Saturday, November 29, 2008

BERMESYUARAT DI AMERIKA - 04


Pembangunan MALAYSIA : Penilaian dan masa depannya.”. Itulah tema Persidangan Agung & Perhimpunan Tahunan ke 10 Persatuan Mahasiswa Amerika Utara, ringkasnya PEMAU tahun 1978. Ia berlangsung selama lima hari bermula dari 25 Disember di Universiti Indiana, Bloomington.

Seramai 315 penuntut Malaysia dari beberapa universiti di Amerika Syarikat dan Kanada menghadiri upacara itu. Duta Malaysia ke Amerika, Datuk Zain Azraai merasmikan persidangan, Duta Malaysia ke Kanada, Datuk Ahmad Zainal Abidin serta wakil Menteri Pelajaran dari Kuala Lumpur, Encik Aziz Shamsuddin turut hadir.

Lapan kertas-kerja dibentang dan dibincangkan di persidangan lima hari itu. Datuk Zain Azraai dalam ucapan perasmiannya mengingatkan peserta supaya menyedari hakikat bahwa mereka bukanlah satu golongan elit baru yang akan kembali ke tanahair menggantikan sisitem kolonial British dulu. Mereka datang daripada masyarakat dan adalah sebahagian daripada mereka dan dengan demikian adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk kembali berkhidmat untuk masyarakat.

Dalam hal ini, ketika kembali ke tanahair nanti selepas tamat pengajian, hendaknya janganlah mereka hanya memperjuangkan rumah besar, kereta besar, banyak saham dan melupakan tanggungjawab.

Adalah menjadi tanggungjawab mereka memikirkan cara terbaik dan membina dalam membentuk masyarakat Malaysia yang membangun dan moden tanpa merubah kebudayaan dan norma-norma hidup ketimuran.

Tema persidangan itu bersesuaian kerana ia menimbulkan beberapa soal pokok mengenai ciri-ciri masyarakat Malaysia yang hendak dibina bersama. Ia juga menyentuh soal corak masayarakat Malaysia yang dikehendakki dan apa pula yang boleh dan sanggup dibuat untuk membinanya.

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di akhbar Berita Minggu dalam ruangan Warkah Salleh Kassim dari Amerika.

No comments:

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...