Tuesday, December 2, 2008

SEDAPNYA SATEY FINDLAND - 06

SELEPAS tiga jam di dalam keretapi dari Turku barulah tiba di Helsinki. Ibrahim menelefon kawannya Marti. Setengah jam kemudian Marti muncul di stesen dan terus membawa kami makan di salah sebuah restoran jagaannya. Sebagai seorang lepasan Universiti Amerika, Marti mempunyai kedudukan tinggi di negaranya kerana beliau ialah pegawai pemasaran sebuah firma yang mempunyai 12 restoran di sekeliling kota. Selesai makan, kami dihantar ke rumahnya dan dia pulang semula ke pejabat.

Jam 5 petang, Marti pulang dan membawa kami mandi di Sauna . Upacara mandi Sauna ini adalah amalan tradisi orang Findland yang membawa rakan rapat ke Sauna ala Findland.

Di hari berikutnya, pagi-pagi lagi Marti membawa kami berpusing-pusing kota dengan keretanya. Kota itu bergelar ”Bandar Putih di Utara”, kerana banyaknya jumlah bangunan berwarna putih. Kota itu nampak berbeza dengan kota-kota lain di Eropah Barat, kerana ia tidak sebegitu sebok. Di tengah-tengah pusat bandar terletak Senate Square di mana orangramai boleh berehat setelah letih membeli-belah.

Setiap petang di tempat itu diadakan pertunjukan kebudayaan. Antara acara menarik ialah pertandingan menari rentak Finnish yang boleh disertai oleh sesiapa pun.

Setelah puas berpusing ke sana ke mari sepanjang hari kami pulang ke rumah Marti. Pada sebelah petang, Ibrahim berjanji untuk memasak makanan ala-Malaysia. Dia juga menjanjikan dengan tuan rumah untuk membuat satey. Marti sendiri telah jatuh cinta dengan makanan itu ketika Ibrahim membuatnya di Amerika dulu.

Pada mulanya aku pun merasa agak pelik dengan persetujuan Ibrahim memasak. Bagaimana untuk mendapat rencah yang diperlukan? Untuk mendapat daging tidaklah menjadi masalah.

Petang itu telah siap sedia nasi goreng serta satey yang rasanya lebih kurang sama dengan satey Kuala Lumpur. Selesai makan, para tetamu termasuk dua orang rakan sepejabat Marti meminta resipi membuat satey itu. Aku tersenyum bila mengetahui rencah yang digunakan untuk kuah satey dibuat daripada Peanut Butter. Begitu rupanya, aku sendiri kurang mengerti. Bagaimanapun, habis juga satey yang dihidangkan. Satey Ala Findland.

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di Berita Minggu di dalam ruangan Catitan Dari Eropah oleh Salleh Kassim pada 28/9/80.

MENUJU KE HELSINKI - 05

JAM 8 pagi keretapi ekspress dari Oslo meluncur masuk ke stesen pusat Stockholm. Bandar yang terletak di sebelah timur berhampiran Lautan Baltic itu adalah pusat perdagangan dan perindustrian terpenting Sweden. Ia dikenali panggilan Venice Utara kerana banyaknya terusan yang didirikan di sekeliling kota sebagaimana yang terdapat di Venice. Namun, terusan-terusannya tiada perahu gondola sebegaimana di Venice.

Di stesen keretapi itu, kami berpisah dengan rombongan dari Singapura yang ditemui di Oslo. Mereka mempunyai rancangan lain dan begitu juga kami. Sebagaimana biasa kami bercadang meninggalkan kota Stockholm malam itu juga menuju Finland. Di sana kami bercadang untuk tinggal agak lama sedikit.

Kota Stockholm yang dikunjungi terbahagi kepada yang lama dan baru. Kota lama begitu indah dengan bentuk bangunannya terletak di sebuah pulau – saujana mata memandang. Kota yang lebih dikenali dengan panggilan ”Stadsholmen” atau ”City Island” itu dijaga dengan sebegitu rapi oleh pihak berwajib untuk menarik perhatian para pelancung. Jalan-jalan yang sempit, lorong-lorong berbatu merah menambahkan keindahan semula jadi kota tua itu. Kota yang baru pula dipenuhi dengan hutan batu. Bagaimanapun, ia masih teratur tidak seperti bangunan pencakar langit di Amerika Syarikat.

Tempat lain yang menarik ialah Istana Diraja yang mempunyai 600 buah bilik yang direka oleh Nicodemus Tessin dan dibina antara tahun 1697-1754.

