Sunday, November 30, 2008

THE HAGUE - 03

AKU dan Ibrahim Hamid bangun agak awal sedikit pada hari kedua di Amsterdam. Semasa bersarapan, kami berbual rancak dengan para belia dari New Zealand, Austrlia, Nigeria dan juga Amerika Syarikat. Selesai sarapan, kami meninggalkan hostel menuju ke Centrum – sebuah pusat membelibelah yang menjadi tumpuan pelancung.

Oleh kerana tidak berduit, kami hanya berpusing-pusing berjalan kaki menikmati tempat bersejarah di sekeliling kota yang kaya dengan terusan dan perahu panjang yang dipenuhi para pelancung.

Amsterdam adalah kota terbesar di Holland walaupun ia bukan ibu negara. Ia juga adalah pelabuhan penting dan pusat perdagangan, bank, insuran dan perdagangan seni halus. Kota itu juga menarik hati para pelancung kerana perusahaan seni memotong intan.

Antara tempat menarik di kota itu ialah muzium kebangsaannya yang mempunyai banyak simpanan lukisan terkenal seperti Du dan lukisan Flemish termasuk karya Rembrandt ”Night Watch”.

Keistimewaan kota ini dibandingkan dengan yang lain ialah banyaknya jumlah terusan yang didirikan selari dengan jalanraya. Terdapat beratus-ratus jambatan yang menghubungkan jalanraya di sekeliling kota ini.

Menjelang tengahari, kami telah melawat beberapa tempat penting yang menarik. Menantikan keretapi malam yang akan membawa kami ke Copenhagen, Denmark, kami berangkat ke ibu negara Holland iaitu The Hague. Ia terletak kira-kira sejam perjalanan dari Amsterdam. Kota itu bolehlah dianggap tercantik daripada ibunegara lain yang pernah dikunjungi. Bangunan kediaman dan pejabat, jalanraya dan terusan yang terbina dibuat dengan begitu teliti dan kemas sejajar dengan statusnya sebagai ibu negeri. Mahkamah Keadilan Antarabangsa milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB juga terletak di sini. Kota ini bolehlah dianggap sebagai sebuah kota kediaman kerana tidak terdapat sebarang aktiviti perindustrian.

Sebagai pusat pentadbiran kerajaan, kota itu kaya dengan bangunan-bangunan bersejarah termasuk perpustakaan di raja, muzium seni halus lama dan dewan bandaran yang dibina pada kurun ke 16. Pusat bandar yang dikenali dengan panggilan Plein menjadi pusat tumpuan orangramai berehat-rehat.

Bagi mengendalikan jumlah para pelancong yang begitu ramai, Jabatan Pelancungan menyediakan pusat-pusat penerangan di mana-mana. Para pelancung dari setiap buah negara luar boleh mendapatkan penerangan menurut bahasa ibunda masing-masing daripada pegawai pelancung negara itu.

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di akhbr Berita Minggu di dalam kolum Catitan Dari Eropah oleh Salleh Kassim pada 14/9/80.

No comments:

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...