Monday, December 8, 2008

BILA ISTERI DIBAWA MERANTAU - 08

Semasa di tanahair, ramai suri rumahtangga merasa beruntung sekiranya berpeluang menemani suami melanjutkan pelajaran keluar negara. Mereka yang berkerja terpaksa mengambil cuti lama bagi memastikan kejayaan suami yang lazimnya mengambil kursus di peringkat Sarjana ataupun PHD.

Di samping gaji yang lumayan, mereka mendapat elaun keluarga, serta tambang kapalterbang pergi balik. Anak-anak yang mengikut, turut beruntung kerana berpeluang melanjutkan pelajaran di sekolah luar negeri semasa umur masih muda.

Mereka yang tinggal di universiti yang kurang pelajar tanahair, harapan dan tanggapan mengenai keindahan negara yang akan dikunjungi ketika berlepas dari Lapangan Terbang Subang dulu adalah berbeza dengan realiti sebenar ketika di sini.

Keindahan yang sering dilihat di layar perak atau tv misalnya adalah hayalan semata-mata. Keindahan dari luar sebegitu superficial dan tidak sejajar dengan keindahan isi dan penghuninya. Dalam masa sesingkat-singkatnya, mereka dapati hidup di luar negeri mula membosankan. Bosan kerana kesunyian tanpa rakan, kaum keluarga yang ditinggalkan di tanahair.

Ini ditambah dengan kesibukan suami yang menumpukan masa dan tenaga mengikuti kuliah, membuat persediaan peperiksaan serta tugas-tugas kuliah lain. Bagi si isteri yang pernah bekerja, berkurung di rumah memasak, mengemas rumah dan menjaga anak-anak adalah satu rutin yang membosankan.

Untuk mendapatkan pekerjaan sekadar mengurangkan kebosanan adalah sukar. Undang-undang imigresen begitu ketat melarang melakukan apa-apa pekerjaan terutama bagi mereka yang dibiyaai dengan biasiswa kerajaan. Peluang untuk bekerja hanya diberi kepada mereka yang pembiyaannya digantung ataupun terputus sebagaimana yang dialami oleh setengah penuntut dari Iran.

Kerja yang boleh dibuat tanpa pengetahuan pihak berkenaan hanyalah dengan menjadi ”Baby Sitter” yang bayarannya begitu rendah.

Bagi yang punya anak, mereka terpaksa menghadapi masalah sosial lain. Keadaan pergaulan anak-anak di sekolah perlu diperhatikan. Cara hidup yang sering melupakan nilai dan norma ketimuran boleh mengubah pandangan anak-anak yang sebegitu mudah dipengaruhi. Perhatian yang lebih perlu dikenakan terutama kepada golongan yang meningkat ke alam remaja. Pengaruh masyarakat sezamannya di sekolah seperti menghisap rokok, dadah serta kegiatan seks bebas perlu diawasi. Sebab itu, beban tugas mendidik anak-anak tergantung kepada ibu, kerana bapa sibuk dengan tanggungjawab sebagai pelajar.

Bagi mereka yang tidak punya anak, lain pula halnya. Mereka boleh mengambil kesempatan mengikuti kursus yang ditawarkan di sini. Kalau bercadang menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana, boleh mencuba nasib memohon tempat di universiti tempatan.

Masalah biasiswa boleh difikirkan kemudian. Mereka boleh mengikhtiarkan setelah permohonan masuk ke universiti diterima. Yang tidak berminat pula, mereka terpaksalah dengan routine sehari-hari memasak, mengemas rumah dan kebanyakan masa dihabiskan menonton televisyen di siang hari yang dipenuhi dengan ”Soap Opera” yang bertemakan kisah masyarakat.

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di Berita Minggu dalam ruangan Warkah Salleh Kassim dari Boston, Amerika pada 11.05.1980.