Kami sempat juga melawat pusat membeli-belah di tengah kota yang dikenali sebagai Pedestrian Mall Center. Untuk tandamata daripada lawatan singkat itu, aku beli sebatang paip yang menurut penjualnya adalah yang termurah di Eropah. Harganya hanya RM15 untuk dihadiahkan kepada rakan di tanah air.

Lewat petang kami meninggalkan kota itu menuju ke Pelabuhan Silja Line, iaitu kapal yang membawa kami ke Turku. Kapal akan hanya tiba jam 9.30 malam. Ketika menunggu kapal, sempat juga kami berbual dengan beberapa penumpang yang mempunyai tujuan yang sama ke Findland. Seorang daripadanya bernama Mark boleh berbahasa Inggeris. Mark bertugas di sebuah firma terkemuka di Stockholm dan berulang alik bertugas sebulan sekali ke rumah orangtuanya di Findland. Menurut ceritanya, dia tidak mahu bekerja di Findland kerana kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi adalah kira-kira 50 peratus. Oleh itu beliau lebih suka bekerja di negeri lain. Sambil berjenaka, tetapi bernada serious beliau berkata ”Sekurang-kurangnya kalau Soviet bertindak mengambil alih Findland, kaki saya yang sebelah sudah ada di Sweden”.

Jam 9.30 malam barulah kapal rapat dan para penumpang berebut-rebut untuk mendapatkan tempat duduk. Sesiapa yang lambat bermakna terpaksalah tidur di lantai kapal...

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di Berita Minggu di dalam kolum Catitan Dari Eropah oleh Salleh Kassim pada 28/9/80..


Monday, December 1, 2008

DARI BERNAMA KE TV3 - 02

Aku menunggu hampir 2 bulan. TV3 belum memberi apa-apa keputusan jawapan sama ada menerima aku atau tidak. Bila masuk bulan ke dua aku mula putus asa. Oleh kerana aku sudah membuat keputusan untuk kembali ke bidang kewartawanan, aku telefon rakan di Bilik Berita Radio dahulu Rahman Sulaiman (Kini Datuk) yang ketika itu menjadi Ketua Pengarang di Bernama untuk mengambilku bertugas di ibupejabat Bernama di Kuala Lumpur.
Aku diterima bekerja di Meja Umum Bernama sebagai Penyunting dan melaporkan diri kepada Sdr. Alias Zaidi yang menjadi bosku ketika itu. Yang menariknya, Alias Zaidi adalah pelajarku ketika di Universiti Malaya. Dulu pelajarku dan sekarang Bosku pulak. Begitulah dunia berputar.
Hanya 3 minggu aku di Bernama dan terpaksa melepaskan jawatan selepas menerima tawaran sebagai Penerbit Berita di TV3. Kerana masa yang begitu pendek, aku tidak membuat apa-apa tuntutan pun kepada Bernama kerana bekerja selama 3 mingggu itu.
Aku melaporkan diri ke TV3 pada pertengahan bulan November dan bersedia menanti di Studio TV3 di Jalan Liku, Bangsar ialah Pak Samad Ismail yang menjadi Penasihat TV3 ketika itu. Dua lagi yang berstatus penerbit ialah Nizam daripada Bernama dan Tengku Mahmood dari Utusan Melayu. Aku ialah Utility Producer menggantikan Tengku Mahmood - Penerbit Berita Bahasa Melayu ketika dia cuti hujung minggu serta menggantikan Nizam - Penerbit Berita Bahasa Inggeris ketika cuti mingguannya pulak. Antara rakan lain yang turut diterima bekerja ketika itu ialah Mohsin Abdullah - wartawan (Pengarang NTV7), Bukhari Che Muda - Penolong Penerbit (COO TV9), Khatijah Buyung - Penolong Penerbit (EduwebTV), Aziz Ahmad Shariff dan Christina. Hamid Abdullah, Latifah Ismail, Radha, Azmi Atan, Saiful, Sofwan adalah antara Penolong Penerbit selepas itu. Penyampai Berita TV3 ialah Mahadzir Lokman- kini Datuk, Gerard, Caryn Lim & Nina Halim Rasip. Robert Lam, Patrick Teo, Raymond Goh adalah antara Penyampai Berita Sambilan. Penyampai Berita Bahasa Malaysia pula ialah Razak Abdullah, Fitri Aziz & Arwah Azhar Osman (Bekas Setiausaha Akhbar PM, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi). Tidak juga dilupakan mereka yang bertugas di belakang tabir seperti Nasir Ismail @ Nasir Panjang yang menjadi Jurukamera Still & Dalha, Norizan Mansur @ Noi dan Azali Hassan sebagai Pembantu Penerbit. Mereka di Bahagian Teknikal pula ialah Limat Yon, Mahendran, Lazam Maidin, Hj. Tahir dan ramai lagi. Pengurus Berita yang menjadi bosku ialah Haji Subohi Yatim yang pernah bertugas di SBC, Singapura.
Kami beroperasi seperti sebuah Bilik Berita sepenuhnya dan membuat mock-run dan test-run berterusan sepanjang bulan Disember 1985 sebelum siaran Berita TV3 ke udara secara rasmi pada 1 Januari 1986.

