Saturday, March 14, 2009

BUNGKUS KOTAK

Berbeza dengan Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini, Perhimpunan kepimpinan UMNO penghujung Mac ini akan meninggalkan pelbagai kesan kepada perkembangan lanskap politik, ekonomi dan sosial negara.

Ini berlaku kerana berbanding dengan perhimpunan sebelumnya teraju kepimpinan UMNO dan negara akan berubah apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kuasa kepimpinan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Apa yang mahu diutarakan di sini ialah walaupun perubahan belum berlaku, namun ada pihak telahpun merasa bahangnya terlebih dahulu.

Berdasarkan kepada pengalaman sendiri sebagai bekas anggota pengurusan media di TV3 pada era 80an aku turut menerima tempiasnya apabila saingan pertandingan merebut jawatan presiden UMNO antara Dr.Mahathir Mohammad dan Tengku Razaleigh pada pertandingan bersejarah 24 April 1987.

Berbulan-bulan sebelum pertandingan merebut jawatan Presiden itu setiap kali bersua dengan orang politik dan rakan media, perli dan usikkan terus diasak di telinga supaya berkemas-kemas barang ke dalam kotak untuk meninggalkan TV3 kerana perubahan pucuk pimpinan akan berlaku – dan pastinya kepimipinan baru akan membawa orangnya untuk menggantikan tempatku sebagai Timbalan Pengurus Berita & Ehwal Semasa. Ironisnya, aku di TV3 tidak dilantik atas dasar proxy politik kerana aku telahpun berada di TV3 sejak ia dibuka pada tahun 1985 lagi. Malangnya, oleh kerana jawatan yang dipegang pada ketika itu dianggap kanan dan apa juga yang dilakukan oleh Political Masters, kita terus dijenamakan bersekongkol dengan pemimpin yang ada dan perlu ditolak sekiranya mereka tidak diterima lagi.

Namun, apa yang berlaku - aku tidakpun perlu mengemas barang ke kotak pada tahun itu kerana Dr. Mahathir memenangi pertandingan itu dengan mengalahkan Tengku Razaleigh dengan majoriti cuma 43 undi.

Itulah realitinya. Mereka yang berkedudukan terpaksa dikorbankan atas dasar keperluan amalan untuk memenuhi tuntutan budaya yang memerlukan ”pertukaran orang-orang baru” di organisasi yang ada sejajar dengan perubahan kepimpinan.

Dalam hubungan ini, perkara yang sama berlaku. Mereka yang menerajui kepimpinan - mungkin merasakan perkara ini. Apa yang menambah resahnya berbanding dengan zaman 80an ialah perkara ini turut dimuat dan dibincangkan menerusi blog-blog.

Hanya pandangan kepada mereka yang mungkin merasa tertekan dengan perkembangan ini. Rezeki di Tangan Tuhan. Hadapinya dengan penuh cabaran. Dan Rezeki ada di mana-mana hanya kita perlu mencarinya. Rezeki kita tidak ditentukan oleh pemimpin negara atau pemimpin politik. Apa yang penting dalam penghidupan khususnya bagi mereka yang berkedudukan pemimpin ialah kita tidak perlulah mengainaya orang. Ini kerana apabila ini berlaku, orang akan tersenyum sinis melihat gelagat kita selepas itu.

Tuesday, March 10, 2009

MENJADI NEWSCASTER – Ep. 3 - 08

Bidang pengacaraan - khususnya dalam penyampaian berita dan pengacaraan program/majalah/bualbicara tidak dikategorikan sebagai kerjaya berstatus selebriti pada awal-awal 80an. Ketika itu stesen TV mahukan pengacara mereka mempunyai pengkhususan, berketerampilan dan beridentiti sendiri.

Atas dasar itu sebagaimana menjadi amalan biasa, dalam kontrak tawaran kerja setiap penyampai/pengacara, mereka ditegah menjadi penyampai/pengacara program-program di stesen TV lain. Setiap stesen TV ketika itu sama ada RTM mahupun TV3 menghormati pemahaman atau konvension ini. Hanya selepas wujudnya lebih banyak stesen yang juga memerlukan lebih banyak program pelbagai bentuk - kita dapat perhatikan pengacara-pengacara seperti ini mula mengendalikan program di pelbagai stesen TV yang berbeza-beza.