RELAX SAT - 010


UNTUK RELAX SAT

     

     GALILEO: great mind

     EINSTEIN: genius mind

     NEWTON: extraordinary mind

     BILL GATES: briliant mind

     YOU..........

     ...................  never mind

BERTEMU MELAYU DI ZURICH -15

Kami tiba ke destinasi yang dituju jam 5 petang waktu tempatan. Memandangkan sewa hotel terlalu mahal, kami meninjau dahulu sekiranya ada asrama belia yang lazimnya terdapat di bandar-bandar penting untuk kemudahan pengembara seperti kami.
Setelah berputar-putar kira-kira setengah jam, ditemui juga tempat yang dimaksudkan.

Kami dikenakan bayaran kira-kira $10, berbanding dengan sewa hotel atau motel yang terlalu mahal di negara pelancungan ini.

Esoknya, kami tidak ke mana-mana. Kami hanya melawat sekitar kota yang menjadi tumpuan pelancung. Oleh kerana kesempitan wang ditambah dengan harga barang makanan yang begitu mahal, kami mengubah rancangan dengan menyingkatkan lawatan.

Kalau air kopinya saja berharga hampir $20 secawan, bayangkanlah barang makanan lain.

Setelah malam tiba, kami meninggalkan Interlaken menuju Zurich. Dengan tidak di sangka-sangka, setibanya di kota itu, kami menemui empat pelajar Malaysia yang secara kebetulan juga ialah bekas penuntut ITM. Mereka mengambil ijazah setelah menyelesaikan Diploma di Malaysia di bidang pengurusan hotel.

Zurich dan kota lain di Switzerland memang terkenal dengan perusahaan hotelnya. Atas sebab-sebab inilah ramai pelajar Malaysia khususnya dari ITM dihantar melanjutkan pelajaran ke sini.

Oleh kerana kami bercadang untuk meneruskan perjalanan ke Paris sebelum ke Brussels di Belgium untuk menaikki kapalterbang pulang ke tanahir, kami rakamkan rasa sedih kepada rakan-rakan ini kerana tidak dapat bermalam di Zurich. Walau bagaimanapun, kami tidak sampai hati mengecilkan hati mereka yang tidak pernah menerima tetamu tanahair sendiri, lalu kami tunda cadangan untuk berangkat lebih awal ke tengah malam.

Dengan cara demikian, dapatlah kami singgah ke rumah mereka di mana kami dijamu makan nasi goreng ala-Switzerland yang disediakan oleh rakan-rakan ini.

Tepat jam 12 tengah malam, dengan perasaan sayu kami berpisah dengan rakan-rakan yang baru dikenal itu dan berjanji akan bertemu di tanahair di satu masa nanti. Kami tinggalkan kota Zurich dengan penuh kenangan manis.

* Petikan rencana ini disiarkan dalam majalah SELECTA pada Mei 1981.

PERJALANAN EMAS KE SWITZERLAND - 14

SWITZERLAND adalah sebuah negara yang menjadi idaman pelancung dari seluruh dunia. Ia dianggap sebagai satu-satunya negara yang stabil dalam semua bidang. Ini disebabakan sikap negara itu yang benar-benar berkecuali di bidang ketenteraan. Negara itu juga tidak pernah melibatkan diri dalam apa jua bentuk peperangan sejak tahun 1815 dan tidak terlibat dalam Pakatan Tentera Negara-Negara Eropah, NATO.

Selain itu, Ia juga terkenal sebagai pusat bank yang terkemuka kerana kestabilan mata wangnya, Franc.

Kerana keistimewaan ini jugalah menyebabkan kami mengambil keputusan untuk singgah ke negara itu sebelum pulang ke tanahair.

Setelah meninggalkan kota Pisa di Italy, kami singggah di Florence selama semalam. Dari situ kami bertolak balik ke Rome untuk menyambung perjalanan ke Geneva, Switzerland. Oleh kerana kami becadang untuk bermalam di Interlaken, sebuah bandar kecil yang indah di kawasan pergunungan di tengah-tengah Switzerland, kami terpaksa menyingkatkan lawatan ke Geneva.

