Friday, January 30, 2009

BERPOLITIK ALA JPP - ITM-11

OLEH kerana aku adalah antara pelajar yang dikategorikan dewasa atau tua sedikit ketika memasukki ITM - kerana pernah bekerja di RTM - pada Semester Kedua, aku di minta kawan-kawan untuk bertanding sebagai salah seorang calon wakil pelajar mewakili MassComm dalam Kesatuan Siswa ITM, KSITM. Oleh kerana terkejut beruk dengan assignments yang melimpah ruah, pelawaan itu aku tolak tepi. Aku merasakan buat tahun pertama, biarlah aku biasakan dahulu momentum gerak kerja seorang pelajar dan pada waktu yang sama bekerja sambilan di RTM - daripada membabitkan diri dalan kegiatan politik pergerakan pelajar.
Keputusan yang aku buat ada kesannya kerana rakan-rakan yang menganggotai KSITM termasuk rakan sekuliah - sejurus lepas itu diberhentikan atas sebab disiplin kerana berdemonstrasi menentang pengurusan ITM dan KSITM diharamkan.
Selepas itu KSITM di bubarkan dan digantikan dengan persatuan pelajar yang dipanggil Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, JPP. Ia berfungsi sekadar ala kadarnya seperti persatuan di sekolah menengah. Walaupun demikian, pada tahun akhir di Masscomm aku terpilih mewakili Tingkat 13 sebagai ahli JPP bersama Yunus Salleh - abang kepada Prof. Madya Alias Salleh. Seperti yang diduga JPP pada ketika itu tidakpun berperanan sebagai Kesatuan Pelajar yang memperjuangkan kehendak pelajar yang diharapkan oleh sebuah Universiti.
Pergerakan pelajar ketika itu begitu lemah kerana perjalanan persatuan banyak bergantung kepada sokongan pengurusan ITM yang pada ketika itu langsung tidak memberi pengiktirafan kepada pergerakan pelajar. Seingat aku, Pengarah ITM ketika itu, Datuk Lokman Musa sendiri enggan menemui kami wakil-wakil pelajar sepanjang tempoh dia menjadi Pengarah. JPP hanya bergerak menjalankan aktiviti-aktiviti biasa sepertimana persatuan biasa lain di menara gading.

Tuesday, January 27, 2009

KELAS AGAMA DI TINGKAT 13 - ITM-10

Kelas Tamadun Islam adalah antara subjek yang perlu diambil oleh setiap pelajar yang beragama Islam di Tingkat 13 sejak dulu lagi. Bagi kami pada zaman awalnya, kelas yang paling digeruni oleh sesetengah pelajar perempuan masscomm ialah mereka yang tidak menggemari pemakaian baju kurung untuk ke kelas.
Pada ketika itu pelajar perempuan yang gemar berseluar atau berskirt ke kelas terpaksa memakai baju kurung ketika kelas agama diadakan. Pensyarahnya pula adalah dari Unit Agama ITM sendiri mahupun pensyarah luar.
Pada masa itulah baru nampak keayuan seorang gadis Melayu yang terpancar daripada pakaian yang digunakan. Lazimnya mereka setiap hari ke kelas dengan memakai seluar panjang atau memakai skirt – tidaklah pulak menjolok mata.
Pada masa itu juga, pelajar lelaki akan mengambil kesempatan mengusik golongan ini dan memperli mereka. Ini adalah satu kebiasaan bagi penghuni Tingkat 13 yang sentiasa bergurau senda sepanjang masa sampai tidak ada penghujungnya.
Apa yang paling digeruni di kalangan pelajar ketika itu ialah kehadiran Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin – bukan Ustaz Ghani- pensyarah Masscomm yang mengajar selepas itu - yang secara langsung gemar menengur pelajar-pelajar ITM yang dirasakan melanggar tatasusila peradaban. Ustaz Ghani yang menjadi Pensyarah di ITM adalah antara pemimpin Abim pusat dan pernah bertugas di Sabah. Ketika di sana kerana kegigihan dalam perjuangannya, beliau pernah diusir dari Sabah dalam tempoh 24 jam kerana dikhuatiri kegiatan dakwahnya berpotensi membahayakan Kerajaan BERJAYA ketika itu.
Seorang lagi ulamak terkenal, Dr.Harun Din yang kini menjadi pemimpin kanan PAS pusat -pernah menjadi pensyarah kami di Tingkat 13. Beliau adalah antara pensyarah yang popular dan diminati kerana apabila berkuliah, pelajar-pelajar dari kajian lain turut memenuhi kelas kami di Tingkat 13. Dengan adunan ilmu dan cebisan-cebisan kisah menarik, beliau berjaya mencuit hati para pelajar dengan ceramah-ceramahnya yang sentiasa ditunggu oleh penghuni Tingkat 13 dan kajian lain. Pelajar-pelajar masscomm lain sama ada di kalangan senior atau pun junior yang tidak mempunyai kelas ketika kelas agamanya diadakan turut memenuhi kelas agama kami.

