Showing posts with label DULU DULU. Show all posts
Showing posts with label DULU DULU. Show all posts

Sunday, April 12, 2009

SEKOLAH AGAMA JOHOR - 07


Kerajaan Johor di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar membentuk sistem pendidikan agama sejak tahun 1895. Ia berterusan memberi perhatian kepada pendidikan agama sehingga berjaya menghasilkanamalan menghantar anak mengikuti pengajian agamasebagaisebahagian daripada budaya mereka.

Pada tahun 1918, Sultan Ibrahim menithkan pendidikan agama Islam diajar secara formal menerusi sistem Sekolah Al-Qur'an dengan memfokuskan pembelajaran Al-Quran. Pada 1920, nama sekolah ini ditukar kepada Sekolah Kitab apabila mula diperkenalkan mata-pelajaranTauhid, Ibadat dan Tasauf. Pada 1923, ia ditukar kepada nama Sekolah Agama Petang kerana penambahan matapelajaran Muamalat, Munakahat, Faraid, Jenayah, Akhlak, Tawarikh, Tulisan Jawi dan Bahasa Arab.

Kelas-kelas yang disediakan adalah dari darjah 1 hingga darjah enam. Bagi mereka yang mencapai keputusan cemerlang selepas darjah enam, mereka layak ke Sekolah Khas Agama di Sekolah Bukit Zaharah bersebelahan Istana Besar di Johor Bahru. Lulusan sekolah khas ini layak memohon jawatan sebagai guru agama untuk mengajar di sekolah agama di negeri itu.

Aku turut berkesempatan mengikuti kelas agama selama enam tahun di Sekolah AgamaRakyat Dato Abdullah Esa, Kg. Melayu Majidee sehingga ke Sekolah Khas Bukit Zaharah. Guru Besar sekolah di Kg. Melayu Majidee ialah Cikgu Nasir. Guru-guru lain termasuk Cikgu Ariffin, Cikgu Mokhtar, Cikgu Salleh dan ramai lagi.

Kitab Mutaalbadrin adalah kitab yang paling rumit difahami dan digunakan pada ketika itu kerana ia menggunakan gaya bahasa klasik. Walau bagaimanapun, kami tidak menghadapi masalah untuk membacanya kerana telah terbiasa.

Pada tahun 2001, kerajaan Johor mempromosikan kurikulum sekolah agama Johor ke seluruh negara untuk dicontohi negeri-negeri lain.

Pendidikan Agama adalah salah satu khazanah unik dan istimewa yang diwarisi. Kini, Johor memiliki sistem pendidikan agama tersendiri yang berkesinambungan dan menawarkan peringkat Tadika Agama, Sekolah Agama, Sekolah Menengah Agama, dan juga Institusi Pengajian Tinggi Agama.

Friday, March 27, 2009

MELASTIK BURUNG DI WAKTU PAGI - 03

Pada zaman kanak-kanak di awal 50 dan 60an, musim cuti sekolah sentiasa dinantikan. Pada ketika itu cuti sekolah tidaklah sepertimana sekarang – melancung bersama keluarga, menyertai perkhemahan motivasi atau mengikuti lawatan sekolah ke tempat menarik dengan ditemani guru.

Kegiatan kami berbentuk aktiviti harian dengan menangkap ikan di parit berhampiran rumah, mencari spider di semak-semak dan belukar, mandi sungai dan melastik burung di pinggiran hutan.

Semasa cuti persekolahan, sepanjang hari kami berada di luar rumah tanpa pengawasan ibu-bapa. Ibu-bapa masing-masing sebok dengan tugasan harian mencari nafkah sesuap nasi untuk menyara keluarga. Mereka tahu keselamatan kami sentiasa terjamin kerana semua orang di kampung di tempat kami tinggal mengenali kami.

Kami akan hanya pulang ke rumah kalau perut terasa lapar dan kembali semula menjalankan aktiviti harian. Menangkap ikan di parit-parit adalah antara aktiviti yang menarik pada sebelah pagi. Di samping menangkap ikan, kami mengambil kesempatan bermain baling-baling tanah di samping mengempung parit-parit untuk dijadikan tempat bermandi manda. Selepas itu kami ke semak-semak berhampiran mencari spider yang akan di simpan di kotak mancis. Spider-spider ini dipertemukan untuk berlawan dengan spider kawan lain untuk mencari juara. Setiap seorang daripada kami mempunyai sekurang-kurangnya 3 ekor spider untuk tujuan berlawan. Di samping spider, kami juga menganjurkan perlawanan ikan pelaga dan juga perlawanan semut hitam.