Sebelum tiba di Geneva, keretapi menggelongsor menuruni bukit-bukit curam dan setibanya di bawah, nampak luas terbentang Tasik Geneva yang menjadi tempat istirehat para pelancung yang mengunjungi kota peranginan itu. Kota itu tidaklah sebegitu sibuk dibandingkan dengan kota-kota lain di Switzerland dan di Eropah.

Kami meninggalkan Geneva untuk menuju Interlaken selepas makan tengahari. Makanandi sini juga terlalu mahal untuk orang seperti kami berbanding dengan harga makanan di Italy.

Menurut buku panduan pelancongan, perjalanan keretapi ekspres antara Geneva ke Interlaken dikenali sebagai ”Golden Pass” atau perjalanan emas.Ia bertepatan dengan nama yang diberi, kerana sepanjang perjalanan, pemandangannya begitu indah dan menarik, seolah-olah seperti keping-keping lukisan yang indah. Gunung-ganang serta tasik tersusun rapi sepanjang perjalanan. Apa yang menambahkan lagi keindahan suasana ialah gunung-ganang itu masih diseliputi salji, seolah-olah dibentuk sebegitu rupa untuk menakjubkan insan yang melihatnya.

Sungguhpun badan terasa terlalu letih dan benar-benar perlukan rehat, namun mata ini tidak terasa mahu tidur kerana takjub melihatkan keindahan alam semula jadi ciptaan tuhan ini. Dalam perjalanan itu, kami sempat singgah di beberapa buah bandar kecil untuk bertukar keretapi.

Sebenarnya, perjalanan itu dirancang sebegitu rupa oleh pihak berkenaan bertujuan bagi membolehkan para penumpang berhenti di mana-mana bandar berkenaan.

* Petikan rencana ini disiarkan dalam majalah SELECTA pada Mei 1981.


MENARA CONDONG PISA - 13


Sebagaimana di Greece, barang makanan di Rome juga adalah murah dibandingkan dengan bandar-bandar lain di Eropah. Kami mengambil kesempatan dari peluang yang ada untuk makan lebih sedikit daripada biasa. Maklum sahajalah, badan pun sudah susut kerana bukan sahaja makan tak cukup sepanjang pengembaraan, tetapi juga tak cukup tidur. Masakan cukup tidurnya, kalau sepanjang perjalanan, tempat tidur hanyalah dalam keretapi.

Sekiranya diteliti, orang-orang Italy adalah agak berbeza dengan orang Eropah lain. Mereka cepat mesra dengan orang luar seperti orang Greece.

Walau bagaimanapun, ketika berbual, orang Italy sering kali meninggikan nada suara dan ini boleh menimbulkan salah faham bagi mereka yang tidak mengetahui sifat-sifat ini. Kadangkala agak sukar membezakan bila masa mereka berbual dan bila masa pula mereka bertengkar. Ini adalah ciri-ciri jelas yang boleh diperhatikan bagi membezakan mereka dengan bangsa Eropah lain.

Setelah puas melawat sekitar kota Rome sepanjang hari, kami pulang ke stesen keretapi untuk mengambil bag yang disimpan.

Kami bercadang berehat selama semalam sebelum menyambung perjalanan ke Pisa. Kami bercadang tidur di Rumah Tumpangan Belia dan bertolak di sebelah pagi ke Pisa di mana terdapat Menara Condong Pisa.

Keesokan hari, kami berada di Pisa. Apa yang menarik mengenai menara Pisa ini ialah ketelitiannya ketika ia dibina. Tidak hairanlah kerana ketelitian ini sehingga menyebabkan pembinaan menara itu hanya disiapkan selepas 99 tahun.