Wednesday, January 21, 2009

MAJALAH 3 – Zaman Awalnya - 05

APABILA Majalah 3 mula menempa nama, lebih banyak liputan tugas perlu disediakan dan dilaksanakan. Untuk itu, bantuan kakitangan baru diperlukan bagi menghasilkan lebih banyak liputan. Pada peringkat awalnya, kakitangan baru yang menjadi warga Majalah 3 termasuklah Haji Hashim, Sudirman Haji Rosli, Borhan Ahmad dan Hamisah Hassan. Sudirman adalah bekas pelajarku di UM sementara , Borhan dan Hamisah kini bergerlar Dr./Pensyarah di UPM adalah pelajarku ketika di UKM. Haji Hashim pula berpengalaman dalam production daripada Filem Negara. Pelajar-pelajar ITM yag membuat praktikal turut mewarnai Majalah 3 pada peringkat awalnya. Antaranya termasuklah Nuraeshah Malik yang selepas itu pernah mengetuai unit Majalah di TV3 dan kini menjawat Manager Magazine Programme, Content Creation di TV9. Pengacara Majalah 3 terawal seperti Wan Zaleha Radzi dan Ezzah Aziz Fauzi kini terus mewarnai bidang masing-masing. Ezzah masih lagi di Media Prima Berhad yang memilikki TV3, sementara Wan Zaleha Radzi kini menjadi usahawan. Razak Abdullah meminjamkan suara lunaknya hampir setiap minggu. Nama-nama lain yang turut menyumbang dalam segi idea khususnya persembahan dan teknikal ialah Nasir Ismail atau dipanggil Nasir Panjang yang pada mulanya bertugas sebagai Jurukamera Still di Bahagian Berita dan bertukar angin menjawat Pembantu Penerbitan Majalah 3. Nasir juga sebelum ini pernah bertugas di Filem Negara. Begitu juga sumbangan Azali Abu Hassan dan Noraini Ahmad sebagai Pembantu Penerbitan.
Nama-nama lain yang sentiasa di belakang tabir tetapi berperanan membantu meletakkan Majalah 3 ke persadanya termasuklah penyunting visual Awal Ibrahim, kini di Bernama TV, Amir dan Azam di Bahagian Grafik serta pekerja di post production seperti Shahruddin aka Shah, David Thomas, Francis Gomez dan Baharuddin. Adunan muzik dan audio disempurnakan oleh mendiang Peter Lim yang serba boleh.
Menariknya mereka adalah individu yang jarang diberi pengiktirafan sedangkan mereka menjalankan tugas kadang-kadang sehingga waktu subuh menjelang dinihari menyelesaikan tugas Majalah 3 setiap minggu.

Dalam usaha menjadikan Majalah 3 sebuah program ternama, peranan Jurukamera juga tidak kurang pentingnya. Mereka ini termasuk Hang Chong Huat kini memilikki syarikat sendiri dan Wee Your Lee, yang kini menjadi Ketua Editor Berita TV3.

Majalah 3 yang kini satu-satunya program yang terus disiarkan di TV3 diharapkan akan terus kekal dan akan menjangkau umurnya ke 25 tahun. Adalah diharapkan jumlah tahun yang diterokai selama ini terus mendewasakan kandungannya dan terus menyumbang pada tahun-tahun mendatang.