TV3 – HERE I COME.. - 01

Pada awal tahun1985, aku menetap di Johor Bahru setelah meletakkan jawatan sebagai Pensyarah Rancangan Penulisan Kreatif & Deskriptif di Universiti Malaya pada tahun 1981 . Selepas hampir empat tahun membuat kerja sendiri untuk membantu business keluarga, aku merasakan usaha ini sia-sia sahaja kerana gerak kerjanya begitu membosankan. Ini ditambah dengan birokrasi yang pelbagai ketika menjalankan tugas. Misalnya, untuk mendapatkan kelulusan satu projek, aku terpaksa mengetuk pintu 15 Jabatan Kerajaan untuk mendapatkan kelulusan projek itu.

Kerana perkembangan yang membosankan ini, aku mengambil keputusan kembali ke dunia kewartawanan - dan kali ini bidang penyiaran televisyen pulak. Secara kebetulan TV3 baru sahaja dibuka dan pelbagai jawatan ditawarkan di dada akhbar ketika itu. Tanpa membuang masa aku memohon semua jawatan yang diiklankan daripada Pembantu Penerbitan, PA, Wartawan Siaran, Penolong Penerbit, Penerbit Berita, Penolong Pengurus Berita sehinggalah kepada Pengurus Berita.

Yang menariknya, beberapa minggu selepas itu aku diminta menghadiri sesi temuduga bagi jawatan Pengurus Berita. Sebagai persiapan menghadapi sesi temuduga di ibupejabat TV3 di Jalan Tunku Abdul Rahman ketika itu, berbekalkan pengalaman sebagai pensyarah dahulu, aku menyiapakan sebuah kertas-kerja yang membutirkan apa yang akan dilakukan sekiranya aku dilantik menjadi Pengurus Berita TV stesen baru itu.

Antara mereka yang turut ditemuduga pada ketika itu ialah Hj.Subohi Yatim dari SBC Singapura, kawan di Bernama, Jaffar Hussein dan beberapa yang lain yang tidak ku kenali. Yang menariknya, akulah orang pertama dipanggil masuk untuk sesi temuduga itu oleh Pengurus Besar TV3 ketika itu, Arwah Mohd Nor Salleh dan Pengurus Sumber Manusia Alias Razak. Sebelum sempat mereka bertanyakan kepada aku soalan soalan yang standard dalam sesi temuduga, aku hulurkan , kertas-kerja yang aku siapkan kepada mereka.

Sebenarnya, ketika itu, mereka sendiripun tidak tahu biji butir apa yang mahu ditanyakan kepada calon-calon Pengurus Berita yang datang. Mereka mengambil masa membaca kertas-kerja itu dan menggunakannya sebagai bahan rujukan untuk bertanyakan soalan kepada calon-calon lain selepas aku. Sesi temuduga itu mengambil masa hampir dua jam, kerana mereka memerlukan perincian beberapa perkara yang ku timbulkan dalam kertas-kerja itu.

Sebenarnya, aku sendiri tidak ada pengalaman menguruskan Bilik Berita TV, tetapi pernah bekerja sebagai wartawan siaran radio di stesen Bilik Berita ketika di RTM pada awal tahun 70an.. Tetapi, latarbelakangku sebagai seorang pensyarah memampukan aku membuat kertaskerja untuk menjalankan operasi sesebuah Bilik Berita Televisyen.

Sunday, November 30, 2008

SELAMAT TINGGAL COPENHAGEN - 04

Setelah lewat petang, aku dan Ibrahim Abdul Hamid, pensyarah ITM kembali semula ke Amsterdam untuk menyambung perjalanan ke Copenhagen. Oleh kerana terlalu letih kerana sehari suntuk berpusing di dua kota berjalan kaki, kami berdua terlelap apabila keretapi meninggalkan stesen Amsterdam.

