Friday, April 17, 2009

KELAHIRAN PTC


Selepas bertugas hampir 8 tahun di TV3, pada tahun 1992, aku mengambil keputusan untuk meninggalkan tv swasta pertama itu untuk membuka syarikat sendiri. Aku merasakan pengalaman 8 tahun sudah cukup untuk menyediakan aku dengan pengalaman yang perlu sebagai persediaan menghadapi pelbagai cabaran ketika menjalankan perusahaan sendiri.

Aku menyewa sebuah pejabat di Lucky Garden Bangsar, yang secara kebetulan berhampiran lokasinya dengan TV3 yang ketika itu terletak di Jalan Liku.

Prime Times Communication Sdn. Berhad, PTC tertubuh, dan projek pertama syarikat ialah menghala ke RTM. Pengarah Urusan RTM ketika itu Salleh Patih Akhir adalah bekas bosku ketika bertugas sebagai wartawan di Bilik Berita Radio pada awal 70an.Dia menawarkan aku untuk menerbitkan beberapa siri dokumentari untuk stesen kerajaan itu. Aku hanya dapat menyiapkan 3 siri dokumentari iaitu Taman Negara, Malaysia 24 Jam dan Budaya Malaysia apabila projek itu dihentikan kerana ketiadaan pembiyaan.

Salleh Patih Akhir (Allahyarham), turut mencadangkan aku membuat projek usahasama dengan sebuah syarikat penerbitan tempatan untuk menghasilkan sebuah program perubatan yang merungkai isu-isu kesihatan dan dunia perubatan. Selepas menyediakan kertas konsep, aku menyiapkan program PILOT dengan bantuan beberapa teman bagi membolehkan RTM menawarkan kontrak 13 siri mengenainya.

Apabila RTM menerima konsep program ini, syarikat penerbitan yang dijalin secara usahasama itu mengambil keputusan mengugurkan kumpulan kami dan meneruskannya secara bersendirian.

Dari peringkat awal lagi, aku sudah menduga masalah sebegini akan berlaku dan akan terus berlaku dalam mana kepakaran kami hanya diperlukan untuk menyediakan kertas konsep program dan apabila stesen television menerimanya kami pasti ditinggalkan.

Berbekalkan pegalaman ini, aku mengambil keputusan untuk tidak lagi membuat projek sebegini dengan syarikat-syarikat yang gemar bermain silap mata dan berhasrat melakukannya secara sendiri.

Selepas menerbitkan rancangan untuk RTM tidak berapa menjadi, aku mengubah haluan ke TV3 dengan menghubungi Yunus Said yang sepeninggalanku di TV3 telah dinaikkan pangkat daripada Penyelaras Berita ke Pengarah Urusan. Pengurus Rancangan TV3, Khalil Mohd Zain yang juga juniorku di ITM adalah juga bekas bosku di Bilik Berita TV3. Aku usulkan kepadanya cadangan penerbitan sebuah rancangan berteras perniagaan iaitu Dari BSKL.

Hasilnya, aku ditawarkan 13 episod program Dari BSKL – dan ia adalah projek pertama PTC sebagai production house tanpa usahasama dengan sesiapa.

2 comments:

azman razali said...

masih saya ingat bagaimana saya juga terlibat dalam rakaman program ini....

Taufik Asmady said...

walau sekarang tak involve dalam tv production, join paper Sinar Harian since June 2008, PTC tetap di hati. Banyak kenangan dan pengalaman ditimba.

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...