Kecelaruan ini ditambah dengan ramai artis drama mahupun filem yang tidak berkelayakan dalam bidang ini turut terjun menjadi pengacara dalam program-program yang dianggap lebih serious. Daripada tidak ketentuan ini, wujudlah penyampai berita/program yang juga seorang artis drama/filem, model serta pelawak. Tidak cukup dengan itu, mereka turut menjadi talent dalam filem iklan. Tidak hairanlah sekiranya kita perhatikan, dalam sesebuah rancangan seorang penyampai program tv, menjadi penjenayah dalam sebuah drama tv dan pada waktu yang sama menjadi talent iklan ketika commercial break.

Pada zaman awalnya, peranan dan sumbangan pengacara/penyampai berita adalah lebih jelas. Ada usaha-usaha di kalangan penyampai berita yang meminta kebenaran mengambil bahagian menjadi talent iklan. Di TV3 perkara ini tidak dibenarkan. Aku memberi pilihan kepada mereka sama ada menjadi Newscaster sepenuh masa atau meninggalkan stesen itu untuk menjadi artis popular filem iklan mahupun bintang drama tv/filem.

Sebagai Newscaster mereka memilikki piawaan dan identiti tersendiri. Mereka adalah golongan istimewa yang menyampaikan maklumat serious mengenai dasar kerajaan, pengemuman rasmi, berita peperangan yang serious sifatnya. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya keluar dalam sesebuah commercial break di TV menjual minyak masak atau mempromosi jenama ubat gigi. Tidak ada kompromi dalam hal ini.

Atas dasar itu juga, ketika menjawat Timbalan Pengurus Berita/Ehwal Semasa TV3, aku tidak membenarkan penyampai berita stesen itu bergambar sesuka hati di akhbar ruangan hiburan atau majalah hiburan. Kebenaran hanya diberi ketika hari raya atau ada promosi yang berkaitan dan sesuai mengenai program/rancangan yang diacarakan.

Penyampai Berita rangkaian CBS di Amerika Syarikat Walter Cronkite pada zamannya adalah antara personaliti yang dikategorikan Orang Yang Paling Dipercayai di Amerika Syarikat -The Most Trusted Man in America. Apa agaknya terjadi sekiranya Walter Cronkite turut berlakun drama atau filem di samping mempromsikan barangan berjenama di CBS.

Sunday, March 1, 2009

INGIN JADI NEWSCASTER - Ep. 2 - 07


Walaupun banyak siri audition diadakan, adalah agak sukar mendapat calon Newscaster yang benar-benar memenuhi citarasa stesen TV3 ketika itu. Calon yang diperlukan perlu berkelayakan untuk menjalankan tugas yang diberikan di samping mempunyai personaliti menarik, menawan dan diyakini. TV3 mahukan Newcaster muda berketerampilan, berwawasan dan beridentiti tersendiri berbeza dengan Newscaster RTM ketika itu.
Oleh kerana TV3 merancang membuat pelbagai program selepas menemui penonton pada awal 1985, aku diberi lampu hijau untuk sama-sama membantu mengenalpasti Newscaster yang sudah ada di pasaran.
Antara orang pertama yang ku temui ialah Christine Ling yang ketika itu sudah membaca Berita Perdana RTM. Christine berkelayakan dari Rancangan Penulisan Kreatif & Deskriptif, RPKD,Universiti Malaya. Dia juga adalah bekas muridku ketika aku mengajar di UM untuk 3 subjek iaitu kewartawanan, penyuntingan dan isu-isu antarabangsa. Dia rupa-rupanya telah disunting lebih awal oleh RTM menerusi Ketua Pengarahnya ketika itu, Datuk Jaffar Kamin yang secara kebetulan menjadi Pensyarah Sambilan RPKD.
Apabila aku hubungi Christine dengan tawaran dan ganjaran lebih menarik - Dia menerima tawaran itu dan Christine yang fasih Bahasa Malaysianya bertukar angin ke TV3.
Seorang lagi penyampai berita yang pernah dilatih oleh RTM ialah Ezzah Aziz Fauzy. Apabila TV3 membuat audition, Ezah kelihatan selesa sebagai seorang Newscaster. Bila aku tanyakan kepadanya, dia ketika itu sedang menjalani mock-run di RTM. Oleh kerana dia belum lagi ditawarkan kontrak dan belum terikat, TV3 menawarkannya untuk membaca berita.
Cara untuk mencari Newscaster juga berbeza-beza. Seorang Newscaster Sambilan, Raymond Goh misalnya dikenalpasti kebolehannya menerusi program Majalah 3 yang mengupas mengenai tugas DJ radio. Ketika aku menonton program itu aku dapat mendengar suara Raymond dan keesokannya memintanya ke Jalan Liku, Bangsar untuk menghadiri sesi audition. Raymond berjaya dan diterima sebagai Newcaster Sambilan dan sehingga hari ini tenaganya masih diperlukan oleh stesen swasta itu.
Betinna Chuah Abdullah lain pula ceritanya. Daripada pembacaan di sebuah akhbar aku perolehi maklumat bahwa bekas model ini bekerja di sebuah agensi perhubungan awam selepas menamatkan pengajiananya di Amerika Syarikat. Aku berjaya menghubunginya di Kuala Lumpur dan mempelawanya membuat audition. Dia turut ditawarkan menjadi keluarga TV3 dan turut mengacarakan program kewangan berbahasa Inggeris Money Matters.

