Berbeza dengan Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini, Perhimpunan kepimpinan UMNO penghujung Mac ini akan meninggalkan pelbagai kesan kepada perkembangan lanskap politik, ekonomi dan sosial negara. Ini berlaku kerana berbanding dengan perhimpunan sebelumnya teraju kepimpinan UMNO dan negara akan berubah apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kuasa kepimpinan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Apa yang mahu diutarakan di sini ialah walaupun perubahan belum berlaku, namun ada pihak telahpun merasa bahangnya terlebih dahulu.
Berdasarkan kepada pengalaman sendiri sebagai bekas anggota pengurusan media di TV3 pada era 80an aku turut menerima tempiasnya apabila saingan pertandingan merebut jawatan presiden UMNO antara Dr.Mahathir Mohammad dan Tengku Razaleigh pada pertandingan bersejarah 24 April 1987.
Berbulan-bulan sebelum pertandingan merebut jawatan Presiden itu setiap kali bersua dengan orang politik dan rakan media, perli dan usikkan terus diasak di telinga supaya berkemas-kemas barang ke dalam kotak untuk meninggalkan TV3 kerana perubahan pucuk pimpinan akan berlaku – dan pastinya kepimipinan baru akan membawa orangnya untuk menggantikan tempatku sebagai Timbalan Pengurus Berita & Ehwal Semasa. Ironisnya, aku di TV3 tidak dilantik atas dasar proxy politik kerana aku telahpun berada di TV3 sejak ia dibuka pada tahun 1985 lagi. Malangnya, oleh kerana jawatan yang dipegang pada ketika itu dianggap kanan dan apa juga yang dilakukan oleh Political Masters, kita terus dijenamakan bersekongkol dengan pemimpin yang ada dan perlu ditolak sekiranya mereka tidak diterima lagi.
Namun, apa yang berlaku - aku tidakpun perlu mengemas barang ke kotak pada tahun itu kerana Dr. Mahathir memenangi pertandingan itu dengan mengalahkan Tengku Razaleigh dengan majoriti cuma 43 undi.
Itulah realitinya. Mereka yang berkedudukan terpaksa dikorbankan atas dasar keperluan amalan untuk memenuhi tuntutan budaya yang memerlukan ”pertukaran orang-orang baru” di organisasi yang ada sejajar dengan perubahan kepimpinan.
Dalam hubungan ini, perkara yang sama berlaku. Mereka yang menerajui kepimpinan - mungkin merasakan perkara ini. Apa yang menambah resahnya berbanding dengan zaman 80an ialah perkara ini turut dimuat dan dibincangkan menerusi blog-blog.
Hanya pandangan kepada mereka yang mungkin merasa tertekan dengan perkembangan ini. Rezeki di Tangan Tuhan. Hadapinya dengan penuh cabaran. Dan Rezeki ada di mana-mana hanya kita perlu mencarinya. Rezeki kita tidak ditentukan oleh pemimpin negara atau pemimpin politik. Apa yang penting dalam penghidupan khususnya bagi mereka yang berkedudukan pemimpin ialah kita tidak perlulah mengainaya orang. Ini kerana apabila ini berlaku, orang akan tersenyum sinis melihat gelagat kita selepas itu.
No comments:
Post a Comment