Aku pernah dijemput sebagai ahli panel satu majlis forum mengenai peranan wartawan wanita di media elektronik yang dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Wanita Malaysia iaitu PERTAMA pada awal 90an.
Jemputan itu adalah atas kedudukan sebagai Timbalan Pengurus Berita & Ehwal Semasa TV3.
Ketika sesi soal jawab dengan para peserta yang secara kebetulan juga adalah wartawan, ada yang bertanyakan dengan nada marah kenapa dan mengapa TV3 mengambil pembaca berita wanita yang cantik-cantik sahaja dan tidak memberi peluang kepada pembaca berita wanita yang tidak cantik membaca berita. Menurut mereka pendekatan ini adalah satu bentuk diskrimansi kepada wartawan wanita.
Aku tidak menjangka dan agak terkejut dengan soalan seperti itu dan untuk tidak memperkecilkan hati yang bertanyakan soalan itu aku tidakpun memberikan jawapan yang tidak emosional dan menyakitkan hati.
Dengan berseloroh, aku mencabar para peserta forum yang turut membabitkan penyertaan editor kanan majalah tempatan supaya berkuatkuasa serta merta mereka perlu meletakkan gambar hiasan muka depan majalah-majalah - khususnya bertema wanita dengan foto-foto perempuan yang tidak cantik. Jika mereka sanggup berbuat demikian - aku juga akan menukarkan penyampai berita di TV3 dengan penyampai yang tidak cantik.
Adalah menjadi amalan ketika itu dan juga sekarang yang hanya meletakkan wanita cantik sebagai penghias muka depan majalah.
Tidak ada seorangpun yang menyambut cabaranku ini.
Mereka kemudiannya bertanyakan soalan lain yang tidak ada kena mengena dengan pembaca berita yang cantik.
No comments:
Post a Comment