Thursday, February 26, 2009

Koperasi XMC - Langkah Awal - ITM 14

Ahad 22 Februari 2009. Menunggu Pak Wan di rumah jam 9.30 pagi untuk ke ITM bagi menghadiri Mesyuarat Pertama Ahli Lembaga Koperasi Bekas Alumni Sebaran Am, ITM. Setibanya di Fakulti Media, tempat meletak kereta semuanya penuh. Hari itu rupanya adalah hari kuliah bagi pelajar Jabatan Media - e-PJJ. Pak Wan terpaksa meletak kereta di seberang jalan di Fakulti berhampiran.

Mesyuarat berjalan lancar. Pertemuan sulung yang disertai 13 ahli lembaga yang dilantik oleh ahli koperasi yang mengadakan mesyuarat pertamanya pada 7 Februari lalu bolehlah dianggap sebagai satu tinta sejarah tersendiri bagi bekas penghuni Tingkat 13 ini.

Koperasi ini menurut catatan SKM adalah bakal koperasi pertama Fakulti Komunikasi & Pengajian Media - pertama di UITM - pertama di Malaysia dan pertama di Asia Tenggara & Asia.

Kami sependapat bahwa sebagai ahli lembaga sulung ini, kami mempunyai tanggungjawab bagi memastikan kejayaannya. Sebagai pembuat landasan terawal, misi dan visinya adalah untuk memenuhi aspirasi ahli-ahli yang mengundi dan meletakkan kami di sini. Atas dasar itu, dapat diperhatikan setiap ahli lembaga yang terpilih nampak lebih berhati-hati dan teliti dalam apa juga cadangan perancangaan yang diutarakan bagi memastikan mereka tidak mengecewakan ahli-ahli.

Mesyuarat pertama ini bersetuju melantik Pensyarah Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Khairuddin Osman sebagai Pengerusi, Pak Wan sebagai Setiausaha dan Marlia sebagai Bendahari.

Aku yakin dan percaya sebagai pengemudi koperasi ini Khairuddin dengan sokongan ahli lembaga akan cuba melaksanakan tanggungjawab semampu mungkin.

Sebelum menjadi pensyarah di UITM, Khairuddin pernah menjawat pelbagai jawatan di TV3 termasuk Pengurus Program, mengendalikan anak syarikat TV3, APT di Petaling Jaya dan membimbing TV3 Ghana. Dia juga pernah bertugas di Bernas sebelum ke UITM.

Pak Wan yang pernah bertugas di Bank Rakyat lebih daripada 20 tahun dipilih sebagai Setiausaha. Hasil cetusan ideanya di XMC juga yang menghasilkan penubuhan jawatankuasa penaja koperasi di mana dia sendiri dilantik menjadi Pengerusi.

