MAMAKTARIA. Pelajar ITM menjadikannya pusat untuk mendapat makanan kerana mereka tiada pilihan untuk keluar makan kerana sejumlah besar daripada mereka tidak mempunyai pengangkutan. MAMAKTARIAlah segalanya.
MAMAKTARIA bolehlah dianggap seperti food court kelas tersendiri dengan tawaran jenis makanan istimewa yang digemari pelajar-pelajar ketika itu. Jenis makanan yang ditawarkan adalah biasa-biasa sahaja seperti Nasi Campur, Nasi Ayam, Roti Canai dan semestinya minumannya Teh Tarik atau Coke. Antara makanan paling popular semestinya Roti Sardin yang diusahakan oleh seorang berketurunan Pakistan. Roti sardinya tebal mewah tidak seperti Roti Sardin di kedai Mamak sekarang yang halus nipis. Susun atur warung-warung ini berbentuk gabungan yang dimilikki oleh peniaga yang berlainan. Sebagaimana dengan warung lain pada ketika itu, meja makannya adalah daripada kayu dan dialas kemas dengan tikar getah nipis.
MAMAKTARIA juga berperanan sebagai pusat menunggu rakan-rakan untuk menyambung perjalanan ke Klang atau ke Kuala Lumpur. Ini kerana di bawah MAMATARIA ialah jalanraya utama KL-Klang, lokasi tumpuan pelajar-pelajar berulang-alik khususnya pada hujung minggu mahpun bagi pelajar-pelajar yang tinggal di luar kampus.
Itulah sumbangan dan jasa MAMAKTARIA - yang kini hanya tinggal kenangan.
No comments:
Post a Comment