Pembinaan yang dimulakan pada tahun 1174 oleh Bonano Pisamp itu hanya disiapkan pada tahun 1273, oleh Giovanni di Simone.

Menara 8 tingkat itu kami naiki sampai ke puncak. Ia mempunyai 294 anak tangga dan tingginya bangunan daripada pangkal ke puncak ialah kira-kira 56,075 kaki.

Di puncak menara itu diletakkan tujuh buah loceng yang mempunyai tujuh nota lagu yang berlainan. Daripada puncak itulah Galileo Galilei menjalankan ujiannya mengenai kuasa graviti.

Oleh kerana kesempitan masa ditambah dengan tiada tempat menarik lain yang berhampiran, kami meninggalkan Pisa dan keindahannya untuk menuju ke Florence.
Florence adalah sebuah lagi bandar di Italy yang kaya dengan karya-karya seni halusnya.

Selepas berada di Florence selama sehari, kami kembali ke Rome bagi membolehkan kami meneruskan perjalanan ke Switzerland.

* Petikan rencana ini disiarkan dalam majalah SELECTA pada April 1981.

KHAZANAH ROME YANG MEMPESONAKAN - 12


ATHENS, ibu negara Greece, kami tinggalkan dengan kenangan indah yang sukar dilupakan. Kami dalam perjalanan ke Rome iaitu ibu negara Italy.

Setelah sehari semalam di laut menyebrangi Laut Adriatic dengn feri, kami tiba di Pelabuhan Brandisi, Italy di sebelah pagi. Dari Brandisi, kami mengambil keretapi ekspres menuju ibu negara Italy itu.

Oleh kerana sekali lagi ketinggalan keretapi di Brandisi, kami terpaksa mengambil keretapi tengah malam dan tiba di stesen pusat Rome di sebelah pagi.

Kota Rome adalah kota terbesar di Italy di samping menjadi pusat perindustrian dan perdagangan yang kedua besarnya selepas Milan.

Oleh kerana kota ini kaya dengan khazanah seni lukis serta bangunan lama yang mempesona, tidaklah hairanlah sumber utama kota ini datangnya daripada sektor pelancungan.

Satu lagi faktor yang menyebabkan ia sebegitu popular di kalangan pelancung ialah keadaan cuaca yang baik sepanjang tahun walaupun pada musim sejuk.

Rome diasaskan pada tahun 753 oleh Romulus. Menurut sejarah, kota itu wujud sebagai jajahan orang-orang dari bukit Alban. Pada tahun 500 BC, orang-orang Roman menghalau Raja Etrusen dan mendirikan kerajaan Republik Rome yang berjaya memerintah selama empat kurun.

Pentadbiran negara pada ketika itu dikendalikan oleh ahli Senat dan dua orang ahli konsul. Di bawah pengawasan senator berkenaan Rome menunju ke puncaknya sebagai sebuah kuasa besar dunia.

Cara hidup orang-orang Rome masih dikekalkan. Rome kemudian mengembangkan kuasanya di Picenum, Umbria, Apulia, Lucania dan Entruvan. Kerajaan itu kemudian menakluk Sicily, Hanibal, Corsica, Sardinia dan Afrika Utara.

Kota itu sebenarnya mempunyai terlalu banyak bangunan lama. Kebanyakannya adalah bangunan gereja yang didirikan beratus-ratus tahun dahulu. Vatican City yang merupakan pusat penganut agama Kristian Katolik juga bertempat di Rome. Ia menjadi tumpuan utama penganut agama tersebut yang tertumpu ke situ untuk bersua muka kalau bersekempatan dengan Pope John Paul.

Menurut seorang pemandu pelancung, oleh kerana terlalu banyak gereja di kota itu, kalau hendak dikunjungi satu hari satu – belum pasti dapat diselesaikan dalam masa setahun.

Antara tempat –tempat menarik yang lain ialah Colosseum, Castle Saint Angelo, Istana Quirinal serta University Rome yang diasakan pada tahun 1303.