Marliya pula dilantik Bendahari kerana keyakinan ahli lembaga dengan keikhlasan serta pengalamanya untuk menjayakan koperasi ini. Beliau juga turut menawarkan tempat di pejabatnya di Glenmarie sebagai pejabat sementara Koperasi.

Thursday, February 19, 2009

INGIN JADI NEWSCASTER - 06


Antara Penyampai Berita terawal di TV3 ialah Razak Abdullah, Fitri Aziz dan Mahadzir Lokman yang turut membaca Berita Bahasa Inggeris. Newcasters berbahasa Inggeris pula ialah Caryn Lim, Nina Halim Rasip, Arwah Azhar Osman – Bekas Setiausaha Akhbar Pak Lah dan Gerald Benedict.

Robert Lam, Patrick Teoh dan Raymond Goh pula adalah Penyampai Berita sambilan.

Razak Abdullah dan Fitri Aziz sebelum melangkah ke TV3 pernah bertugas di RTM di Bahagian Pembangunan sementara Fitri di konti Unit Persembahan sebagai DJ dan penyampai berita radio. Kedua-dua mereka ini yang mempunyai suara penyampai berita yang unik dan terserlah telahpun ku kenali ketika aku bertugas di Bilik Berita Radio.

Mahadzir, Caryn , Nina, Azhar dan Gerald pula adalah penyampai baru yang belum berpengalaman.

Penyampai Berita Tetap gelombang kedua pula terdiri daripada Ezzah Aziz Fauzy, Wan Zaleha Radzi, Christine Ling, Ras Adiba Radzi, Nurfarahin Jamsari, Zalina Azman, Fuad Rahman dan Rosli Dahamin.

Ter Ai Chin, Zubli Zainudin, Rozina Bakar, Ishak Nengah pula adalah di antara penyampai berita sambilan.

Pada zaman itu, menjadi Newscaster mempunyai kegilaannya tersendiri. Setiap individu mahukan popular dan cara terbaik dan terpantas untuk meraih status ini ialah dengan menjadi Newscaster.

Setiap kali TV3 mengiklankan jawatan Penyampai Berita, TV3 menerima berkotak-kotak permohonan. Dan kalau diadakan ujibakat langsung atau Audition Walk-In, Studio TV3 di Jalan Liku, dibanjiri manusia tak tahu mana datangya yang mahu menyertai dunia penyiaran tv swasta baru penuh glamour ini.

Lazimnya, bagi kami di Bahagian Pengurusan, usaha-usaha sebegini kami anggap seperti memancing ikan. Kadang-kadang dapatlah orang yang mahu dicari dan kadang-kadang tidak ada seorangpun yang berjaya melepasi piawaan menjadi Newscaster ini. Ada ketikanaya, aku terpaksa membawa pulang berkotak-kotak permohonan mereka yang ingin menjadi Newscaster ke rumah untuk di pilih di rumah kerana ketiadaan masa di pejabat.

Setelah dipilih berdasarkan kepada beberapa kriteria yang ditentukan seperti kelayakan, pengalaman dan perawakan, mereka disaring sekali lagi menerusi ujian tulisan, ujian standupper dan ujian membaca. Sekiranya mereka melepasi semua rintangan ini barulah mereka dipanggil untuk temuduga – pun belum pasti mereka akan terpilih.

Monday, February 9, 2009

Koperasi XMC - ITM 13

7 Feb, 2009 – Satu tarikh penting bagi bekas pelajar UITM – XMC- apabila buat pertama kalinya dalam sejarah koperasi /pendidikan negara sebuah Koperasi Pelajar IPT berjaya diwujudkan.

Tahniah kepada seramai 63 ahli yang bermesyuarat pada hari itu dan memilih 13 ahli lembaga untuk mengemudi halatuju agenda ekonomi ahli-ahlinya.

Walaupun jumlah 63 aggota XMC yang hadir dianggap kecil, semangat yang ditunjukkan adalah petanda keikhlasan insan-insan ini - mengorbanakan masa di hujung minggu - untuk melihat sesuatu dapat dihasilkan melalui pengembelingan tenaga insan kreatif yang berpelbagai aliran pemikiran . Apa yang meyatupadukan mereka ialah satu – mereka ini adalah bekas penghuni yang pernah berjuang di Tingkat 13.

