Showing posts with label DULU DULU - EUROPE. Show all posts
Showing posts with label DULU DULU - EUROPE. Show all posts

Monday, December 8, 2008

BERTEMU MELAYU DI ZURICH -15

Kami tiba ke destinasi yang dituju jam 5 petang waktu tempatan. Memandangkan sewa hotel terlalu mahal, kami meninjau dahulu sekiranya ada asrama belia yang lazimnya terdapat di bandar-bandar penting untuk kemudahan pengembara seperti kami.
Setelah berputar-putar kira-kira setengah jam, ditemui juga tempat yang dimaksudkan.

Kami dikenakan bayaran kira-kira $10, berbanding dengan sewa hotel atau motel yang terlalu mahal di negara pelancungan ini.

Esoknya, kami tidak ke mana-mana. Kami hanya melawat sekitar kota yang menjadi tumpuan pelancung. Oleh kerana kesempitan wang ditambah dengan harga barang makanan yang begitu mahal, kami mengubah rancangan dengan menyingkatkan lawatan.

Kalau air kopinya saja berharga hampir $20 secawan, bayangkanlah barang makanan lain.

Setelah malam tiba, kami meninggalkan Interlaken menuju Zurich. Dengan tidak di sangka-sangka, setibanya di kota itu, kami menemui empat pelajar Malaysia yang secara kebetulan juga ialah bekas penuntut ITM. Mereka mengambil ijazah setelah menyelesaikan Diploma di Malaysia di bidang pengurusan hotel.

Zurich dan kota lain di Switzerland memang terkenal dengan perusahaan hotelnya. Atas sebab-sebab inilah ramai pelajar Malaysia khususnya dari ITM dihantar melanjutkan pelajaran ke sini.

Oleh kerana kami bercadang untuk meneruskan perjalanan ke Paris sebelum ke Brussels di Belgium untuk menaikki kapalterbang pulang ke tanahir, kami rakamkan rasa sedih kepada rakan-rakan ini kerana tidak dapat bermalam di Zurich. Walau bagaimanapun, kami tidak sampai hati mengecilkan hati mereka yang tidak pernah menerima tetamu tanahair sendiri, lalu kami tunda cadangan untuk berangkat lebih awal ke tengah malam.

Dengan cara demikian, dapatlah kami singgah ke rumah mereka di mana kami dijamu makan nasi goreng ala-Switzerland yang disediakan oleh rakan-rakan ini.

Tepat jam 12 tengah malam, dengan perasaan sayu kami berpisah dengan rakan-rakan yang baru dikenal itu dan berjanji akan bertemu di tanahair di satu masa nanti. Kami tinggalkan kota Zurich dengan penuh kenangan manis.

* Petikan rencana ini disiarkan dalam majalah SELECTA pada Mei 1981.

PERJALANAN EMAS KE SWITZERLAND - 14

SWITZERLAND adalah sebuah negara yang menjadi idaman pelancung dari seluruh dunia. Ia dianggap sebagai satu-satunya negara yang stabil dalam semua bidang. Ini disebabakan sikap negara itu yang benar-benar berkecuali di bidang ketenteraan. Negara itu juga tidak pernah melibatkan diri dalam apa jua bentuk peperangan sejak tahun 1815 dan tidak terlibat dalam Pakatan Tentera Negara-Negara Eropah, NATO.

Selain itu, Ia juga terkenal sebagai pusat bank yang terkemuka kerana kestabilan mata wangnya, Franc.

Kerana keistimewaan ini jugalah menyebabkan kami mengambil keputusan untuk singgah ke negara itu sebelum pulang ke tanahair.

Setelah meninggalkan kota Pisa di Italy, kami singggah di Florence selama semalam. Dari situ kami bertolak balik ke Rome untuk menyambung perjalanan ke Geneva, Switzerland. Oleh kerana kami becadang untuk bermalam di Interlaken, sebuah bandar kecil yang indah di kawasan pergunungan di tengah-tengah Switzerland, kami terpaksa menyingkatkan lawatan ke Geneva.