Aktiviti melastik burung bermula dengan mencari batang kayu tembusu yang sesuai dijadikan cabang kayu lastik. Kayu itu dibentuk sebegitu rupa dengan meletakkan minyak makan dan di bakar - tetapi jangan sampai hangus. Dengan cara begini, cabang lastik itu boleh dibentuk menurut kemahuan sendiri. Setelah siap menyediakan cabang lastik, barulah dicari tube basikal untuk menyempurnakan lastik itu. Melastik burung adalah antara aktiviti seharian yang sesuai dilakukan pada sebelah pagi. Burung burung yang tidak mati dijadikan burung peliharaan sementara yang luka disembelih dan yang mati dibuang begitu sahaja.

Pada sebelah petang, kesemua kanak-kanak berkumpul dan mempunyai acara permainan sendiri. Antara permainan popular ialah rounders – satu permainan berpasukan seperti sofball di mana ada kumpulan yang memukul bola dan ada yang menangkapnya . Polis and Thief pula turut menjadi permainan favourite di mana dua kumpulan bersaing – satu kumpulan menjadi polis dan satu kumpulan lagi menjadi pencuri. Setelah selesai pusingannya - yang menjadi polis bertukar menjadi pencuri dan kumpulan pencuri pula menjadi polis. Begitulah seterusnya.

Permainan galah panjang juga adalah permainan popular dalam mana dua pasukan bersaing untuk ”mematikan” langkah lawan di dalam satu petak khas yang disediakan. Permainan kaki sebelah juga adalah permainan tradisi yang sentiasa dimainkan oleh dua kumpulan. Seorang wakil kumpulan berkaki sebelah akan mengejar pasukan lawan dan 'mematikan" kedudukan pasukan lawan.

Bagi kanak-kanak perempuan yang tidak menggemari permainan yang agak kasar ini mereka memilih untuk bermain tenteng dan batu seremban.

Permainan lain yang turut digemari ialah permainan kotak rokok, pertandingan ceper dan tidak ketinggalan bermain terup serta permainan bukak buku.

Tuesday, January 23, 2007

HARIRAYA & PANGGUNG WAYANG - 02

Aktiviti terbaik sewaktu hariraya khususnya bagi golongan kanak-kanak ketika di zamanku dulu ialah mengumpul duit raya dengan berkunjung ke mana sahaja rumah yang boleh dimasukki di Kg. Melayu Majidee, Johor Bahru. Pungutan yang dibuat tidaklah seberapa kerana setiap tuan rumah yang dikunjungi lazimnya memberikan 5 sen ataupun 10 sen. Kalau nak menerima sumbangan 20 sen itupun daripada sanak saudara terdekat yang mengunjungi rumah kita sendiri ketika harairaya pertama dan kedua.
Walau bagaimanapun perlu diingat pada ketika itu wang 5 sen boleh membeli sekeping kuih sementara 10 sen pula membolehkan kita membeli sebungkus nasi lemak ataupun roti canai mahupun mee siam. (Ketika itu
kuetiw dan mee maggi belum popular – kerana ia hanya menjadi makanan kaum China).
Hanya selepas hariraya ketiga, barulah berjaya dikumpulkan duit untuk kita berbelanja ke bandar Johor Bahru yang terletak 4 batu jauhnya untuk membolehkan menonton Filem Melayu di pawagam.
Menonton Filem Melayu baru keluaran
Shaw Brothers serta Cathay Keris adalah kemestian pada remaja di zaman itu. Lagipun itulah satu-satunya bentuk hiburan yang ada berbanding pada masa ini. Filem Melayu yang ditonton masih lagi dalam bentuk hitam putih.
Panggung Wayang yang ada di Johor Bahru pada tahun60-an ialah Rex di tepi Sungai Seget (Berhadapan Kompleks Tun Razak - sekarang) dan panggung Cathay di atas Bukit di sebelah bangunan Rumah Pangsa di Bukit Chagar. Lazimnya apabila tiba dipanggung, penonton mula bersesak-sesak. Saya kurang pasti harga tiketnya- rasanya 2 ringgit sahaja. Untuk jalan mudah, selalunya kami membeli tiket pasaran gelap atau
Black Market dengan harga 2 kali ganda iaitu 5 ringgit. Ketika itu apa yang popular dilakukan ialah minum Coca Cola - air kotak belum wujud - berserta bungkusan kuaci - tidak seperti sekarang berbekalkan Popcorn.
Ketika Hari Raya, Aidilfitri mahupun Aidiladha Filem Melayu keluaran Jalan Ampas serta Cathay Keris bersaing hebat menarik jumlah penonton yang berlipatganda berbanding dengan hari-hari biasa. Hero-hero ternama ketika itu ialah P.Ramlee, Ahmad Mahmood, Aziz Jaffar di bawah Shaw sementara heroin popularnya pastilah Saadiah, Roseyatimah, Zaiton & Sarimah. Hero-hero lain yang bernaung di bawah Cathay Keris pula ialah Nordin Ahmad, Mustafa Maarof dan ramai lagi. Dan pastinya watak jahat Filem Melayu ketika itu ialah A.Rahim dan Mahmood June.

