Tuesday, January 23, 2007

HARIRAYA & PANGGUNG WAYANG - 02

Aktiviti terbaik sewaktu hariraya khususnya bagi golongan kanak-kanak ketika di zamanku dulu ialah mengumpul duit raya dengan berkunjung ke mana sahaja rumah yang boleh dimasukki di Kg. Melayu Majidee, Johor Bahru. Pungutan yang dibuat tidaklah seberapa kerana setiap tuan rumah yang dikunjungi lazimnya memberikan 5 sen ataupun 10 sen. Kalau nak menerima sumbangan 20 sen itupun daripada sanak saudara terdekat yang mengunjungi rumah kita sendiri ketika harairaya pertama dan kedua.
Walau bagaimanapun perlu diingat pada ketika itu wang 5 sen boleh membeli sekeping kuih sementara 10 sen pula membolehkan kita membeli sebungkus nasi lemak ataupun roti canai mahupun mee siam. (Ketika itu
kuetiw dan mee maggi belum popular – kerana ia hanya menjadi makanan kaum China).
Hanya selepas hariraya ketiga, barulah berjaya dikumpulkan duit untuk kita berbelanja ke bandar Johor Bahru yang terletak 4 batu jauhnya untuk membolehkan menonton Filem Melayu di pawagam.
Menonton Filem Melayu baru keluaran
Shaw Brothers serta Cathay Keris adalah kemestian pada remaja di zaman itu. Lagipun itulah satu-satunya bentuk hiburan yang ada berbanding pada masa ini. Filem Melayu yang ditonton masih lagi dalam bentuk hitam putih.
Panggung Wayang yang ada di Johor Bahru pada tahun60-an ialah Rex di tepi Sungai Seget (Berhadapan Kompleks Tun Razak - sekarang) dan panggung Cathay di atas Bukit di sebelah bangunan Rumah Pangsa di Bukit Chagar. Lazimnya apabila tiba dipanggung, penonton mula bersesak-sesak. Saya kurang pasti harga tiketnya- rasanya 2 ringgit sahaja. Untuk jalan mudah, selalunya kami membeli tiket pasaran gelap atau
Black Market dengan harga 2 kali ganda iaitu 5 ringgit. Ketika itu apa yang popular dilakukan ialah minum Coca Cola - air kotak belum wujud - berserta bungkusan kuaci - tidak seperti sekarang berbekalkan Popcorn.
Ketika Hari Raya, Aidilfitri mahupun Aidiladha Filem Melayu keluaran Jalan Ampas serta Cathay Keris bersaing hebat menarik jumlah penonton yang berlipatganda berbanding dengan hari-hari biasa. Hero-hero ternama ketika itu ialah P.Ramlee, Ahmad Mahmood, Aziz Jaffar di bawah Shaw sementara heroin popularnya pastilah Saadiah, Roseyatimah, Zaiton & Sarimah. Hero-hero lain yang bernaung di bawah Cathay Keris pula ialah Nordin Ahmad, Mustafa Maarof dan ramai lagi. Dan pastinya watak jahat Filem Melayu ketika itu ialah A.Rahim dan Mahmood June.

No comments:

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...