Sebelum tiba di Geneva, keretapi menggelongsor menuruni bukit-bukit curam dan setibanya di bawah, nampak luas terbentang Tasik Geneva yang menjadi tempat istirehat para pelancung yang mengunjungi kota peranginan itu. Kota itu tidaklah sebegitu sibuk dibandingkan dengan kota-kota lain di Switzerland dan di Eropah.

Kami meninggalkan Geneva untuk menuju Interlaken selepas makan tengahari. Makanandi sini juga terlalu mahal untuk orang seperti kami berbanding dengan harga makanan di Italy.

Menurut buku panduan pelancongan, perjalanan keretapi ekspres antara Geneva ke Interlaken dikenali sebagai ”Golden Pass” atau perjalanan emas.Ia bertepatan dengan nama yang diberi, kerana sepanjang perjalanan, pemandangannya begitu indah dan menarik, seolah-olah seperti keping-keping lukisan yang indah. Gunung-ganang serta tasik tersusun rapi sepanjang perjalanan. Apa yang menambahkan lagi keindahan suasana ialah gunung-ganang itu masih diseliputi salji, seolah-olah dibentuk sebegitu rupa untuk menakjubkan insan yang melihatnya.

Sungguhpun badan terasa terlalu letih dan benar-benar perlukan rehat, namun mata ini tidak terasa mahu tidur kerana takjub melihatkan keindahan alam semula jadi ciptaan tuhan ini. Dalam perjalanan itu, kami sempat singgah di beberapa buah bandar kecil untuk bertukar keretapi.

Sebenarnya, perjalanan itu dirancang sebegitu rupa oleh pihak berkenaan bertujuan bagi membolehkan para penumpang berhenti di mana-mana bandar berkenaan.

* Petikan rencana ini disiarkan dalam majalah SELECTA pada Mei 1981.


MENARA CONDONG PISA - 13


Sebagaimana di Greece, barang makanan di Rome juga adalah murah dibandingkan dengan bandar-bandar lain di Eropah. Kami mengambil kesempatan dari peluang yang ada untuk makan lebih sedikit daripada biasa. Maklum sahajalah, badan pun sudah susut kerana bukan sahaja makan tak cukup sepanjang pengembaraan, tetapi juga tak cukup tidur. Masakan cukup tidurnya, kalau sepanjang perjalanan, tempat tidur hanyalah dalam keretapi.

Sekiranya diteliti, orang-orang Italy adalah agak berbeza dengan orang Eropah lain. Mereka cepat mesra dengan orang luar seperti orang Greece.

Walau bagaimanapun, ketika berbual, orang Italy sering kali meninggikan nada suara dan ini boleh menimbulkan salah faham bagi mereka yang tidak mengetahui sifat-sifat ini. Kadangkala agak sukar membezakan bila masa mereka berbual dan bila masa pula mereka bertengkar. Ini adalah ciri-ciri jelas yang boleh diperhatikan bagi membezakan mereka dengan bangsa Eropah lain.

Setelah puas melawat sekitar kota Rome sepanjang hari, kami pulang ke stesen keretapi untuk mengambil bag yang disimpan.

Kami bercadang berehat selama semalam sebelum menyambung perjalanan ke Pisa. Kami bercadang tidur di Rumah Tumpangan Belia dan bertolak di sebelah pagi ke Pisa di mana terdapat Menara Condong Pisa.

Keesokan hari, kami berada di Pisa. Apa yang menarik mengenai menara Pisa ini ialah ketelitiannya ketika ia dibina. Tidak hairanlah kerana ketelitian ini sehingga menyebabkan pembinaan menara itu hanya disiapkan selepas 99 tahun.

Pembinaan yang dimulakan pada tahun 1174 oleh Bonano Pisamp itu hanya disiapkan pada tahun 1273, oleh Giovanni di Simone.

Menara 8 tingkat itu kami naiki sampai ke puncak. Ia mempunyai 294 anak tangga dan tingginya bangunan daripada pangkal ke puncak ialah kira-kira 56,075 kaki.

Di puncak menara itu diletakkan tujuh buah loceng yang mempunyai tujuh nota lagu yang berlainan. Daripada puncak itulah Galileo Galilei menjalankan ujiannya mengenai kuasa graviti.