Kami tiba di Copenhagen di sebelah pagi. Selepas bersarapan dan menukar matawang Holland ke Denmark, kami terus menuju ke Pusat Penerangan pelancungan. Tidak banyak terdapat tempat menarik di sini , kami mengambil keputusan bertolak ke Oslo, ibu negara Norway pada malam itu. Tempat-tempat menarik yang sempat dikunjungi dalam lawatan ke Copenhagen termasuk patung ikan duyung yang menjadi simbol kota Copenhagen, yang terletak di tepi pantai di pinggir kota Taman bunga yang dipenuhi dengan pokok bunga Tulip yang berwarna-warni serta melihat Istana Di Raja Denmark. Seperti kota-kota lain, orangramai bertumpu ke pusat membelibelah khas yang dikenali dengan panggilan Mall Centre. Daripada lawatan singkat itu dapatlah diberi kesimpulan bahwa kotaraya ini lebih tersusun kemas dibandingkan dengan bandar-bandar yang terdpat di Holland.
Kami meninggalkan kota Copenhagen ke Oslo, Norway malam itu. Kota Oslo memang terkenal di peta dunia sebagai pusat instiitusi Nobel yang mengeluarkan hadiah Nobel setiap tahun. Kami diberitahu oleh rakan yang telah melawat ke sana supaya melawat pameran kapal Viking, yang telah digali di Osberg dan Gostkad di Bygody dan kapal Fram di Nagen. Kami juga bercadang sekiranya ada masa melihat keindahan Fiord yang dipelajari ketika di sekolah rendah dulu, sebelum meneruskan perjalanan ke Stokholm, Sweden.

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di Berita Minggu di dalam kolum Catitan Dari Eropah oleh Salleh Kassim pada14/9/80.

RELAX SAT - 06

 

Satu email lagi yang baru diterima.

Let’s learn English.

SELFISH means jual ikan
ALLRIGHT – semua ke kanan
MISUNDERSTANDING – terlepas yang bawah berdiri
& 
LONG TIME NO SEE – dah lama jadi orang buta.

THE HAGUE - 03

AKU dan Ibrahim Hamid bangun agak awal sedikit pada hari kedua di Amsterdam. Semasa bersarapan, kami berbual rancak dengan para belia dari New Zealand, Austrlia, Nigeria dan juga Amerika Syarikat. Selesai sarapan, kami meninggalkan hostel menuju ke Centrum – sebuah pusat membelibelah yang menjadi tumpuan pelancung.

Oleh kerana tidak berduit, kami hanya berpusing-pusing berjalan kaki menikmati tempat bersejarah di sekeliling kota yang kaya dengan terusan dan perahu panjang yang dipenuhi para pelancung.

Amsterdam adalah kota terbesar di Holland walaupun ia bukan ibu negara. Ia juga adalah pelabuhan penting dan pusat perdagangan, bank, insuran dan perdagangan seni halus. Kota itu juga menarik hati para pelancung kerana perusahaan seni memotong intan.

Antara tempat menarik di kota itu ialah muzium kebangsaannya yang mempunyai banyak simpanan lukisan terkenal seperti Du dan lukisan Flemish termasuk karya Rembrandt ”Night Watch”.

Keistimewaan kota ini dibandingkan dengan yang lain ialah banyaknya jumlah terusan yang didirikan selari dengan jalanraya. Terdapat beratus-ratus jambatan yang menghubungkan jalanraya di sekeliling kota ini.

Menjelang tengahari, kami telah melawat beberapa tempat penting yang menarik. Menantikan keretapi malam yang akan membawa kami ke Copenhagen, Denmark, kami berangkat ke ibu negara Holland iaitu The Hague. Ia terletak kira-kira sejam perjalanan dari Amsterdam. Kota itu bolehlah dianggap tercantik daripada ibunegara lain yang pernah dikunjungi. Bangunan kediaman dan pejabat, jalanraya dan terusan yang terbina dibuat dengan begitu teliti dan kemas sejajar dengan statusnya sebagai ibu negeri. Mahkamah Keadilan Antarabangsa milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB juga terletak di sini. Kota ini bolehlah dianggap sebagai sebuah kota kediaman kerana tidak terdapat sebarang aktiviti perindustrian.

Sebagai pusat pentadbiran kerajaan, kota itu kaya dengan bangunan-bangunan bersejarah termasuk perpustakaan di raja, muzium seni halus lama dan dewan bandaran yang dibina pada kurun ke 16. Pusat bandar yang dikenali dengan panggilan Plein menjadi pusat tumpuan orangramai berehat-rehat.

Bagi mengendalikan jumlah para pelancong yang begitu ramai, Jabatan Pelancungan menyediakan pusat-pusat penerangan di mana-mana. Para pelancung dari setiap buah negara luar boleh mendapatkan penerangan menurut bahasa ibunda masing-masing daripada pegawai pelancung negara itu.

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di akhbr Berita Minggu di dalam kolum Catitan Dari Eropah oleh Salleh Kassim pada 14/9/80.

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...