Thursday, November 27, 2008

MANA BERITANYA? - 02


Sekalungan bunga tahniah kepada PM, Datuk Hussein Onn, Dr. Mahathir, Tengku Razaleigh, Encik Ghafar, Datuk Musa serta pemimpin UMNO yang terpilih ke MT di perhimpunan Agung UMNO tidak lama dulu. Mungkin ucapan tahniah ini agak terlewat, tapi ia mungkin boleh dimaafkan kerana aku baru saja menerima beritanya.
Lewat menerima berita atau tidak menerimanya samasekali mengenai peristiwa tanahair adalah salah satu dilema yang dihadapi oleh penuntut Malaysia di luar negara. Kalau ada belas ikhsan kawan-kawan dan keluarga, dapatlah diikuti perkembangan tanahair sedikit sebanyak walaupun ia terlewat kira-kira dua atau tiga minggu.
Perkara ini mungkin tidak berlaku di kotaraya yang ramai penuntut Malaysia. Kerana hubungan rapat wujud antara Kedutaaan Malaysia di Washington serta persatuan anak-anak Malaysia di universiti berkenaan. Di universiti di mana jumlah penuntut Malaysia sebegitu kecil sebagaimana Boston Unversity – yang hanya mempunyai 6 penuntut adalah sukar bagi Kedutaan menghubungi kerana ketiadaan persatuan yang formal. Hendak menubuhkan persatuan pun tidak perlu kerana jumlahnya sebegitu kecil. Bagaimanapun, jumlah itu tidak termasuk penuntut dari universiti lain seperti University Massachusetts, Massachusetts Institute of Technology (MIT), University North Eastern dan Harvard University.
Bagi kami di Boston University, berita tanahair yang baru diterima dicanangkan dari mulut ke mulut sebagaimana perhubungan yang dibuat di zaman dahulu kala. Usaha ini juga dapat mempereratkan hubungan antara pelajar yang lazimnya sebok dengan kuliah sendiri.
Setelah dua bulan di sini, aku tidak berpeluang mengikuti perkembangan tanahir di akhbar-akhbar tempatan. Akhbar-akhbar seperti Boston Globe, Washington Post dan Wall Street Journal misalnya, hanya memuatkan berita tempatan serta perkembangan dunia luar. Berita-berita di radio atau TV sama ada di rangkaian ABC, NBC & CBS serupa saja kandungannya. Apa yang berlainan hanyalah adunan rencah berita yang dipersembahkan dengan cara tersendiri.
Majalah seperti Far Eastern Economic Review, Asiaweek sukar diperolehi sama ada di tepi jalan mahupun di perpustakaan. Kalau adapun di perpustakaan ia adalah terbitan lama yang pernah dibaca di Malaysia. Majalah terbitan baru seringkali direbut awal-awal oleh penuntut dari negara Asia lain seperti Korea Selatan, Filipina dan lain-lain. Majalah Times, Newsweek, Esquire dan lain-lain tidak memberi perhatian kepada perkembangan di Asia malahan lagi Malaysia.
*Petikan Rencana ini pernah disiarkan di dalam akhbar Berita Minggu di dalam ruangan Warkah Salleh Kassim dari Boston, Amerika.

No comments:

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...