Oleh kerana kesempitan masa ditambah dengan tiada tempat menarik lain yang berhampiran, kami meninggalkan Pisa dan keindahannya untuk menuju ke Florence.
Florence adalah sebuah lagi bandar di Italy yang kaya dengan karya-karya seni halusnya.

Selepas berada di Florence selama sehari, kami kembali ke Rome bagi membolehkan kami meneruskan perjalanan ke Switzerland.

* Petikan rencana ini disiarkan dalam majalah SELECTA pada April 1981.

KHAZANAH ROME YANG MEMPESONAKAN - 12


ATHENS, ibu negara Greece, kami tinggalkan dengan kenangan indah yang sukar dilupakan. Kami dalam perjalanan ke Rome iaitu ibu negara Italy.

Setelah sehari semalam di laut menyebrangi Laut Adriatic dengn feri, kami tiba di Pelabuhan Brandisi, Italy di sebelah pagi. Dari Brandisi, kami mengambil keretapi ekspres menuju ibu negara Italy itu.

Oleh kerana sekali lagi ketinggalan keretapi di Brandisi, kami terpaksa mengambil keretapi tengah malam dan tiba di stesen pusat Rome di sebelah pagi.

Kota Rome adalah kota terbesar di Italy di samping menjadi pusat perindustrian dan perdagangan yang kedua besarnya selepas Milan.

Oleh kerana kota ini kaya dengan khazanah seni lukis serta bangunan lama yang mempesona, tidaklah hairanlah sumber utama kota ini datangnya daripada sektor pelancungan.

Satu lagi faktor yang menyebabkan ia sebegitu popular di kalangan pelancung ialah keadaan cuaca yang baik sepanjang tahun walaupun pada musim sejuk.

Rome diasaskan pada tahun 753 oleh Romulus. Menurut sejarah, kota itu wujud sebagai jajahan orang-orang dari bukit Alban. Pada tahun 500 BC, orang-orang Roman menghalau Raja Etrusen dan mendirikan kerajaan Republik Rome yang berjaya memerintah selama empat kurun.

Pentadbiran negara pada ketika itu dikendalikan oleh ahli Senat dan dua orang ahli konsul. Di bawah pengawasan senator berkenaan Rome menunju ke puncaknya sebagai sebuah kuasa besar dunia.

Cara hidup orang-orang Rome masih dikekalkan. Rome kemudian mengembangkan kuasanya di Picenum, Umbria, Apulia, Lucania dan Entruvan. Kerajaan itu kemudian menakluk Sicily, Hanibal, Corsica, Sardinia dan Afrika Utara.

Kota itu sebenarnya mempunyai terlalu banyak bangunan lama. Kebanyakannya adalah bangunan gereja yang didirikan beratus-ratus tahun dahulu. Vatican City yang merupakan pusat penganut agama Kristian Katolik juga bertempat di Rome. Ia menjadi tumpuan utama penganut agama tersebut yang tertumpu ke situ untuk bersua muka kalau bersekempatan dengan Pope John Paul.

Menurut seorang pemandu pelancung, oleh kerana terlalu banyak gereja di kota itu, kalau hendak dikunjungi satu hari satu – belum pasti dapat diselesaikan dalam masa setahun.

Antara tempat –tempat menarik yang lain ialah Colosseum, Castle Saint Angelo, Istana Quirinal serta University Rome yang diasakan pada tahun 1303.

* Petikan rencana ini disiarkan dalam majalah SELECTA pada bulan April 1981.

Sunday, December 7, 2008

KE ACRIPOLIS, ATHENS - 11

Tempat pertama yang dikunjungi ialah Stadium Olimpik yang tidak jauh dari hotel. Di sini pernah diadakan Olimpik pertama dalam sejarah dan di sinilah juga diadakan pertandingan tidak rasmi peserta yang tidak menyertai Olimpik Moscow kerana pemulauan.

Kami kemudiananya bertolak ke Acripolis yang dianggap sebagai sebuah bangunan masterpiece. Rangka bangunan itu tetap utuh dan teguh, dan kini masih menjadi besi berani menarik pelancung setiap tahun.

