Saturday, May 24, 2008

KERJA SAMBILAN - ITM-02

Akhirnya aku mengambil keputusan melanjutkan pelajaran ke ITM pada pertengahan tahun 1975. Itupun setelah menjalani beberapa siri perbincangan dan rundingan dengan bos-bos di RTM. Pada masa itu bos-bos ni sungguh sporting. Mereka bukan sahaja memberi sokongan moral terhadap niatku melanjutkan pelajaran, malah turut membuka jalan bagiku mencari duit untuk menampung pengajian ketika di ITM. Encik Tamimuddin Karim, Pengawal Berita Radio ketika itu, mencadangkan agar aku bekerja di Bilik Berita Radio sebagai wartawan sambilan dengan gaji RM25 sehari pada setiap hujung minggu. Ini bermakna setiap hujung bulan aku masih boleh menerima gaji berjumlah RM200. Setiap minggu ketika bertugas Sabtu dan Ahad aku boleh dapat RM50. Lebih RM10 daripada gaji bekerja sebagai kakaitangan tetap. Sokongan Ketua Pemberita ketika itu, Nazli Zakuan dan Arwah Salleh Patih Akhir, Penyunting Kanan begitu mengalakkan. Salleh Patih Akhir bersama Editor RTM Mokhtar juga sanggup menjadi penjaminku ketika aku memohon biasiswa MARA untuk menyambung pengajian Sarjana ke Boston University selepas selesai belajar di ITM pada tahun 1978. Alangkah leganya. Untuk memudahkan aku pergi balik dari ITM ke RTM, aku beli sebuah motosikal Yamaha baru 100 CC. Setiap cuti semester adalah masanya untuk aku membuat duit kerana aku bekerja setiap hari dan boleh menerima gaji lebih RM500 sebulan sepanjang dua bulan cuti semester. Masa praktikal ataupun latihan amali yang disyaratkan kepada pelajar tahun akhir ITM - aku terus bertugas di RTM dan menerima gaji yang sama. Ini semua rezeki. Tuhan nak bagi. Terima sajalah. Syukur Alhamdulillah.

No comments:

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...