Hujung tahun lalu, Nurfarahin Jamsari bekas Penyampai Berita ketika aku di TV3 yang kini mengetuai Bahagian Latihan stesen itu menelefon aku memintaku membantu mengendalikan latihan wartawan & penerbit Primeworks Sdn. Bhd.
Pada mulanya aku memberikan nama rakan lain yang boleh melakukananya kerana aku agak sebok dengan tugas-tugas harian lain. Namun, Fara memberitahu, pengurusan atasan mereka khususnya Pengurus Besar, Ahmad Kamaludin Zabaie yang juga bekas kakitanganku di TV3, memintaku membantu mengendalikan kursus berkenaan.Untuk itu aku meminta Fara memenuhi dua keperluan sebelum bersetuju mengendalikan kursus itu. Pertamanya kursus perlu dibuat pada hari Sabtu, bila aku berkelapangan dan keduanya, para pesertanya perlu trerdiri daripada gabungan wartawan dan juga penerbit.
Aku meminta sedemikian kerana selama aku dijemput mengendalikan pelbagai kursus kewartawanan penyiaran, lazimnya Aku diminta melatih para wartawan sahaja. Bila ini berlaku, bila mereka yang terlatih kembali ke tempat kerja masing-masing, pengetahuan yang diperolehi tidak boleh dipraktikkan kerana bos-bos mereka sendiri secara kebetulan tidak menghadiri kursus yang sama.
Antara mereka yang mengikuti kursus selama 15 jam itu ialah itu Siti Zainah Juahir (Producer) – Ole-ole Chef Wan, Kalijahwati (Producer) – Bersamamu, Mohd Naim Niamat (Producer) – Misteri, Siti Hajar Abdullah (Producer) – Wanita Hari Ini, Wan Farid Wan Mohamad (Producer) – Islamic Content, Muhammad Husni Mahat (BJ) –Misteri, Kamal Zakry Zainal (BJ) – Majalah 3, Nurul Syuhada Nurul Ain (BJ) – Majalah 3, Johari Abu Bakar (BJ) – 999 dan Mohd Fareed Shariff (BJ) – MHI.
Kursus itu dijalankan selama lima minggu dengan peruntukan masa 3 jam seminggu.
Kandungan kursus yang berasaskan refresher course ini berkisar kepada pelbagai aspek penerbitan seperti penulisan skrip, tatabahasa penggambaran, penyuntingan, stail television, membuat stand-upper, suara latar serta teknik wawancara untuk berita serta program bualbicara.
Pendedahan dalam dunia kewartawanan penyiaran perlu dilaksanakan dalam bentuk latihan berterusan kerana bidang penyiaran bergerak pantas dan berubah dengan keperluan semasa. Saingan dunia media baru penyiaran memerlukan Dunia Penyiaran konvensional sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk menyainginya.
No comments:
Post a Comment