Di sepanjang perjalanan menuju ke Acripolis, kelihatan gerai-gerai kecil menjual aneka jenis cenderamata. Antara yang popular ialah barang-barang kulit seperti tas tangan, tali pinggang serta baju. Para penjaja, sering kali menarik tangan pelancung supaya memasukki gerai mereka. Ramai di kalangan pelancong yang sudah memahami sikap mereka ini, terus berjalan menuju ke Bukit Acripolis.

Acripolis terletak di satu kawasan seluas 500 kaki lebar dan 1,000 kaki panjang. Bagi para pelancong yang hendak mengunjungi bangunan itu, mereka terpaksa mendaki bukit yang terletak 500 kaki atas dasar laut.

Ketika kami berada di sana, kerja-kerja memperbaiki beberapa bangunan kecil di sekitar kawasan itu sedang dijalanakan. Bagaimanapun, para pelancong tidak dibenarkan masuk ke bangunan yang ada. Mereka hanya dibenar menikmati keindahan seni reka Greek di kawasan luar bangunan. Langkah itu dibuat untuk menjaga keselamatan pelancung daripada pecahan bangunan dan bagi memastikan tiada siapa yang mencuri batu-batu untuk dijadikan cenderamata untuk di bawa pulang.

Setelah dua jam di tempat itu, kami menuruni bukit menuju ke kota Athens yang terletak kira-kira sebatu sahaja dari tempat itu. Terdapat banyak lagi bangunan lama yang menarik di kota itu.

Oleh kerana keletihan, kami terus menuju ke pusat bandar Athens untuk mengisi perut.

Memandangkan Athens memang menjadi pusat para pelancung di Eropah, segala keperluan pelancongan tersedia lengkap. Pusat-puat menukar wang di sediakan di samping bank yang terdapat di mana-mana sahaja .

Oleh kerana terlalu banyak kelengkapan yang tersedia, – kota itukelihatan seperti terlalu diperdagangkan. Keindahan pandangan indah di sekeliling kota itu kini, telah dinodai oleh gerai-gerai serta kedai-kedai jualan yang terlalu banyak tanpa perancangan teliti.

Pasukan polis pelancung juga turut memberi perkhidmatan khusus melayani kehendak pelancung yang sering menghadapi masalah. Ini berkemungkinan disebabkan sistem penerangan mereka yang membingungkan kerana di mana-mana tempat umum seperti pejabat pos, bank, pusat pelancungan serta tandas, kesemuanya bertulis dalam bahasa Greek.

Sungguhpun demikian, ramai di kalangan penduduk tempatan bersedia berbicara dalam bahasa Inggeris, walaupun mereka menyangi tulisan bahasa mereka dan sewajarnya diberi sanjungan. Ini berbeza sedikit dengan rakyat Perancis. Mereka ini lazimnya tidak akan melayani sesiapa sahaja yang berbahasa Inggeris walaupun mereka faham bahasa itu

Itulah gelagat insan yang bernama Manusia. Lain padang lain belalangnya.

* Petikan rencana ini disiarkan dalam majalah SELECTA pada bulan Mac 1981.

KAPAL ADRIATACA KE GREECE - 10


JAM 6.00 pagi esoknya kapal ”ADRIATACA” yang membawa kami, menyusur masuk ke pelabuhan. Rupa-rupanya kami baru tiba di Corfu. Kami dijangka tiba ke pelabuhan yang berhampiran Athens hanya sebelah petang. Setelah mencuci muka aku bersarapan di cafetaria kapal. Di bandingkan dengan negara Eropah lain yang dikunjungi, barang makanan Greek yang terdapat di kapal adalah murah sedikit. Dengan wang $3, dapatlah diisi perut sehingga kenyang.

Oleh kerana telah lima hari badan tidak menemui air, aku mengambil kesempatan untuk mandi di kapal. Selesai mandi, aku tidur lagi. Maklumlah selama ini, kami tidur dalam keretapi sahaja. Dibandingkan dengan keretapi, tidur di Dek kapal agak selesa sedikit.