Dari segi rekodnya koperasi ini diwujudkan adalah * koperasi pertama graduan sebaran am UITM. * koperasi pertama graduan UITM . * koperasi pertama graduan mana-mana universiti di Malaysia dan * koperasi pertama graduan universiti rantau Asia Tenggara/Asia.

Oleh kerana rekod ini, setiap gerak langkah koperasi selepas ini akan sentiasa diperhatikan bukan hanya oleh ahli koperasi – malah semua pihak untuk melihat sejauh manakah XMC berkemampuan berpadu tenaga bergerak sebagai sebuah koperasi.

Secara individunhya, XMC telah melakarkan pelbagai kejayaan dan berperanan mewarnai pembangunan industri komunikasi negara. Pergerakan koperasi yang baru diterokai ini adalah langkah pertama pengembelingan tenaga ini. Dengan jumlah hampir 4000-5,000 bekas XMC,UITM di seluruh negara, jika hanya 10 peratus pun yang menganggotainya ia sudah menjangkau angka 500.

Harapanya hanyalah Niat yang baik akan menghasil Kejayaan yang diharapkan. Dan kejayaan sesebuah organisasi itu memerlukan dwi-hubungan ahli dan kepemimpinan . Diharapkan hubungan yang sedia wujud ini terus diperkukuhkan dan lebih ramai lagi ahli xmc menganggotai koperasi ini. INSYALLAH.

Sunday, February 1, 2009

REUNION SELEPAS 30 TAHUN - ITM-12

31 Januari 2009 - adalah satu tarikh bertuah kerana aku dapat bertemu dengan gang-gang lama di Mass Comm. Hampir 100 ahli XMC berkumpul di Bangi Lama di rumah Razak Dali- Mad Dog-Batch 1974. Terima Kasih kerana membuka rumah Anda untuk kami mengadakan reunion XMC. Aku dan Razak sendiri tak berjumpa hampir 30 tahun selepas dia meninggalkan tingkat 13 Mass Comm dan bertugas di Public Bank. Nampaknya pada malam itu, aku sahaja daripada Batch 1975 - sayu juga rasanya.

Pada malam itu aku turut bersua dengan Batch 74 lain seperti Chot-Mansur Putih, Hayati Sekarang Datuk–Pengarah RTM, Mahfuzah-X Bernama, Salbiah-Bernama, Khairuddin, Rahim Salleh & Ilias Salleh-Pensyarah ITM, Farizah, dan Faridah Hitam aka Black. Sempat ku bisikkan ke suami Faridah - sekarang Hajah - bahwa isterinya yang bergelar Black ketika di Tingkat 13 adalah antara individu yang bertanggungjawab menyebabkan aku ke ITM .

Lihat Blog terdahulu (NAK MASUK ITM - ITM-01)

Aku ke majlis itu bersama Pak Wan, Batch 1977 & Dr. Adnan Hashim sekarang Dekan Kajian Media ITM. Kami bertiga ke sana selepas maghrib selepas berjanji pergi bersama dari Subang Jaya - kami agak terlewat sampai kerana tersasar sehingga ke bandar Semenyih. Apabila tiba, program telahpun berjalan sejak petang lagi.

Walaupun kami di Rumah Razak Dali , terasa pulak suasananya seperti di Tingkat 13 kerana ia begitu ceria dan meriah dengan adanya Junior-Junior kami dari pelbagai Batch yang turut serta.

Salbiah, Datuk Norhayati dan juga Farizah turut berkaroke apabila nama mereka dipanggil. Sikap sporting sebegini mengingatkan aku ketika di Tingkat 13 yang mereka ini semua sentiasa sporting.

Apabila tiba masa kami berangkat pulang kia-kira jam 11.30 malam, barulah terasa realitinya, bahwa kami tidak akan bersua lagi keesokan hari di tingkat 13 - tetapi di dunia realiti sendiri.

Semoga usaha rakan-rakan di XMC dan juga susah payah Razak Dali mengadakan reunion ini diteruskan lagi pada masa akan datang. Insyallah.

Tahniah juga kepada penganjur khususnya Penghulu XMC di alam maya Roro, Jai & the Gang --- yang tahu who you are.

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...