Tuesday, March 31, 2009

MENJADI WARTAWAN RADIO - 04


Selepas menduduki peperiksaan Malaysian Certificate of Education,MCE dan Senior Cambridge,SC pada tahun 1969, aku mengikuti kelas Tingkatan 6 di Cambridge College - sebuah sekolah swasta di Johor Bahru yang letaknya berhadapan Pasar Besar lama. Setelah mendudukkil peperiksaan STPM dan menerima keputusan kurang membanggakan, aku mengambil keputusan untuk bekerja sahaja.

Kerjaya pertama ialah sebagai Jurusureh di Lembaga Kemajuan Johor Tenggara, KEJORA di Jalan Petri, Johor Bahru. Tugas seharianku adalah melukis lakaran pelan tanah yang berhubungkait dengan projek KEJORA. KEJORA, adalah sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab merancang pembangunan bandar di kawasan Johor Tenggara dan antara projek ternamanya ialah projek pelancungan DESARU yang ada sekarang.

Hampir setahun bekerja, aku mula bosan dengan tugas-tugas yang sama sepanjang hari. Aku mengambil keputusan untuk menghadiri satu sesi temuduga di Jalan Young di Kuala Lumpur yang memberi tawaran pekerjaan sebagai wartawan pelatih radio dengan gaji RM290 sebulan di RTM. Aku berjaya dalam temuduga itu. Untuk tidak mengecilkan hati majikan di KEJORA, aku memberitahu mereka yang aku berhasrat melanjutkan pengajian di sebuah kolej swasta di KL. Mereka tidak mahu aku berhenti dan menawarkan kenaikan pangkat sebagai Pelukis Pelan. Tawaran itu aku tolak dengan baik kerana keputusan telahpun dibuat untuk meninggalkan kampung halaman - Kg. Melayu Majidee untuk ke ibu negara. Ketika aku bertolak ke KL, stesen keretapi J.Bahru dipenuhi rakan sekampung yang berkumpul untuk mengucapkan selamat jalan kepadaku. J.Bahru yang ku huni hampir 20 tahun ditinggalkan untuk memulakan penghidupan baru di ibu negara.

Di Kuala Lumpur aku memulakan tugas sebagai Pelatih Wartawan di Bilik Berita Radio di Angkasapuri.

Setibanya di KL, aku mencari tempat tinggal sesuai dan menyewa sebuah bilik bersama sebuah keluarga China di Seksyen 17 di Petaling Jaya.

Aku kemudiannya diperlukan mengikuti kursus sebulan di South East Asia Press Centre, SEAPC di Jalan Klang Lama bersama wartawan serta pegawai Jabatan Penerangan. Antara wartawan yang mengikuti kursus termasuklah rakan dari RTM iaitu Aeshah Nun, Sharifah, Mahani dan Radzi Shafie. Rakan-rakan lain ialah Ali Mamat dari Bernama dan Shah Dadameah dari akhbar STAR. Kursus itu dibimbing oleh Pengarah SEAPC iaitu Howard Coates dan dibantu oleh bekas pengarang Berita Harian, Abu Bakar Ismail.

Setelah menghadiri kursus itu, aku berpakat dengan rakan sekerja Radzi Shafie dan beberapa rakan lain di RTM untuk berkongsi menyewa rumah terrace yang berhampiran dengan Angkasapuri iaitu di Taman Seputih di Jalan Lorni - kini Jalan Syed Putra.

Dunia kewartawananku bermula di ibukota Kuala Lumpur.

No comments:

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...