Kapal menyusur masuk pelabuhan dan berlabuh jam 4.30 petang. Setelah selesai pemeriksaan kastam dan imigresen, sekali lagi kami menuju ke stesen keretapi untuk menuju ke Athens. Malangnya kami ketinggalan keretapi. Keretapi berikutnya hanya datang jam dua pagi. Terpaksalah kami menunggu di bandar pelabuhan itu sehingga keretapi seterusnya tiba jam 2.00 pagi.

Setelah meninggalkan stesen, kami terus terlelap sehingga tiba di stesen pusat Athens jam 7.00 pagi. Jika dibandingkan dengan keretapi lain di Eropah, keadaan di Athens agak berbeza sedikit . Kawasan sekitarnya tidak begitu kemas dan rapi sebagaimana di stesen lain. Oleh kerana ketika dalam perjalanan malam sebelumnya, perut tidak diisi, maka tanggungjawab pertama yang harus dibuat ialah mengisi perut setelah selesai urusan menukar matawang.

Harga secawan kopi yang kecil ialah 15 Dharma atau 60 sen. Rupa-rupanya kopi yang dipesan ialah kopi Greek yang rasanya seperti ubat periuk yang digunakan orang yang baru bersalin di Malaysia.

Oleh kerana kami bercadang tinggal di kira-kira tiga hari di Greece, kami mengambil keputusan untuk mencari hotel murah untuk merehatkan diri. Sejak mula perjalanan lagi, kami tidak berpeluang tidur dengan sempurna melainkan dengan perjalanan menuju ke Athens sahaja.

Hotel yang kami dapati berdekatan dengan stesen dan bayarannya ialah $28 untuk kami berdua. Menurut tuan punya hotel, harga yang ditawarkan lebih murah dibandingkan harga yang dikenakan pada penghujung musim panas, bila para pelancung dari seluruh dunia terutamanya dari Amerika bertumpu dan membanjiri Greece.

Ibu negara Greece itu adalah sebuah kota lama yang banyak melahirkan ahli falsafah barat yang terkenal seperti Plato, Socrates dan Aeschylus. Kota ini juga banyak meninggalkan kesan sejarah kegemilangan Greek yang mana pencapaian tamadunnya begitu cemerlang.

Pencapaiannya itu mencakupi pelbagai bidang termasuk seni lukis, seni reka, sains, ilmu hisab, falsafah, drama, sastera dan sastera demokrasi yang diamalkan oleh kebanyakan negara di dunia.

* Rencana ini pernah disiarkan di Majalah SELECTA bagi bulan Mac 1981.

VENICE & GONDOLANYA - 09

AKU dan Ibrahim Abdul Hamid tiba di kota Venice yang terletak di sebuah lagun bahagian utara Italy jam enam pagi setelah 11 jam berada dalam keretapi dari Vienna, Austria. Kota Venice didirikan di atas 118 buah pulau kecil yang dihubungkan dengan tanah besar Italy melalui beberapa batang lebuhraya dan jalan keretapi. Terdapat kira-kira 160 buah terusan di sekitar kawasan. Bagi menghubungkan kota-kota yang ada, pihak pemerintah terpaksa mendirikan 400 buah jambatan untuk menghubungkan terusan-terusan itu. Perahu ”Gondola” yang begitu popular di kalangan pelancong yang mengunjungi kota itu memenuhi terusan yang ada.

Venice berlainan dari kota-kota lain di Eropah. Ia mempunyai identitinya sendiri. Oleh kerana keperibadiannya itu, tidak hairanlah ia terus menjadi tumpuan pelancung dari seluruh dunia. Di samping keindahan semula jadi ini, kota itu juga mempunyai cerita sedihnya tersendiri. Para penghuninya telah ramai meninggalkan kota ini kerana ia dalam proses ditenggelami air sedikit demi sdikit.

Daripada cerita yang diperolehi, masih ramai lagi penduduknya yang tidak mahu meninggalkan kota kerana di situlah mereka mencari rezeki dari ihasan pelancung yang menyewa hotel, motel serta membeli cenderamata ataupun mereka yang masih ghairah menaiki perahu Gondola.

Setelah difikirikan yang kami tidak mungkin ke sini lagi, seperti pelancung lain kami menaiki Gondola yang terdapat di sepanjang terusan selama 45 minit. Sepanjang perjalanan, pengayuh Gondola itu memberi penerangan ringkas mengenai tempat menarik. Sungguhpun bahasa Inggerisnya tidak begitu lancar kami dapat juga penerangan yang diperlukan.

