Sunday, January 21, 2007

5 SEN BELI KARIPAP - 01

Pada tahun 50-60an, bila ke sekolah kalau bawa duit dua puluh sen sudah dianggap mewah. Ada kawan-kawan yang tak berduit langsung dan hanya berbekalkan goreng ubi, goreng keledek atau mee siam- masa itu belum ada mee maggi - yang dibekalkan oleh ibu tersayang di rumah dengan air sejuk - air mineral belum ada. Ada juga yang membawa bekal air sejuk saja. Bagi yang berduit dua puluh sen ini, bolehlah mereka membeli mee siam- lima sen, air sirap- lima sen dan baki sepuluh sen lagi digunakan untuk tambang ke sekolah pergi balik dengan harga 5 sen sehala dengan menaikki prebet sapu atau van sewa bulanan.
Saya bersekolah rendah di
Sekolah Umum Kg. Melayu Majidee - kini Sekolah Mohd Khir Johari di awal tahun 1957 - bila negara mencapai kemerdekaan. Selama tiga tahun dari Darjah 1 hingga Darjah Tiga terpaksa berulang alik dengan berjalan kaki kira-kira sebatu dari rumah di No. 3, Jalan Sempadan ke sekolah di Jalan Sekolah. Guru Besar Sekolah Umum Kg. Melayu Majidee ketika itu ialah Cikgu Midon Bin Jidon.
Hanya selepas Darjah Tiga barulah terpilih bersekolah aliran Inggeris dengan menyertai Special Malay Class di Temenggong Abdul Rahman School bersebelahan Sultan Ibrahim Girls School, SIGS. Belajar sehingga darjah 6 sebelum ke Sekolah Menengah Datuk Jaffar.
Ketika di sekolah rendah di Temengggung Abdul Rahman School, saya berulang alik dengan pengangkutan ala
Prebet Sapu yang khusus membawa pelajar berulang alik ke sekolah. Dalam kereta prebet sapu berjenama Mini Minor yang dipandu oleh Pak Samad boleh membawa maksimum 5 penumpang. Tetapi peliknya hampir 15 hingga 18 pelajar menaikkinya bagi satu perjalanan pulang ke Kg. Melayu. Apa yang penting, pengangkutan ini pasti membawa kita ke sekolah dan kembali ke rumah dengan selamat dan dengan pembiyaan yang berpatutan. Pada masa itu, tidak pula difikirkan mengenai keselamatan jalan raya dan pelbagai macam masalah sebagaimana di hadapi sekarang di mana setiap hari ada saja pengguna jalanraya yang terbunuh.
Antara rakan-rakan di Sekolah Temenggong Abdul Rahman sepertimana gambar di atas termasuklah Baharum, Din Jerman, Shahir Hamid, Zainal Panjang, Wan Aziz, Ismail Ahmad, Jaffar, Maidin, Md. Nor, Jamaluddin Kamdi (Bekas Pengarah Imigresen), Ibrahim Talib, Omar Awang dan Musa Riduan.

No comments:

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...