Ketika semester akhir tahun 1978 aku menyimpan hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana di Amerika Syarikat. Oleh kerana aku telahpun bekerja di RTM sebelum ke ITM, aku tidak mahu menghabiskan masa bekerja lagi dan kemudiannya menyambung pengajian ke luar negara sepertimana pelajar lain.
Sebagai persedian awal sekiranya aku tidak berjaya menyambung pengajian ke US, aku menghadiri temuduga di NST dan ditawarkan bekerja di akhbar itu sebagai wartawan sepertimana Nuraina Samad, Zaharah Osman (Kak Teh), Fatimah Abu Bakar dan Hanif Hadi.
Ketika Pak Samad di NST, setiap tahun pelajar-pelajar tahun akhir MASSCOMM ditemuduga oleh NST untuk bekerja di syarikat itu.
Untuk melanjutkan pengajian di luar negara memerlukan sumber kewangan yang besar. Cara terbaik ialah dengan memohon biasiswa/pinjaman MARA yang membiyaai pengajian ke luar negara. Aku bernasib baik, dengan keputusan CGPA melebehi 3.5 aku ditawarkan biasiswa untuk mengambil sarjana kewartawanan di Ohio University. Sebagai kos bulanan, aku diberikan imbuhan bulanan US300. Walaupun ia tidak seberapa untuk menampung kos penghidupan di US, terpaksalah aku membuat kerja sambilan bagi menampung kehidupan sebagai pelajar.
Turut menerima tawaran pada tahun itu ialah Mustafa Kamal Anuar (Kini Dr. mengajar di USM) dari Batch Pertama Masscomm dan Mansur Putih Batch 1974. Secara kebetulan, kami bertiga bertolak ke Amerika Syarikat bersama. Mustafa mengikuti program sarjana kewartawanan di Boston University, Mansur Putih - perfileman di Colombia University, New York dan aku dalam bidang sarjana kewartawanan di Ohio University, Athens.
Oleh kerana pemergianku ke Amerika lebih awal, aku tidak berkesempatan menerima skrol Diploma pada majlis Konvokesyen di ITM pada tahun itu.
Setibanya di Ohio Univeristy, aku merasa kurang selesa dengan persekitaran pekan Athens yang agak kecil - selepas beberapa hari aku membuat keputusan meninggalkan Ohio ke Boston University. Sebelum meninggalkan negara aku menerima dua tawaran serentak dari Ohio & Boston University.
Ketika di Boston aku menjadi setinggan sementara dengan menumpang di Studio Aboi – Kini Dr.Baharuddin bertugas di UITM dan Zaid sebelum berpindah ke apartment sewaan sendiri bersama Mustafa Kamal Anuar di No. 30 Peterborough Street yang terletak di belakang Fenway, iaitu stadium pasukan Softball Red Sox.
* Untuk mengikuti catatan pengalaman di Amerika, ikuti Warkah dari Amerika dalam label ZAMAN DULU-DULU-USA.
No comments:
Post a Comment