* Petikan rencana ini disiarkan dalam majalah SELECTA pada bulan April 1981.

Sunday, December 7, 2008

KE ACRIPOLIS, ATHENS - 11

Tempat pertama yang dikunjungi ialah Stadium Olimpik yang tidak jauh dari hotel. Di sini pernah diadakan Olimpik pertama dalam sejarah dan di sinilah juga diadakan pertandingan tidak rasmi peserta yang tidak menyertai Olimpik Moscow kerana pemulauan.

Kami kemudiananya bertolak ke Acripolis yang dianggap sebagai sebuah bangunan masterpiece. Rangka bangunan itu tetap utuh dan teguh, dan kini masih menjadi besi berani menarik pelancung setiap tahun.

Di sepanjang perjalanan menuju ke Acripolis, kelihatan gerai-gerai kecil menjual aneka jenis cenderamata. Antara yang popular ialah barang-barang kulit seperti tas tangan, tali pinggang serta baju. Para penjaja, sering kali menarik tangan pelancung supaya memasukki gerai mereka. Ramai di kalangan pelancong yang sudah memahami sikap mereka ini, terus berjalan menuju ke Bukit Acripolis.

Acripolis terletak di satu kawasan seluas 500 kaki lebar dan 1,000 kaki panjang. Bagi para pelancong yang hendak mengunjungi bangunan itu, mereka terpaksa mendaki bukit yang terletak 500 kaki atas dasar laut.

Ketika kami berada di sana, kerja-kerja memperbaiki beberapa bangunan kecil di sekitar kawasan itu sedang dijalanakan. Bagaimanapun, para pelancong tidak dibenarkan masuk ke bangunan yang ada. Mereka hanya dibenar menikmati keindahan seni reka Greek di kawasan luar bangunan. Langkah itu dibuat untuk menjaga keselamatan pelancung daripada pecahan bangunan dan bagi memastikan tiada siapa yang mencuri batu-batu untuk dijadikan cenderamata untuk di bawa pulang.

Setelah dua jam di tempat itu, kami menuruni bukit menuju ke kota Athens yang terletak kira-kira sebatu sahaja dari tempat itu. Terdapat banyak lagi bangunan lama yang menarik di kota itu.

Oleh kerana keletihan, kami terus menuju ke pusat bandar Athens untuk mengisi perut.

Memandangkan Athens memang menjadi pusat para pelancung di Eropah, segala keperluan pelancongan tersedia lengkap. Pusat-puat menukar wang di sediakan di samping bank yang terdapat di mana-mana sahaja .

Oleh kerana terlalu banyak kelengkapan yang tersedia, – kota itukelihatan seperti terlalu diperdagangkan. Keindahan pandangan indah di sekeliling kota itu kini, telah dinodai oleh gerai-gerai serta kedai-kedai jualan yang terlalu banyak tanpa perancangan teliti.

Pasukan polis pelancung juga turut memberi perkhidmatan khusus melayani kehendak pelancung yang sering menghadapi masalah. Ini berkemungkinan disebabkan sistem penerangan mereka yang membingungkan kerana di mana-mana tempat umum seperti pejabat pos, bank, pusat pelancungan serta tandas, kesemuanya bertulis dalam bahasa Greek.

Sungguhpun demikian, ramai di kalangan penduduk tempatan bersedia berbicara dalam bahasa Inggeris, walaupun mereka menyangi tulisan bahasa mereka dan sewajarnya diberi sanjungan. Ini berbeza sedikit dengan rakyat Perancis. Mereka ini lazimnya tidak akan melayani sesiapa sahaja yang berbahasa Inggeris walaupun mereka faham bahasa itu

Itulah gelagat insan yang bernama Manusia. Lain padang lain belalangnya.

* Petikan rencana ini disiarkan dalam majalah SELECTA pada bulan Mac 1981.

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...