Orang-orang kuat dan pakar bahasa seperti Pak Asraf dan teman di DBP, Awang Sariyan adalah antara tenaga pengajar yang berkelayakan yang diminta mengendalikan kursus intensif penggunaan Bahasa Baku. Pada tahun1988, TV3 meneroka sejarah baru menemui penonton dengan menggunakan Bahasa baku di dalam siaran beritanya.
Pada peringkat awalnya, penggunaan bahasa baku agak kekok sedikit khusunya yang membabitkan sebutan. Lama kelamaan sebutan dan mendengarnya menjadi satu kebiasaan kepada semua. Bahasa Baku bukan terletak pada sebutan yang baku sahaja, malah merangkumi penggunaan keseluruhannya. Bahasa Baku sebagai ”bahasa standard" meliputi tiga aspek iaitu ejaan baku, tatabahasa/nahu yang tepat dan sebutan.
Usaha berterusan TV3 ini menerusi Penyampai Beritanya menerima pengiktirafan sebagai organisasi tunggal di negara ini yang cuba mendaulatkan penggunaan bahasa baku dan menerima anugerah khas Persatuan Linguistik Malaysia. Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sijil pengiktirafan itu kepada penyampai TV3 dalam satu majlis khas.
Namun selepas pelaksanaan empat tahun, Menteri Penerangan ketika itu Khalili Yacob mengumumkan arahan penghentian pelaksanaan Bahasa. Langkah ini dilihat para pemerhati lebih banyak berbaur politik selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jika diamati negara-negara pendukung Bahasa Melayu seperti Indonesia, Brunei dan Singapura menjadikan sebutan baku sebagai piawaian pertuturan. Radio & TV Singapura siaran Melayu misalnya sehingga hari ini adalah institusi yang masih menggunakan Bahasa Baku dalam penyiaran hariannya.
Menteri Pendidikan ketika itu , Tan Sri Musa Mohamad menyifatkan “Bahasa Baku hanya berbeza dengan Bahasa Melayu asal dari segi sebutan dan seolah-olah dibuat-buat”.
Walau bagaimanapun, berikutan pembantahan awam dan pihak pembangkang, termasuk DBP terhadap pemansuhan penggunaan bahasa Melayu Baku yang dilaksanakan sejak 1988, pernyataannya ditarik balik dan berkata bahawa kerajaan sanggup mengkaji semula surat pekelilingnya mengenai pemansuhan itu jika terdapat alasan yang kuat untuk meneruskan penggunaannya. Sehingga ke hari ini belum ada dasar Bahasa Baku yang sebenar yang digunapakai
No comments:
Post a Comment