Ketika di Bilik Berita Radio RTM, aku sering ditugaskan membuat liputan keluar kota khususnya mengenai lawatan Perdana Menteri serta kenamaan lain. Apabila tugasanoutstation ini diberikan, ia agak menarik kerana kita berpeluang keluar kota untuk menambah pengalaman penghidupan. Selalunya apabila tugasan ini dilakukan, aku diberikan kenderaan yang disediakan pemandu. Itulah yang menyeronokkan.
Tetapi ada juga bahagian yang tidak menyeronokkan- apabila tiba waktu malam untuk tidur. Oleh kerana gajiku hanya RM290 sebulan, bermakna kelayakaan tuntutan untuk penginapan hanya berjumlah maksimum RM15 semalam. Ini bermakna aku hanya layak untuk menginap di hotel-hotel murah yang yang tidak melebehi had RM15 semalam.
Pada zaman itu hotel yang berkadar RM15 semalam adalah kategori hotel murah yang terdapat di ibu negeri atau pekan-pekan kecil yang dilanggani mereka yang berpendapatan rendah serta jurujual yang berpindah randah dari kota ke kota. Oleh kerana status ku itu, aku juga dikategorikan sedemikian.
Apabila pulang ke bilik hotel selepas selesai tugasan seharian, terpaksalah aku menyelinap ke bilik untuk tidur. Dan lazimnya hotel-hotel sebegini turut dihuni dan dipenuhi oleh pelacur-pelacur tua murahan yang menyusun kerusinya di hadapan bilik kami menunggu pelanggan.
Lazimnya kawan wartawan ini lebih senior dan memilikki gaji yang lebih lumayan dan layak menginap di hotel 3 bintang. Hotel lima bintang belum lagi wujud di kebanyakan bandar luar KL pada ketika itu.
No comments:
Post a Comment