Friday, January 9, 2009

Palestin Oh! Palestin

SMS yang diterima daripada rakan-rakan yang meminta diforwardkan berita kesengsaraan saudara-saudara seagama di Palestin begitu mengharukan. Setiap kali umat Islam terhempet dan ditindas khususnya dari regim Israel yang tidak berperikemanusian, pastinya kita menerima sms sebegini. Pelbagai pihak juga begitu proaktif membuat pungutan derma kilat untuk membantu mangsa perang Palestin ini.

Persoalannya apakah kita yang jauh dari bumi Palestin ini mampu membantu sdr-sdr. kita yang dibom dan diletupkan oleh regim Israel hampir setiap jam.

Jawapannya – pastinya kita tidak mampu melakukannya. Apa yang termampu mungkin dalam bentuk kiriman doa agar malapetaka yang menimpa akan bernoktah akhirnya. Atau sekadar memberikan sumbangan cek untuk mangsa Palestin ini.

Apakah cara berkesan bagi membantu mereka yang teranaiya ini. Jawapannya pasti ada. Adakah kita perlu mendaftar sebagai askar upahan untuk berperang dengan mereka di Palestin bagi bertindak balas dengan membedil tentera regim Yahudi ini. Jawapannya ini adalah tindakan yang kurang rasional.

Perjuangan adalah dalam pelbagai bentuk. Sebagai insan yang terbabit dalam dunia komunikasi kita boleh memainkan peranan kita sekecil-kecilnya dengan mewujudkan satu paltform dengan menghebahkan kedurjanan Regim Yahudi dan musuh-musuh Islam ini menerusi penulisan-penulisan khususnya di blog dalam Bahasa Inggeris untuk maklumat semua. Usaha yang boleh dilakukan ialah merakamkan perkara sebenar bagi membolehkan lebih ramai golongan yang tidak mengetahui cerita sebenar memahaminya.

Saya cuba melakukan perkara ini tidak lama dulu dengan membangunkan sebuah stesen tv di internet bernama globalmuslim.tv. Pada mulanya sebuah organisasi belia Islam tanahair berhasrat membiyaai operasi pembangunan webtv ini yang berfungsi sebagai jurucakap Dunia Islam, namun apabila prasarananya siap sedia, dana yang dijanjikan tidak sampai. Saya terpaksa menutup laman web ini kerana ketiadaan dana. Kos melakukannya tidaklah seberapa, tetapi saya merasakan inilah satu usaha berkesan yang boleh dilakukan dalam menyediakan tempat atau platform bagi membolehkan suara Dunia Islam yang moderates disebarkan secara terus.

Mungkin ada yang berpendapat bahwa pelbagai laman web yang mempunyai peranan yang sama telah sedia ada di alam maya untuk menangkis segala tohmahan yang dibuat untuk memperlekehkan Dunia Islam. Perlu diingat, sebuah rangkaian televisyen di internet yang boleh dilayari di seluruh dunia yang berteraskan keseluruhannya webtv, belum sedia wujud.

Inilah rangkaian yang boleh diakses di seluruh dunia yang mampu memaparkan wajah sebenarnya Dunia Islam. Secara profesional laman web ini mampu membentangkan isu-isu mengenai Dunia Islam bagi membuka mata mereka yang kurang arif mengenai Dunia Islam sebenarnya.

Tuesday, January 6, 2009

MEMPERKASA FKPM, UITM - 09

Saya terpanggil untuk menulis perkara ini apabila perbincangan mengenai peranan bekas pelajar UITM, XMC untuk turut membantu meningkatkan prestasi Fakulti Komunikasi & Pengajian Media,UITM sedang rancak diperkatakan sehingga wujudnya Pasukan Pemikir Prihatin di laman web XMC – bekas pelajar Kajian Sebaran Am, UITM.

Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk melontarkan beberapa pemerhatian mengenai perkembangan dunia komunikasi yang terus berkembang. Bagaimanapun, ini hanya sekadar pandangan kerdil, dan setelah lebih 30 tahun Fakulti komunikasi yang sudah melangkui pelbagai cabaran telah begitu dewasa untuk menghadapinya.

