Setelah lewat petang, aku dan Ibrahim Abdul Hamid, pensyarah ITM kembali semula ke Amsterdam untuk menyambung perjalanan ke Copenhagen. Oleh kerana terlalu letih kerana sehari suntuk berpusing di dua kota berjalan kaki, kami berdua terlelap apabila keretapi meninggalkan stesen Amsterdam.
Kami tiba di Copenhagen di sebelah pagi. Selepas bersarapan dan menukar matawang Holland ke Denmark, kami terus menuju ke Pusat Penerangan pelancungan. Tidak banyak terdapat tempat menarik di sini , kami mengambil keputusan bertolak ke Oslo, ibu negara Norway pada malam itu. Tempat-tempat menarik yang sempat dikunjungi dalam lawatan ke Copenhagen termasuk patung ikan duyung yang menjadi simbol kota Copenhagen, yang terletak di tepi pantai di pinggir kota Taman bunga yang dipenuhi dengan pokok bunga Tulip yang berwarna-warni serta melihat Istana Di Raja Denmark. Seperti kota-kota lain, orangramai bertumpu ke pusat membelibelah khas yang dikenali dengan panggilan Mall Centre. Daripada lawatan singkat itu dapatlah diberi kesimpulan bahwa kotaraya ini lebih tersusun kemas dibandingkan dengan bandar-bandar yang terdpat di Holland.
Kami meninggalkan kota Copenhagen ke Oslo, Norway malam itu. Kota Oslo memang terkenal di peta dunia sebagai pusat instiitusi Nobel yang mengeluarkan hadiah Nobel setiap tahun. Kami diberitahu oleh rakan yang telah melawat ke sana supaya melawat pameran kapal Viking, yang telah digali di Osberg dan Gostkad di Bygody dan kapal Fram di Nagen. Kami juga bercadang sekiranya ada masa melihat keindahan Fiord yang dipelajari ketika di sekolah rendah dulu, sebelum meneruskan perjalanan ke Stokholm, Sweden.
* Petikan rencana ini pernah disiarkan di Berita Minggu di dalam kolum Catitan Dari Eropah oleh Salleh Kassim pada14/9/80.
No comments:
Post a Comment