Walaupun banyak siri audition diadakan, adalah agak sukar mendapat calon Newscaster yang benar-benar memenuhi citarasa stesen TV3 ketika itu. Calon yang diperlukan perlu berkelayakan untuk menjalankan tugas yang diberikan di samping mempunyai personaliti menarik, menawan dan diyakini. TV3 mahukan Newcaster muda berketerampilan, berwawasan dan beridentiti tersendiri berbeza dengan Newscaster RTM ketika itu.
Oleh kerana TV3 merancang membuat pelbagai program selepas menemui penonton pada awal 1985, aku diberi lampu hijau untuk sama-sama membantu mengenalpasti Newscaster yang sudah ada di pasaran.
Antara orang pertama yang ku temui ialah Christine Ling yang ketika itu sudah membaca Berita Perdana RTM. Christine berkelayakan dari Rancangan Penulisan Kreatif & Deskriptif, RPKD,Universiti Malaya. Dia juga adalah bekas muridku ketika aku mengajar di UM untuk 3 subjek iaitu kewartawanan, penyuntingan dan isu-isu antarabangsa. Dia rupa-rupanya telah disunting lebih awal oleh RTM menerusi Ketua Pengarahnya ketika itu, Datuk Jaffar Kamin yang secara kebetulan menjadi Pensyarah Sambilan RPKD.
Apabila aku hubungi Christine dengan tawaran dan ganjaran lebih menarik - Dia menerima tawaran itu dan Christine yang fasih Bahasa Malaysianya bertukar angin ke TV3.
Seorang lagi penyampai berita yang pernah dilatih oleh RTM ialah Ezzah Aziz Fauzy. Apabila TV3 membuat audition, Ezah kelihatan selesa sebagai seorang Newscaster. Bila aku tanyakan kepadanya, dia ketika itu sedang menjalani mock-run di RTM. Oleh kerana dia belum lagi ditawarkan kontrak dan belum terikat, TV3 menawarkannya untuk membaca berita.
Cara untuk mencari Newscaster juga berbeza-beza. Seorang Newscaster Sambilan, Raymond Goh misalnya dikenalpasti kebolehannya menerusi program Majalah 3 yang mengupas mengenai tugas DJ radio. Ketika aku menonton program itu aku dapat mendengar suara Raymond dan keesokannya memintanya ke Jalan Liku, Bangsar untuk menghadiri sesi audition. Raymond berjaya dan diterima sebagai Newcaster Sambilan dan sehingga hari ini tenaganya masih diperlukan oleh stesen swasta itu.
Betinna Chuah Abdullah lain pula ceritanya. Daripada pembacaan di sebuah akhbar aku perolehi maklumat bahwa bekas model ini bekerja di sebuah agensi perhubungan awam selepas menamatkan pengajiananya di Amerika Syarikat. Aku berjaya menghubunginya di Kuala Lumpur dan mempelawanya membuat audition. Dia turut ditawarkan menjadi keluarga TV3 dan turut mengacarakan program kewangan berbahasa Inggeris Money Matters.
1 comment:
Saya amat berminat untuk berkecimpung dalam dunia penyiaran dan pernah menyertai ujibakat pembaca berita di TV3, tapi nasib tidak menyebelahi saya.
Post a Comment