Tuesday, March 31, 2009

BERBASIKAL KE ANGKASPURI - 05


Sebagai wartawan penyiaran pelatih di Bilik Berita Radio RTM, kalau ada tugasan di luar lingkaran waktu akulah orangnya yang sering diberi tugasan. Ketua Pemberita Rosli Deli, kemudiannya Taib Abas dan seterusnya Nazli Zakuan sering menyuruh aku membuat tugasan di luar lingkaran waktu kerana aku jarang bersungut. Aku melaksanakan tugas dengan sempurna dan atas dasar ini aku mudah diarah untuk menlaksanakan tugasan sukar.
Aku melakukan sedemikian kerana percaya tugasan yang diberi perlu dilaksanakan dengan ikhlas kerana ia akan membantuku memperkaya dan menamabahkan lagi pengalaman dalam bidang kewartawanan.
Penghujung tahun misalnya, banjir besar sering berlaku di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Untuk itu, aku terpaksa berada di Bilik Berita Radio seawal 4 pagi untuk menelefon pusat maklumat banjir di Kota Bahru, Kuala Terengganu, dan Kuantan. Aku menyediakan laporan terkini mengenai jumlah mangsa banjir, jumlah pusat pemindahan yang ditutup atau dibuka, sekolah yang ditutup dan apa juga berita yang berkaitan dengan banjir untuk disampaikan kemudiaannya oleh pembaca berita pada sebelah pagi.
Aku teringat pada ketika itu, Bahagian Gerak Saraf, Kementerian Penerangan yang beribu pejabat di Angkasapuri tidak membenarkan kami menggunakan perkataan ”Mangsa Banjir”kerana menguatari perkataan ”Mangsa” itu meresahkan pendengar radio. Perkataan”Mangsa Banjir” digantikan dengan ayat ”Mereka yang terlibat dengan banjir.Begitulah telitinya mereka.
Oleh kerana Wisma Radio hanya sekitar 3 kilometer dari rumahku di Taman Seputih, maka setiap kali bertugas subuh di RTM, aku mengayuh basikal dari rumah dan memanjat Bukit Putra kira-kira jam 3.30 pagi. Oleh kerana segan dilihat petugas di Angkasapuri aku berbasikal ke pejabat, aku terpaksa menunggu waktu gelap selepas maghrib untuk berkayuh pulang ke rumah – walaupun tugasku telah selesai jam 12 tengahari- iaitu selepas 8 jam bertugas.
Pada hari biasa aku berjalan kaki pulang pergi ke RTM dari rumahku. Hanya selepas aku berhenti dari RTM dan menyambung pengajian di ITM, barulah aku mampu membeli motosikal Yamaha 100 CC bagi membolehkan aku berulangalik dari ITM Shah Alam ke RTM untuk menjalankan tugas sebagai wartawan sambilan.
Sebagai wartawan pelatih dengan gaji RM290 sebulan, aku tidak mampu untuk membeli motosikal mahupun kereta sebagai pengangkutan ke pejabat di RTM pada ketika itu.

No comments:

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...