HIDUP di luar negeri penuh cabaran. Khusunya perkara yang penting dalam hidup iaitu MAKAN. Bagi mereka yang berada di luar negara, antara perkara yang sering memilukan hati bukan sahaja berpisah jauh dengan kaum keluarga dan rakan, malah perpisahan dengan berpuluh-puluh jenis makanan serta kuih-muih. Antaranya ialah Mee Rebus, Laksa, Nasi Ayam, Kuih Kuci, Pulut Panggang serta makanan paling popular - Goreng Pisang.
Terliur meningingatkan nikmatnya mengunyah makanan-makanan ini. Golongan pelajar yang kurang bernasib baik dan jarang menjamah makanan ala-Malaysia ialah yang tinggal di asrama universiti. Terpaksalah mereka makan makanan seperti Burger, Steak serta Salad sahaja. Namun, ada juga asrama universiti yang membenarkan penghuninya memasak. Tapi, Jangan dicuba-cuba masak lauk yang berkari ataupun mengoreng ikan kering. Sekelip mata sahaja, mereka yang tajam hidungnya akan mengadu hal kepada pengetua asrama.
Aku masih teringat peristiwa seorang kawan yang tinggal di asrama di sini. Kerana baru menerima kiriman rempah kari dari tanahair, dia cuba menumis kari ayam. Penghuni seasrama yang tidak biasa dengan bau pelik ini terus mengadu kepada pihak berkenaan. Sejak itu, kari ayam yang dikirim dari Malaysia bersetemkan $50 terpaksa disedekahkan kepada rakan di luar asrama. Dalam satu kes lain, beberapa penuntut kita cuba membakar satay. Jiran-jiran di sebelah mengetuk pintu kerana ingatkan ada kebakaran. Masakan tidak, Asap membakar satay berkepul-kepul keluar dari bilik. Ini menarik perhatian dan menimbulkan kecemasan jiran-jiran.
Bagi mereka yang tinggal di luar asrama, mereka tidak punya banyak masalah. Lagipun adalah lebih murah mereka memasak sendiri. Hujung minggu di Boston adalah masa untuk membelibelah di pasar borong. Kalau ke supermarket harganya tinggi sedikit berbanding pasar borong. Kerana Boston berhampiran laut, ikan, udang dan ketam agak murah dibandingkan dengan bandar lain seperti Chicago, St. Louis dan Indianapolis yang tidak berpantai.
Masa yang seronok bagi yang masih bujang ialah apabila mereka yang berkeluarga menjemput makan ke rumah. Di hujung minggu, tunggu sahajalah deringan telefon menjemput makan. Rezeki sebegini pasti tidak ditolak.
Kalau tidak menerima jemputan, mereka berkumpul di hujung minggu dan berkongsi duit untuk memasak makanan yang istimewa sedikit. Kepala ikan, ikan pari atau ikan terubuk adalah antara makanan yang diminati. Ikan jenis ini harganya murah dibandingkan dengan ikan lain. Kepala ikan terubuk mislanya sukar dimakan dengan menggunakan sudu dan garpu oleh orang-orang di sini.
* Petikan rencana ini disirkan di akhbar Berita Minggu di dalam ruangan Warkah Salleh Kassim dari Boston, Amerika.
No comments:
Post a Comment