Friday, March 27, 2009

MELASTIK BURUNG DI WAKTU PAGI - 03

Pada zaman kanak-kanak di awal 50 dan 60an, musim cuti sekolah sentiasa dinantikan. Pada ketika itu cuti sekolah tidaklah sepertimana sekarang – melancung bersama keluarga, menyertai perkhemahan motivasi atau mengikuti lawatan sekolah ke tempat menarik dengan ditemani guru.

Kegiatan kami berbentuk aktiviti harian dengan menangkap ikan di parit berhampiran rumah, mencari spider di semak-semak dan belukar, mandi sungai dan melastik burung di pinggiran hutan.

Semasa cuti persekolahan, sepanjang hari kami berada di luar rumah tanpa pengawasan ibu-bapa. Ibu-bapa masing-masing sebok dengan tugasan harian mencari nafkah sesuap nasi untuk menyara keluarga. Mereka tahu keselamatan kami sentiasa terjamin kerana semua orang di kampung di tempat kami tinggal mengenali kami.

Kami akan hanya pulang ke rumah kalau perut terasa lapar dan kembali semula menjalankan aktiviti harian. Menangkap ikan di parit-parit adalah antara aktiviti yang menarik pada sebelah pagi. Di samping menangkap ikan, kami mengambil kesempatan bermain baling-baling tanah di samping mengempung parit-parit untuk dijadikan tempat bermandi manda. Selepas itu kami ke semak-semak berhampiran mencari spider yang akan di simpan di kotak mancis. Spider-spider ini dipertemukan untuk berlawan dengan spider kawan lain untuk mencari juara. Setiap seorang daripada kami mempunyai sekurang-kurangnya 3 ekor spider untuk tujuan berlawan. Di samping spider, kami juga menganjurkan perlawanan ikan pelaga dan juga perlawanan semut hitam.

Aktiviti melastik burung bermula dengan mencari batang kayu tembusu yang sesuai dijadikan cabang kayu lastik. Kayu itu dibentuk sebegitu rupa dengan meletakkan minyak makan dan di bakar - tetapi jangan sampai hangus. Dengan cara begini, cabang lastik itu boleh dibentuk menurut kemahuan sendiri. Setelah siap menyediakan cabang lastik, barulah dicari tube basikal untuk menyempurnakan lastik itu. Melastik burung adalah antara aktiviti seharian yang sesuai dilakukan pada sebelah pagi. Burung burung yang tidak mati dijadikan burung peliharaan sementara yang luka disembelih dan yang mati dibuang begitu sahaja.

Pada sebelah petang, kesemua kanak-kanak berkumpul dan mempunyai acara permainan sendiri. Antara permainan popular ialah rounders – satu permainan berpasukan seperti sofball di mana ada kumpulan yang memukul bola dan ada yang menangkapnya . Polis and Thief pula turut menjadi permainan favourite di mana dua kumpulan bersaing – satu kumpulan menjadi polis dan satu kumpulan lagi menjadi pencuri. Setelah selesai pusingannya - yang menjadi polis bertukar menjadi pencuri dan kumpulan pencuri pula menjadi polis. Begitulah seterusnya.

Permainan galah panjang juga adalah permainan popular dalam mana dua pasukan bersaing untuk ”mematikan” langkah lawan di dalam satu petak khas yang disediakan. Permainan kaki sebelah juga adalah permainan tradisi yang sentiasa dimainkan oleh dua kumpulan. Seorang wakil kumpulan berkaki sebelah akan mengejar pasukan lawan dan 'mematikan" kedudukan pasukan lawan.

Bagi kanak-kanak perempuan yang tidak menggemari permainan yang agak kasar ini mereka memilih untuk bermain tenteng dan batu seremban.

Permainan lain yang turut digemari ialah permainan kotak rokok, pertandingan ceper dan tidak ketinggalan bermain terup serta permainan bukak buku.

No comments:

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...