Sunday, April 12, 2009

SEKAPUR SIRIH PAGI AHAD - 11


Sebagai Timbalan Pengurus Berita/Ehwal Semasa, aku bertanggungjawab untuk memikir, menyedia dan melaksanakan pelbagai konsep rancangan ehwal semasa bagi tujuan siaran di TV3. Antara program yang dikenalpasti dan diperlukan ialah yang berformat bual-bicara - talkshow - atau wawancara untuk slot pagi.
Program pagi sebenarnya adalah program yang disiarkan hampir di semua stesen tv di seluruh dunia. Stesen saingan TV3, RTM sendiri mempunyai program yang dinamakan Selamat Pagi Malaysia. Di Amerika Syarikat program Good Morning America menjadi program pagi terpilih yang popular. Oleh kerana RTM telah menggunakan istilah ” Selamat Pagi” maka terpaksalah difikirkan nama-nama kreatif lain. Selepas bermesyuarat beberapa kali, program pagi Ahad pun dilahirkan. Program ini diberi nama Sekapur Sirih, yang tajuknya diilhamkan oleh Pengarah Urusan ketika itu, Datuk Ahmad Sebi. Program sejam itu menggandingkan seorang pengacara lelaki dan seorang pengacara wanita. Antara gandingan yang dikenalpasti dan diuji termasuk Rosli Dahamin/Christine Ling, Mahadzir Lokman/Nurfarahin Jamsari dan Razak Abdullah/Nurfarahin Jamsari.
Sebagai orang yang bertanggungjawab dalam memastikan rancangan pagi itu terus mempunyai rating yang tinggi, pelbagai pendekatan difikirkan. Untuk tahun pertama - 1987, matlamatnya adalah untuk menyaingi rating Selamat Pagi Malaysia. Selepas ini dicapai matlamat seterusnya adalah meningkatkan jumlah penonton sehingga mencecah lebih sejuta - satu pencapaian yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana stesen tv bagi sebuah program pagi.
Di dalam post-mortem mingguan, pelbagai cadangan dilontarkan dan diuji dengan memperkenalkan pelbagai segmen singkat sebagai testing ground untuk meningkatkan jumlah penonton. Antaranya termasuk penggunaan, kami indah, belajar bahasa, ulasan buku, di sebalik tabir, kesihatan, undang-undang, petua dan kuiz.
Antara strategi lain yang dilakukan ialah menganjurkan pelbagai pertandingan yang dibuat secara siaran langsung, membawa artis baru ke studio serta membawa tokoh-tokoh yang diliputi dalam berita. Antara program yang meletup dan berjaya mencecah angka sejuta penonton ialah acara Letchumanan – Orang Kuat Malaysia - menarik Pesawat Boeing737 PENERBANGAN MALAYSIA di Hangar Lapangan Terbang Subang.
Bagi melaksanakan tugasan ini pada peringkat awalnya PENERBANGAN MALAYSIA tidak begitu berminat. Hanya selepas Thai Airways bersetuju membenarkan pesawatnya ditarik oleh Letchumanan, barulah syarikat penerbangan tempatan itu bersedia memenuhi permintaan kami – daripada membenarkan kapalterbang saingannya mendominasi pagi minggu rakyat Malaysia di layar television. Apa yang menarik, segmen di dalam program Sekapur Sirih yang disiarkan secara langsung di TV3 pada pagi minggu itu turut digunapakai di dalam siaran berita di beberapa buah stesen tv di seluruh dunia. Agensi berita membekalkan berita ini - liputan keistimewaan Orang Kuat Malaysia menarik kapalterbang Boeing 737 dengan hanya menggunakan kudrat dan kekuatan sendiri tanpa bantuan sesiapa.

No comments:

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...