Apabila saya mula-mula pulang dari US berbekalkan Sarjana Kewartawanan dari Boston University pada tahun 1980 dan mengajar di Program Penulisan Kreatif & Deskriptif, UM, pelajar-pelajarnya adalah terdiri daripada guru-guru berpengalaman serta penulis tempatan ternama. Antara pelajar-pelajar ketika itu termasuklah Alias Zaidi – pernah menjadi Ketua Kajian Sebaran Am, UITM, Sutung Umar RS seorang penyajak ternama , Jamaluddin Abu Bakar seorang aktivis teatre. Sebagai Pensyarah muda yang baru, Saya tidak tercabar dengan pengalaman pelajar-pelajar seperti ini kerana di samping berbekalkan kelayakan akademik di bidang kewartawanan - saya berpengalaman dalam bidang yang saya ceburi kerana pernah menjadi wartawan di radio sebelum masuk ke ITM dan ke US. Keyakinan diri dalam bidang yang diceburi kerana berpengalaman adalah ciri utama saya rasakan untuk menjadi seorang pensyarah yang baik.

Saya bukan mahu menindakkan dan menafikan sumbangan pensyarah-pensyarah muda yang tidak melalui jalan ini. Apa yang saya cuba utarakan ialah untuk melahirkan pelajar-pelajar yang baik, adalah TERBAIK sekiranya pensyarah-pensyarah muda memilikki sedikit pengalaman sebelum melaksanakan tugas sebagai Pensyarah. Saya merasakan mereka yang mempunyai pengalaman dalam bidang masing-masing akan merasa selesa menjadi tenaga pengajar mengajar sebuah univeristi.

The moral of the story di sini ialah, sebagai cadangan pensyarah muda yang baru pulang ke tanahair perlu didedahkan dengan bidang masing-masing dengan membuat praktikal di dalam industri yang dikhususkannya. Walaupun cadangan ini mungkin tidak disenangi rasanya itulah realitinya - jika mahu melahirkan Murid yang Baik akan lahir daripada Guru yang Baik.

Pada zaman saya menuntut di ITM, 30 tahun lalu, kebanyakan pensyarah adalah terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam industri masing-masing. Antara pensyarah sambilan kami ialah Pak Samad Ismail, Pak Samad Said, Philip Matthews dan ramai lagi yang datang daripada industri sebaran am ternama tanahair.

Sekiranya perkara ini tidak mahu dilaksanakan kerana pensyarah di Fakulti mencukupi, saya rasa bekas-bekas pelajar ITM menerusi XMC yang berkemahiran dalam pelbagai industri komunikasi pasti tidak keberatan untuk pulang ke fakulti memberikan pelbagaia tips dan panduan untuk pelajar-pelajar.

Dunia kewartawanan dan penyiaran telah banyak berubah dan ia berubah sebegitu pantas khususnya dalam dunia internet dan globalisasi kini. Ada universiti di Malaysia, bukan UITM yang mengajar cara penyuntingan skrip di akhbar tahun 50an sedangkan industri penulisan kini menggunkan komputer dan tidak menggunakan cara penyuntingan sedemikian.

Dalam bidang penyiaran dan perfileman pula, industri semasa bukan sahaja memerlukan bekalan Drama/Doco sepanjang 30 minit atau 60 minit untuk satu episod. Pasaran telefon 3G misalnya memerlukan drama bersiri 2 Minit yang dipanggil mobisod– untuk mudah diakses di telefon. Itulah realitinya. Dan keperluan-keperluan pasaran baru inilah yang perlu difahami oleh universiti-universiti dan perlu merombak kurikulum yang ada bagi menyediakan pelajar mereka menghadapi realiti ini.

Ada stesen TV di Amerika Syarikat yang menggunakan wartawan maya dari India untuk menghasilkan liputan seharian di Los Angeles dari sebuah pejabat di India. Tenaga kerja dari India digunakan kerana Stesen TV berikut boleh mempunyai 5 wartawan yang sama kelayakannya dari India daripada membayar gaji yang sama kepada SEORANG wartawan di Amerika. Itulah realitinya.

Blogging dan cara berniaga di alam maya di Internet juga adalah realiti semasa yang terus akan berkembang. Dan perkembangan ini perlu dikaji oleh Menara Gading yang ada di negara ini dan jangan selesa dengan kurikulum yang saya pelajari 30 tahun lalu.

Itulah REALITINYA..

Thursday, January 1, 2009

Happy New Year 2009

Happy New Year 2009. Well, another year has come and gone. Wishes everybody a very warm, healthy and happy year ahead and hope 2009 brings great pride, love, health and wealth to all.