Tuesday, December 30, 2008

Ma’al Hijrah 1430

Selamat Menyambut Ma’al Hijrah 1430.

Kejayaan dan kegemilangan umat Islam memerlukan penghijrahan sikap yang lebih positif dan proaktif dalam menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang.

Wednesday, December 17, 2008

SANKARAN & GANG - ITM-08

Pada awal penubuhannya, sejumlah besar pensyarah Masscomm ITM bukan terdiri daripada bekas pelajar ITM sepertimana sekarang. Ketika itu kebanyakan pensyarah tetap datangnya daripada universiti tempatan sementara pensyarah sambilan terdiri daripada para profesional dalam industri sebaran am. Antara pensyarah tetap yang mengajar kami - Kumpulan 1975-1978 - ialah Hamid Mohammad, Abdullah Kassim, Bukhory Ismail, Marina Samad, Zaiton, Maznah dan Sankaran. Shahreen Kamaluddin & Hamidah Karim pula mengajar kumpulan Public Relations.

Dan pastinya masa yang paling relax dan tidak tension dengan pensyarahnya ialah ketika kelas typewriting. Ini mungkin kerana aku agak mahir menggunakan typewriter kerana pernah mengambil kelas apabila selesai peperiksaan SC/MCE.

Bukhory Ismail sekarang Dr. adalah antara Pensyarah yang mengejutkan kami dengan memberikan beberapa perkataan sukar untuk dijadikan ayat sebagai tugasan awal. Kami diberi perkataan yang agak asing ketika itu seperti keterampilan, sahsiah, genre, dll untuk dijadikan ayat.

Ketika di US, Encik Bukhory yang turut melanjutkan pelajarannya sempat mengunjungi Boston bersama isteri dan anaknya dan aku sempat membawanya ke tempat menarik di kotaraya universiti itu ketika cuti universiti.

Hamid Mohammad yang mengajar Journalism kepada kumpulan kami adalah seorang pensyarah yang simple, bersahaja tetapi serious dengan tugasnya. Ketika di TV3, dia menjadi bos dan kawan kerana dia pernah menjadi Pengurus Pengiklanan dan Pengurus Program sementara aku bertugas sebagai Timbalan Pengurus Berita & Ehwal Semasa. Aku dan Encik Hamid pernah dihantar oleh TV3 ke Los Angeles untuk melawat sambil belajar ke beberapa stesen tv di kotaraya itu.

Abdullah Kassim pula mengajar Kesusasteraan Melayu. Beliau yang agak cool ketika mengajar, tidaklah begitu serious dengan pelajar-pelajar kumpulan kami.

Antara subjek yang merisaukan ialah ketika bersama pensyarah Halinah Bamadhaj dan juga Arlene Bastion. Halinah Bamadhaj mengajar Asian Politics sementara Arlene Bastion mengajar Contemporary Novels. Oleh kerana tak pernah membaca novel inggeris sebelum masuk ITM, terasa sengsaranya menyiapkan assignment yang diberi.

Satu subjek lagi yang menyeksakan ialah Statistik. Ingat masuk Masscomm dah tak perlu memikirkan subjek sebegini. Rasa nak pengsan menyelesaikan tugasan yang diberi dan ada daripada kumpulan kami yang terpaksa repeat untuk subjek ini.

Sankaran Ramanathan adalah antara pensyarah yang sentiasa memberi tumpuan serious ketika mengendalikan kelas. Kerana terlalu lama dengannya lama kelamaan kami tahu hati budi, kekuatan dan kelemahannya sebagai Pensyarah. Pada tahun Akhir, kumpulan Journalism kami sudah tahu pendekatan untuk megenakannya. Kalau kami rasa boring nak masuk kelas, Zaharah Osman @ Kak Teh & Fatimah Abu Bakar @ Fati akan menjadi umpan dengan mengajak Sankaran bermain karem. Oleh kerana khusyuk bermain karem, sampai dia terlupa nak masuk kelas. Kumpulan kami hanya seramai 8 orang dan agak kecil jumlahnya dan ini memudahkan kami membuat strategi-strategi sewajarnya untuk tidak menghadiri kelas.

