Kelas Tamadun Islam adalah antara subjek yang perlu diambil oleh setiap pelajar yang beragama Islam di Tingkat 13 sejak dulu lagi. Bagi kami pada zaman awalnya, kelas yang paling digeruni oleh sesetengah pelajar perempuan masscomm ialah mereka yang tidak menggemari pemakaian baju kurung untuk ke kelas.
Pada ketika itu pelajar perempuan yang gemar berseluar atau berskirt ke kelas terpaksa memakai baju kurung ketika kelas agama diadakan. Pensyarahnya pula adalah dari Unit Agama ITM sendiri mahupun pensyarah luar.
Pada masa itulah baru nampak keayuan seorang gadis Melayu yang terpancar daripada pakaian yang digunakan. Lazimnya mereka setiap hari ke kelas dengan memakai seluar panjang atau memakai skirt – tidaklah pulak menjolok mata.
Pada masa itu juga, pelajar lelaki akan mengambil kesempatan mengusik golongan ini dan memperli mereka. Ini adalah satu kebiasaan bagi penghuni Tingkat 13 yang sentiasa bergurau senda sepanjang masa sampai tidak ada penghujungnya.
Apa yang paling digeruni di kalangan pelajar ketika itu ialah kehadiran Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin – bukan Ustaz Ghani- pensyarah Masscomm yang mengajar selepas itu - yang secara langsung gemar menengur pelajar-pelajar ITM yang dirasakan melanggar tatasusila peradaban. Ustaz Ghani yang menjadi Pensyarah di ITM adalah antara pemimpin Abim pusat dan pernah bertugas di Sabah. Ketika di sana kerana kegigihan dalam perjuangannya, beliau pernah diusir dari Sabah dalam tempoh 24 jam kerana dikhuatiri kegiatan dakwahnya berpotensi membahayakan Kerajaan BERJAYA ketika itu.
Seorang lagi ulamak terkenal, Dr.Harun Din yang kini menjadi pemimpin kanan PAS pusat -pernah menjadi pensyarah kami di Tingkat 13. Beliau adalah antara pensyarah yang popular dan diminati kerana apabila berkuliah, pelajar-pelajar dari kajian lain turut memenuhi kelas kami di Tingkat 13. Dengan adunan ilmu dan cebisan-cebisan kisah menarik, beliau berjaya mencuit hati para pelajar dengan ceramah-ceramahnya yang sentiasa ditunggu oleh penghuni Tingkat 13 dan kajian lain. Pelajar-pelajar masscomm lain sama ada di kalangan senior atau pun junior yang tidak mempunyai kelas ketika kelas agamanya diadakan turut memenuhi kelas agama kami.
No comments:
Post a Comment