Wednesday, December 3, 2008

BULETIN UTAMA - 03


Pada peringkat awal penubuhan Bahagian Berita TV3, petugas di Bilik Berita ditempatkan di sebuah bilik di hadapan Studio A , TV3 Jalan Liku, Bangsar. Pada ketika itu ibupejabat TV3 terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman sebelum ia berpindah ke Jalan Syed Putra atau dahulunya dikenali sebagai Jalan Lornie. Pada mulanya petugas di Bilik Berita tidak mempunyai tempat duduk yang mencukupi kerana jumlah kakitangannya bertambah setiap hari. Ada ketikanya kami berkongsi 3 orang menggunakan sebuah meja. Aku sendiri pernah berkongsi meja bertiga dengan Penyampai Berita, Razak Abdullah dan Caryn Lim.
Oleh kerana keperluan, desakan dan tuntutan tugas ketika itu, kami berkampung di Jalan Liku setiap hari bermula sejak pagi hinggalah ke tengah malam. Kami hanya pulang ke rumah untuk menukar pakaian. Oleh kerana pelancaran siaran Berita dijadualkan sebulan lagi, Wartawan, Penolong Penerbit, Penyampai Berita dan Penerbit Berita bertungkus lumus melaksanakan tugas dan tanggungjawab setiap hari dengan penuh dedikasi tanpa apa-apa bantahan. Setiap individu memahami tanggungjawab masing-masing untuk melaksanakan tugas terbaik untuk memastikan kelancaran penerbitan berita yang mahu disiarkan.
Yang menariknya segala yang dibuat setiap hari selama lebih sebulan adalah untuk tontonan sendiri dan tidakpun disajikan kepada umum. Usaha seharian dilakukan berbentuk liputan wartawan di lapangan, pemerosesn berita, penyuntingan editorial dan visual - kesemuanya berbentuk ujian atau Test Run untuk Produksi dan juga Mock Run untuk latihan Penyampai Berita. Oleh kerana semuanya kakitangan baru dan tidak berpengalaman dalam siaran berita TV, mereka perlu didedahkan dengan kemahiran baru secepat mungkin tentang cara penerbitan berita di televisyen. Kami turut dibantu oleh Bahagian Teknikal terawal seperti Limat Yon, Mohd Khairul Abdullah, Hj. Tahir, Nazari Ibrahim serta Jurukamera terawal Lazam Maidin, Baskaran, Han Chong Huat  & Awal Ibrahim  di bahagian Editing - (Yang lain tak ingat nama...haraf maaf).
Pada masa itu kami diberi lesen untuk melakukan kesilapan, dan selepas itu mengadakan post mortem untuk memperbaiki kesilapan yang dilakukan. Dan pada ketika itu bagi mereka yang baru mengenal Pak Samad, akan merasa terkejut dengan cara beliau "mengajar dan mendidik kami". Seronoknya, kami enjoy di bawah pengawasan seorang legenda kewartawanan yang tidak lokek dengan pengalamannya. Selepas selesai Mock Run kira-kira jam 11 setiap malam, Pak Samad mengajak dan membelanja kami makan di warong Wak betul-betul di hadapan pintu utama Studio TV3 di Jalan Liku.
Apabila tarikh keramat 1 Januari 1985 tiba, siaran Berita TV3 menemui rakyat Malaysia di udara. Buat pertama kalinya siaran berita TV di Malaysia menawarkan personaliti Penyampai Berita yang muda, berwajah baru dan bertenaga - berbanding dengan siaran berita TV yang sedia ada yang menggunakan khidmat Penyampai Berita Veteran ketika itu.
Dari bulan Disember 1984 menjangkau hingga ke bulan Februari 1985– sepanjang tiga bulan, ada di antara kami bekerja setiap hari untuk menghasilakan penerbitan berita. Semangat kental petugas TV3 ketika itu merangkumi semua warga kerjanya termasuk Wartawan, Penolong Penerbit, Penerbit dan mereka di belakang tabir seperti Pemandu, Editor dan Jurukamera Video & Still dan Pembantu Penerbitan. Ada di antara kami yang bekerja terus sepanjang tiga bulan tanpa mengambil cuti seharipun – sehinggalah bulan ketiga, di mana dirasakan Bahagian Berita dilihat mampu berfungsi sendiri dengan kakitangan yang mencukupi dan sudah ada pengalaman untuk melaksanakan operasi sebuah Bilik Berita TV.
Itulah secebis nukilan mengenai bermulanya kegemilangan zaman Studio Jalan Liku pada awal-awal penubuhan TV3.

No comments:

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...