Ketua Kajian, Puan Marina Samad pula adalah tulang belakang Kajian ini. Dia bukan sahaja seorang Ketua Kajian malah seorang pengurus, pensyarah yang memberi perhatian kepada pelajar-pelajarnya. Walaupun dia kadangkala begitu strict dengan pelajarnya, tetapi sikap keibuannya begitu menyentuh setiap pelajar di Tingkat 13, sehingga kami sentiasa serious ketika menghadiri kuliahnya. Shahreen Kamaluddin yang menggantikan Marina Samad juga seorang Ketua Kajian yang dedikasi dan seperti Marina bertindak sebagai ketua dan ibu di Tingkat 13.

Itulah antara personaliti Pensyarah Masscomm pada zaman kami, yang banyak membantu membentuk kami sebagai kumpulan MassCommittes yang bersedia menghadapi apa juga cabaran yang mendatang. Mereka jugalah angkatan pensyarah pertama yang membantu mewarnai halatuju kajian sehingga menjadi sebuah Fakulti sebuah universiti ternama pada hari ini.

Monday, December 15, 2008

MELAHIRKAN MAJALAH 3 - 04


Apabila Pengurus Berita TV3, Subohi Yatim pulang dari Ibupejabat TV3, di Jalan Syed Putra (Jalan Lornie) ke Studio TV3, di Jalan Liku, Bangsar. Aku dipanggil ke pejabatnya. Selaku Utility Producer aku diminta menyiapkan sebuah rencana khas atau dokumentari mengenai Bangunan UMNO dan Kompleks Pusat Dagangan Dunia Putra atau lebih dikenali dengan Putra World Trade Centre, PWTC yang mahu dirasmikan pembukaannya.

Kerana belum ada pengalaman dalam bidang TV, aku naik pening kepala pada mulanya kerana belum tahu pendekatan membuat sebuah dokumentari mahupun majalah. Di samping itu, aku juga terpaksa melakukannya sendirian kerana belum ada wartawan. Walaupun aku seorang Penerbit, akulah juga Wartawan, Penolong Penerbit dan Pembantu Penerbit untuk unit Ehwal Semasa ini.

Namun, apa yang penting dibuat ketika itu ialah menyiapkan skrip mengenai tugasan yang diberi. Maka bermulalah tugasku sebagai Penerbit Majalahone off - dan pada waktu yang sama meneruskan tugas pengganti Penerbit Berita BM dan Penerbit Berita Bahasa Inggeris yang bercuti mingguan. Ini bermakna aku mempunyai masa sehari sahaja untuk mengumpulkan bahan bersama jurukamera, menyunting bersama Editor dan membuat Post Production. Dapat juga aku siapkan program khas itu dan disiarkan sebagai rancangan bercorak Ehwal Semasa TV3 sempena pembukaan Bangunan UMNO.

Selepas penyiarannya itu, Pengurusan TV3 mahukan beberapa lagi rancangan seperti itu. Ketika mahu bermesyuarat ke ibupejabat TV3, Subohi bertanyakan aku - nama slot yang mahu diberikan untuk rancangan minggun ehwal semasa yang akan disiarkan setiap minggu. Pada ketika itu kepalaku berserabut kerana terlalu banyak perkara yang mahu dipikirkan dan aku tidak mempunyai apa-apa idea mengenainya. Tetapi kerana desakan Subohi itu, secara spontan memberitahunuya, namakan sahaja Majalah Tiga, sempena Majalah TV3.

Mesyuarat pengurusan TV3 hari itu, menyetujui nama Majalah 3 dan bermulalah aku menghasilkan beberapa rancangan Ehwal Semasa di dalam slot Majalah 3.

Dengan adanya slot itu, bermulalah tugasku sebagai Penerbit Majalah 3. Aku melakukannya sepenuh masa, dan tugas-tugas Utility Producer itu terus dilakukan dan apabila terlalu sebok , Fuad Salim dari Berita Harian Singapura yang menjadi Penolong Pengurus Berita menggantikan aku.

Apa yang memeningkan kepala pada peringkat awal sebagai Penerbit Majalah3 ialah tiadanya sokongan kelengkapan khususnya kamera. Pak Samad Ismail selaku Penasihat Editorial TV3 sendiri mengarahkan sekiranya aku mahukan kamera ia hanya boleh digunakan pada sebelah malam - selepas selesai urusan liputan berita keseluruhannya.

Cadangan ini sungguh membebankan, sehingga aku sendiri bertemu Pak Samad dan memberitahunya, sekiranya aku diberikan kamera sebelah malam, Majalah 3 akan hanya menghasilkan 3P, iaitu Pondan, Pelacur dan Penunggang Motosikal Haram selepas jam 12 malam. Pada masa itu istilah Mat Rempit masih belum wujud. Menyedari keperluan ini serta tuntutan mengadakan sebuah program setiap minggu, barulah aku diberi bantuan seorang Jurukamera.

