Tuesday, March 24, 2009

OPERASI UDARA DI LAUTAN PASIFIK - 09

Antara perkara yang menarik ketika menjadi wartawan ialah apabila berpeluang mengikuti rombongan Perdana Menteri ke luar negara. Antara lawatan yang aku pernah ikuti dan dirasakan menarik ialah lawatan Dr. Mahathir Mohammad ke negara Amerika Latin pada tahun 1992.

Pesawat khas MAS Boeing 737 menjadi kapalterbang rasmi yang membawa ahli rombongan PM yang terdiri daripada ahli perniagaan terkemuka negara, para menteri, pegawai kanan kerajaan serta rombongan media yang terdiri daripada ketua-ketua organisasi media tempatan.

Pada ketika itu, adalah satu kelaziman, apabila Perdana Menteri keluar negara, wartawan yang turut serta juga terdiri daripada ketua organisasi media sendiri. Semasa lawatan dua minggu itu, akhbar Berita Harian di wakili Ketua Pengarangnya Nazri Abdullah, bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin mewakili Utusan, Ahmad Talib mewakili NST, Ketua Pengarang Bernama, Rahman Sulaiman mewakili Bernama sementara aku sebagai Timbalan Pengurus Berita/Ehwal Semasa mewakili TV3.

Antara ahli perniagaan ternama dalam rombongan itu ialah Tan Sri Vincent Tan, Tan Sri Azman Hashim, Pemilik YTL-Datuk Yeoh Tiong Lay, Tan Sri Lim Goh Tong, Tan Sri Low Yow Chuan, Tan Sri Lee Kim Yew dan ramai lagi.

Apa yang menarik ialah ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Subang ke San Diego, Chile. Kapten pesawat MAS menerima panggilan kecemasan SOS dari menara lapangan terbang di sebuah pulau di Lautan Pasifik. Pesawat MAS kemudiannya mendarat di pulau itu untuk mengambil seorang penumpang tempatan yang memerlukan bantuan kesihatan segera dan perlu diterbangkan ke hospital San Diego, Chile.

Ketika dalam penerbangan, pesakit tadi memerlukan pembedahan segera. Dr. Peribadi Dr. Mahathir, melakukan pembedahan itu di bahagian belakang pesawat MAS dan berjaya menyelamatkan pesakit tadi. Pembedahan segera itu dilakukan tanpa pengetahuan sesiapa kerana ramai daripada penumpang sedang lena keletihan kerana penerbangan yang begitu jauh. Pada ketika itu, aku menugaskan jurukamera TV3 membuat rakaman pembedahan itu dan menghantarkan berita mengenainya untuk siaran buletin TV3 setibanya di San Diego. Liputan kami adalah satu skoop.

Moral cerita ini ialah sebagai wartawan kita perlu sentiasa terbuka menghidu di mana juga ada berita. Kemungkinan besar, wartawan yang terlepas berita itu merasakan tugasan untuknya hanya untuk membuat liputan mengenai lawatan PM sahaja. Yang lain- bukan tanggungjawab mereka kerana ia kurang penting.

Berita yang dirakamkan oleh TV3 itu menggambarkan bagaimana seorang pemimpin negara memberi lampu hijau kepada pesawat MAS yang menerbangkannya bersama ahli rombonganuntuk singgah mengambil pesakit di sebuah pulau di Lautan Pasifik kerana panggilan SOS.

No comments:

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...