Sunday, January 21, 2007

5 SEN BELI KARIPAP - 01

Pada tahun 50-60an, bila ke sekolah kalau bawa duit dua puluh sen sudah dianggap mewah. Ada kawan-kawan yang tak berduit langsung dan hanya berbekalkan goreng ubi, goreng keledek atau mee siam- masa itu belum ada mee maggi - yang dibekalkan oleh ibu tersayang di rumah dengan air sejuk - air mineral belum ada. Ada juga yang membawa bekal air sejuk saja. Bagi yang berduit dua puluh sen ini, bolehlah mereka membeli mee siam- lima sen, air sirap- lima sen dan baki sepuluh sen lagi digunakan untuk tambang ke sekolah pergi balik dengan harga 5 sen sehala dengan menaikki prebet sapu atau van sewa bulanan.
Saya bersekolah rendah di
Sekolah Umum Kg. Melayu Majidee - kini Sekolah Mohd Khir Johari di awal tahun 1957 - bila negara mencapai kemerdekaan. Selama tiga tahun dari Darjah 1 hingga Darjah Tiga terpaksa berulang alik dengan berjalan kaki kira-kira sebatu dari rumah di No. 3, Jalan Sempadan ke sekolah di Jalan Sekolah. Guru Besar Sekolah Umum Kg. Melayu Majidee ketika itu ialah Cikgu Midon Bin Jidon.
Hanya selepas Darjah Tiga barulah terpilih bersekolah aliran Inggeris dengan menyertai Special Malay Class di Temenggong Abdul Rahman School bersebelahan Sultan Ibrahim Girls School, SIGS. Belajar sehingga darjah 6 sebelum ke Sekolah Menengah Datuk Jaffar.
Ketika di sekolah rendah di Temengggung Abdul Rahman School, saya berulang alik dengan pengangkutan ala
Prebet Sapu yang khusus membawa pelajar berulang alik ke sekolah. Dalam kereta prebet sapu berjenama Mini Minor yang dipandu oleh Pak Samad boleh membawa maksimum 5 penumpang. Tetapi peliknya hampir 15 hingga 18 pelajar menaikkinya bagi satu perjalanan pulang ke Kg. Melayu. Apa yang penting, pengangkutan ini pasti membawa kita ke sekolah dan kembali ke rumah dengan selamat dan dengan pembiyaan yang berpatutan. Pada masa itu, tidak pula difikirkan mengenai keselamatan jalan raya dan pelbagai macam masalah sebagaimana di hadapi sekarang di mana setiap hari ada saja pengguna jalanraya yang terbunuh.
Antara rakan-rakan di Sekolah Temenggong Abdul Rahman sepertimana gambar di atas termasuklah Baharum, Din Jerman, Shahir Hamid, Zainal Panjang, Wan Aziz, Ismail Ahmad, Jaffar, Maidin, Md. Nor, Jamaluddin Kamdi (Bekas Pengarah Imigresen), Ibrahim Talib, Omar Awang dan Musa Riduan.

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...