Dalam penerbitan Majalah 3, aku memberi pendekatan, People like to see People. Iaitu percubaan melahirkan rancangan ehwal semasa mengenai paparan penghidupan orang biasa. Tajuk-tajuk seperti kereta buatan sendiri, pengemis asing, pemandu teksi bina rumah sendiri, rumah api dan pelbagai lagi. Program ini memberi pendekatan baru dalam penerbitan majalah dan cuba lari daripada penghasilan rencana yang sedia ada yang berteras propaganda megenai kejayaan projek pembangunan kerajaan di stesen television yang sedia ada.

Tuesday, December 9, 2008

BATCH PERTAMA MASSCOMM - ITM-07

ITM memulakan pengajian komunikasi pada bulan Julai 1972 dengan menubuhkan Kajian Sebaran Am. Ia memberi tumpuan khusus kepada 4 bidang komunikasi utama iaitu Kewartawanan-Journalism, Perhubungan Awam-Public Relations, Pengiklanan-Advertising & Penyiaran-Broadcasting.

ITM adalah di antara institusi pengajian tinggi terawal yang menggunakan sistem Semester ala-Amerika Syarikat. Melalui sistem ini setiap kajian menggunakan pendekatan pemarkahan GPA dan CGPA, Dean's List dan Director's List untuk mengiktiraf pelajar cemerlangnya.

Maka tidak hairanlah pada peringkat awalnya, ada daripada pensyarah Kajian Sebaran Am adalah pensyarah luar negara khususnya dari Amerika Syarikat. Antara universiti yang membantu membangunkan Kajian ini ialah Ohio University & Boston University.

Salah seorang pensyarah Boston University yang sempat mengajar kumpulan terawal di Tingkat 13, ialah Dr. Bernard Rubin. Aku sendiri mengambil salah satu subjek yang diajarnya ketika di Boston University pada tahun 1978-80.

Hubungan dua hala ITM-University di Amerika Syarikat yang terjalin ini membolehkan graduan MassComm menyambung terus pengajian mereka pada peringkat Masters atau Sarjana di university-university di Amerika Syarikat. Antara pelajar Batch Pertama yang menyambung pengajian mereka terus selepas ITM ialah Idris Buang ke Ohio University, Hamdan Adnan & Zainah Anwar ke Boston University. Batch Kedua pula ialah Baharuddin Aziz- Dr.@ (Aboi) & Zaid juga ke Boston University, sementara Batch Ketiga ialah Mansur Putih ke Columbia University, New York- Perfileman.

Aku adalah dari Batch KeEmpat bersama Nuraina Samad- Anak Pak Samad dan Batch Kelima berikutnya Norhawa Yunus semuanya ke Boston Univesity.

Seorang lagi dari Batch Pertama yang sama ke Boston, sekuliah dan serumah denganku ialah Mustafa Kamal Anuar sekarang Dr. - Pensyarah di USM.

Kumpulan lain yang masih ku ingat selepas itu termasuklah Yunus Salleh, Khairuddin Osman Boston University & Zuhuri Ahmad, Ohio University.

Apapun, Kumpulan pertama Mass-Comm bolehlah dianggap sebagai kumpulan ujian - eksperimen- Pengarah ITM ketika itu, Datuk Arshad Ayub. Kumpulan ujikaji pertama ini berjaya membuktikan kemampuan mereka yang berjaya bukan sahaja di negara sendiri malah di persada university luar negara.

Kajian Sebaran Am melahirkan kumpulan pertama graduannya pada tahun 1975 dengan jumlah 26 graduan. Mereka ini termasuklah Hamdan Adnan-Prof Komisioner Suhakam, Zainah Anwar- Sisters of Islam, Mustafa Kamal Anuar- Dr, USM, Raja Nor Baizura –Pelakon, Idris Buang, Zulkarnaina Mohd Mess, Sujiah Salleh , Mansur Ahmad & Ibrahim Ali-Datuk Paduka –Ahli Parlimen Pasir Mas.

Ibrahim Ali mencipta sejarah tersendiri apabila mengambil peperiksaan akhir di Kem Tahanan Kamunting ,Taiping.

** TABIK SPRING & SYABAS diberikan kepada kumpulan pertama ini. TAHNIAH.