Sunday, January 28, 2007

WELCOME TO AMERICA - 01


Aku dibawa ke terminal New York Airways. Aku akan diterbangkan dengan helikopter ke Le Guardia – lapangan terbang untuk penerbangan dalam negeri – untuk menyambung perjalanan ke Colombus, Ohio dengan penerbangan TWA. Aku memilih tempat duduk di belakang. Sedang aku mengelamun kerana keletihan mengheret bag, seorang tua berumur 65 tahun duduk di sebelahku. Dia mengenalakan diri – Sarafian namanya. Aku mendengar saja cakapnya. Malas berbual. Menarik. Dia berasal dari Ethiopia. Lari ke London apabila negara yang dicintainya diambilalih oleh tentera selepas peristiwa berdarah pembunuhan Raja Selasie. Dia dalam perjalanan ke Virginia untuk mengunjungi anaknya. Sekarang menetap di London. Berniaga. Kami menghentikan perbualan. Bunyi helikopter menganggu. Tiba di lapanganterbang Le Guardia aku membeli poskad dam kemudiannya merayau-rayau mencari cenderamata. Perjalanan ke Colombus-ibunegeri Ohio, dua jam lagi. Aku membelek akhbar New York Times. Bahuku dipegang. Orang tua tadi. Dia mengajaku minum di kafetaria. Aku puasa. Aku setuju menemaninya sementara menunggu penerbangan. Dia menyambung ceritanya. Aku memasang telinga saja dan malas bertanya sungguhpun aku dilatih demikian ketika menjadi Wartawan RTM dulu. Kami berpisah selepas bertukar alamat.
Enam petang waktu New York. Aku dan penumpang TWA 235 diarah masuk ke kapalterbang yang sedia menunggu. Pramugari manis-manis. Setelah berada di tempat duduk aku tertidur sehinggalah ke Colombus. Waktu berbuka puasa tiba apabila sampai. Aku meneguk Coca Cola yang ku minta di penerbangan tadi. Teruk juga berpuasa di sini. Dari jam empat hingga 8.30 malam musim summer, matahari lambat tenggelam. Kalau musim sejuk, siangnya pendek. Beruntunglah mereka yang berpuasa. Sambil meneguk Coke, mataku liar mencari Stanis yang sepatutnya menungguku di lapanganterbang Columbus. Aku telah memberitahunya melalui surat sungguhpun aku tidak mengenalinya. Dia adalah kawan seorang kawan. Tidak nampak batang hidungnya. Mungkin tidak menerima surat. Hatiku digigit kebimbangan. Setengah jam menunggu. Aku tawakal dan menahan teksi. Pemandunya seorang negro. Aku mengarahnya membawaku ke stesen bas yang boleh membawaku ke stesen Athens, kira-kira 70 batu dari Columbus di mana Universiti Ohio ditempatkan. Perjalanan tiga batu dari lapanganterbang ke stesen bas mengorbankan wangku 14 ringgit Malaysia. Tiba di stesen Greyhound Columbus. Aku menuju ke kaunter tiket bertanyakan bas ke Athens. Malang. Perkhidmatan hanya pada siang hari saja. Enam pagi dan 11.30 pagi. Mataku mengantuk lagi. Aku bertanya penjual tiket tentang hotel yang berdekatan, Holiday Inn di sebelah. Kerana terlalu mengantuk aku tak ambil pusing tentang harganya. Hotel itu kecil saja dan tidak seperti di KL. Malang lagi. Semua bilik penuh. Aku mencari hotel lain. Semuanya penuh. Rupa-rupanya esok ialah hari minggu dan hari perayaan – Ohio State Festival. Aku ke stesen Greyhound lagi. Bag besarku terpaksa kusimpan. Di stesen bas itu ada tempat khas menyimpan bag. Aku mencari tempat untuk melelapkan mata. Aku tidur duduk. Tak pernah kubuat di Malaysia. Aku terkejut. Polis berpistol di pinggang di sisiku. Bermimpikah aku? Dia bertanyakan tikit basku. Aku tunjukkan. Dia puashati. Sebelum beredar dia menasihatkan aku supaya jangan tidur. Ia di salah di sisi undang-undang . Hairan bin Ajaib – tidur pun salah. Aku menyumpah. Mata semakin mengada-ada hendak tertutup. Aku perhatikan di kiri-kanan, semua bakal penumpang cerah mata masing-masing. Jam sudah 1 pagi. Aku mencari minuman untuk menyegarkan mata. Minuman semuanya memakai mesen tekan-tekan saja. Aku tidak biasa menggunakannya. Tambahan lagi duit syiling Amerika pun aku tak tau yang mana hendak digunakan. Ada quarter, dime dan nikel. Entahlah. Aku terpaksa tekan juga. Tak boleh buat macama tak biasa. Orang tau kita baru tiba, habis nanti dikerjakan. Hati kecilku membuat ketetapan. Akhirnya berjaya juga. Aku meninjau-ninjau mencari kawan untuk berbual. Aku hampiri seorang pemuda sebaya umur yang juga kelihatan mengantuk. Dia dalam perjalanan ke Newark. Basnya berangkat jam lima pagi. Dia memberitahu yang dia juga diberi amaran kerana tidur. Aku gembira. Aku ingat aku saja yang bodoh. Rupa-rupanya mereka pun sama. Dia menghulur rokok yang digulung dengan ganja. Aku menolak. Silap haribulan....hari pertama di Amerika aku ditangkap menghisap ganja. Dijauhkan tuhan. Semasa berbual, kami mencapai persetujuan. Aku tidur, dia jaga dan begitulah sebaliknya. Berjaga supaya tidak ditangkap polis. Giliranku berjaga dulu dan dia tidur. Setelah dua jam, aku kejut dia, dan aku tidur. Aku tersentak. Polis tadi di sebelah kami. ”This is your last warning – if you sleep again. I’ll arrest you”. Aku kecut. Amaran terakhir.... Kawan di sebelah mungkir janji. Rupa-rupanya dia tertidur.

*Rencana ini pernah disiarkan di dalam akhbar Berita Minggu di dalam ruangan Warkah Md. Salleh Kassim dari Ohio, Amerika.

2 comments:

Bunga Hati said...

hehe..klaka..

Anonymous said...

sangat menarik, terima kasih

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...