Persidangan yang bermula pada 25 Disember 78 itu bertemakan ”Pembangunan Malaysia : Penilaian dan Masa Depannya” boleh dianggap berjaya, sekurang-kurangnya menyedarkan mereka yang belum sedar mengenai perkara yang berlaku di tanahair setelah lama ditinggalkan.
Teman-teman sekereta dari Boston belum mahu pulang. Mereka mahu ke Chicago- di sebelah utara. Aku bukan tak mahu mengikut. Wang dikocek tidak mengizinkan. Oleh yang demikian aku dan Mustafa, teman serumah dan sekuliah terpaksa mencari kenderaan lain yang mahu pulang.
Bagaianmanapun, kami bercadang singgah di New York yang terpaksa dilalui dalam perjalanan pulang. Kota yang menerima 20 juta pelancung tahun lalu diharap sudi menerima kami. Mansur Putih yang tinggal di New York telahpun diberitahu yang kami akan singgah di tempatnya. Kami tiba jam 3.00 pagi setelah memanaskan pungggung di kereta selama 18 jam. Sungguhpun waktu sebegitu lewat, Kota New York masih sebok dengan kegiatannya.
Aku mengejut Mansur di biliknya. Dia rupa-rupanya masih diulit mimmpi. Sungguhpun mata mengantuk, terpaksa dibuka luas-luas melayan Mansur yang sebegitu ghairah mahu berbual setelah dikejutkan. Aku terpaksa tidur dulu dan Mustafa melayannya.
Esok paginya - Bangun awal. Hari terakhir di tahun 1978 – 31 Disember. Kami meninggalkan studio Mansur untuk sarapan dan bercadang melihat kotaraya New York hari itu. Cuaca kurang mengalakkan, seolah-olah meratapi perpisahan tahun 1978. Kami tidak boleh ke mana-mana. Hujan terlalu lebat. Kami hanya ke Universiti Columbia tempat Mansur Putih menyambung pengajian dari ITM dalam bidang Perfileman. Sempat juga meninjau Harlem – kawasan kediaman kulit hitam – dari jauh. Kami bercadang mengunjungi masjid di Harlem, tetapi tidak berbuat demikian kerana kesempitan waktu.
Sebelah malamnya perayaan tahun baru disambut di seluruh Amerika. Di New York ia diadakan di Time Square. Kami bertiga keluar awal untuk turut menyaksikan kota tersebut mengalu-alukan kedatangan tahun baru ketika tengah malam. Suasana malamnya pun seolah-olah seperti siang. Manusia seperti semut di setiap lorong-lorong keretaibawah tanah dan stesen bas. Mereka dengan hal masing-masing seolah-olah tidak memperdulikan yang orang lain juga wujud.
Tiba di Time Square, terkejut menyaksikan lautan manusia. Mereka sudahpun membanjiri tempat tersebut awal-awal lagi. Kami sendiri terperangkap tidak boleh bergerak ke mana-mana. Tolak menolak, gesel mengesel, terpekik terlolong menjadi perkara biasa. PolisNew York berkawal rapi di setiap lokasi. Oleh kerana sudah terlalu ramai, polis sukar menjaga keadaan. Manusia yang kebanyakknya mabuk seolah-olah melupakan dunia bagi menyambut tahun baru. Aku pun pelik memikirkannya. Kejadian ganjil seperti memanjat tiang lampu, kencing di halayak ramai dan pergaduhan berlaku di depan mata. Selok saku menjadi-jadi. Tepat jam 12 tengah malam Tahun 1979 menjenguk muka. Semuanya terpekik dan berteriak ”Happy New Year” dinyalakan di papantanda di depan mata. Selesai acara , masing-masing pulang ke rumah masing-masing.
* Petikan rencana ini pernah disiarkan di Berita Minggu di dalam ruangan Warkah Salleh Kassim dari Amerika.
No comments:
Post a Comment