Setelah bersarapan nasi goreng dan bubur kacang di pagi yang dingin di kamar Sheikh Ghazali, kami meninggalkan Leuvan ke stesen pusat Brussels. Kotaraya Brussels yang menjadi pusat kebudayaan, perdagangan dan perindustrian itu kami tinggalkan tepat jam 12 tengahari. Kami bercadang mengunjungi kota itu dalam perjalanan pulang setelah selesai pengembaraan nanti. Tambahan lagi bag besar kami masih tersimpan di kedutaan Malaysia di Brussels.
Keretapi yang sentiasa kemas dan bersih meluncur laju meninggalkan Brussels menuju ke Amsterdam. Oleh kerana terlalu letih , kami terlelap dan tidak dapat menyaksikan keindahan semulajadi pandangan di kiri kanan sepanjang perjalanan. Kami hanya sedar apabila tiba di sempadan Belgium-Holland, apabila dikejutkan oleh pihak imigresen dan kastam. Oleh kerana kami mempunyai dokumen yang diperlukan, tidaklah menjadi masalah.
Walaupun demikian kami diperiksa dengan sebegitu teliti. Ini telah kami duga kerana imej rakyat negara kita agak tercemar akibat beberapa kejadian penuyeludupan dadah yang dilakukan oleh pemegang paspot Malaysia sebelum itu.
Kotraya Rotterdam, Dan Haag, Uterich dan beberapa kota kecil lain telahpun dilalui. Kami tidak bercadang untuk berhenti. Destinasi terakhir ialah Amsterdam. Dalam perjalanan itu dapat juga kami lihat simbol negara Holland iaitu kincir angin yang terpacak gagah. Jam 4 petang, barulah tiba di stesen pusat Amsterdam – empat jam perjalanan. Kami terus mencari rumah tumpangan belia yang berhampiran dengan stesen. Lama juga mencari baru berjumpa. Bayaran untuk semalam ialah RM26. Itulah yang paling murah. Itupun kami berkongsi bilik dorm dengan 26 belia lain dari New Zealand, Austrlia, Kanada, Israel dan juga Amerika Syarikat.
Oleh kerana perut lapar, kami terpaksa keluar semula ke bandar. Puas mencari tempat nakanan murah, tidak juga berjumpa. Kami terperanjat besar bila bertemui sebuah restoran makanan Indonesia ”Sukasari”. Rupa-rupanya terdapat banyak restoran serupa itu di kawasan tersebut kerana ramainya jumlah penduduk keturunan Indonesia di Amsterdam. Tambahan lagi Indonesia pernah dijajah oleh Belanda tidak lama dulu. Oleh kerana tak menjamah gado-gado dekat tiga tahun. Itulah yang dipesan. Harganya juga berpatutan.
Dalam perjalanan pulang mengikut arus manusia yang datangnya tak tahu daripada mana, kami tersesat. Jam menunjukkan angka 11 malam. Manusia masih lagi berpusu-pusu. Bila ditanyakan arah hostel, kami menghadapi masalah yang sama. Tiada siapa yang tahu berbahasa Inggeris. Yang boleh berbahasa Inggeris hanyalah para pelancung yang sama keadaannya dengan kami.
Tanpa disedari kami berada di kawasan ”Red District”- satu istilah bagi orang-orang di sini di mana pertunjukan sek bebas diadakan.Sungguhpun tempat serupa ini terdapat di Amerika, kami agak terperanjat dengan keadaan yang lebih berani di sini. Di samping majalah-majalah seks yang beratus tajuk, pertunjukan sek juga terdapat di mana-mana. Pelacur-pelacur berdandan cantik memakai bikini di tempatkan dalam cermin bergelas di kiri kanan jalan sebagai menjual daging lembu dan kambing di pasar..
Tujuan kami ialah mencari jalan pulang ke hostel. Kami tidak lama di situ. Akhirnya bersua juga hostel yang dicari yang rupa-rupanya terletak di belakang kawasan tersebut.
Ketika cuba-cuba melelapkan mata, hati kecilku berbicara. Beginilah akibatnya jika manusia hidup hanya berlandaskan kebendaan semata-mata.
* Petikan rencana ini pernah disiarkan di Berita Minggu di dalam kolum Catitan Dari Eropah oleh Salleh Kassim.
No comments:
Post a Comment