Setelah lewat petang dan merasa letih berpusing di sekeliling kota, kami kembali semula ke stesen keretapai. Kami bercadang meninggalkan kota itu untuk menuju ke Brandisi untuk menyambung perjalanan ke Athens, Greece.

Lewat tengah malam keretapi menggelongsor meninggalkan stesen pusat menuju Brandisi. Sepanjang perjalanan kami terlelap kerana terlalu letih berjalan di siang hari. Kami tiba di stesen Brandisi pagi esoknya. Bagi menantikan kapal yang akan membawa kami ke Athens, kami berbaring di tepi pantai berhampiran pelabuhan. Kapal hanya belayar di sebelah malam.

Jam 9.00 malam, barulah kami dibenarkan menaiki kapal. Setelah ke dalam, barulah kami sedar yang kami terpaksa tidur di Dek sahaja. Bagaimanapun, kami bernasib baik kerana membawa ”Sleeping Bag” dan ini d membantu kami membungkuskan badan daripada kesejukan angin laut. Ada di kalangan pengembara yang senasib dengan kami terpaksa tidur di atas Dek tanpa bekalan pakaian panas dan terpaksalah bersejuk sepanjang malam. Mereka tidak menyangka diletakkan di Dek untuk berbaring tanpa kerusi serta tanpa diberi ruangan untuk melindungi diri daripada kesejukan malam.

* Petikan rencana ini disiarkan di dalam Majalah Selecta bagi bulan Mac 1981

Wednesday, December 3, 2008

SALAM VIENNA - 08

Jam 11.30 malam, kami bertolak menuju ke Austria. Destinasi kami ialah Vienna yang dipanggil Wien oleh orang tempatan. Negara yang mempunyai penduduk kira-kira 8 juta orang itu sendiri terdiri daripada orang German 98% dan lainnya berbangsa Slovanese, Croatian, Hungarian dan Italian. Kira-kira 88% daripada mereka beragama Roman Katolik dan yang lainnya Protestant.
Kami tiba jam 6.30 pagi. Selepas menukar matawang German Marx ke Schilling Austria, kami cuba mencari kedai untuk bersarapan. Kami agak hairan kerana tiada terdapat satu pun kedai makan biasa di tepi jalan. Rupa-rupanya kedai-kedai makan mempunyai status sendiri di negara ini. Menurut seorang pekedai yang ditemui orang-orang Austria menyanjung tinggi setiap barang makanan. Oleh yang demikian, setiap perkara yang berhubung dengan makanan hendaklah diurus dengan teliti sebelum dihidangkan.

Ini jelas kelihatan apabila kami berada di sebuah restoran, sungguhpun pelanggan ramai, pelayannya datang dengan senyum mesra bertanyakan pesanan kami. Kami memesan secawan kopi dan roti sahaja, tetapi layanannya begitu istimewa.

Vienna agak kecil sedikit berbanding dengan kota-kota lain. Kami berjalan kaki sahaja mengelilinginya. Kotanya begitu damai, tiada bunyi hiruk pikuk. Menurut seorang teman dari Germany yang ditemui dalam keretapi, Vienna adalah tempat istirehat para pelancung dari negara Eropah lain di samping Switzerland. Kalau tak percaya jelasnya, tanyalah sendiri. Daripada 10 yang ditanya, pasti 8 daripada mereka datangnya dari Eropah.

Setelah lewat malam kotaraya Vienna yang terkenal dengan Boys Choirnya serta pencipta lagu seperti Beethoven dan John Strauss itu kami tinggalkan. Kami menunju ke destinasi baru, Venice, Italy.

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di Berita Minggu di dalam kolum Catitan dari Eropah oleh Salleh Kassim pada 5/10/80.

MENCARI MUKA MELAYU - 07

SETELAH berehat empat hari di Helsinki, Findland aku dan Ibrahim bertolak ke pelabuhan Silja Line. Dari sana kami berangkat ke Stockholm dan Copenhagen sebelum bertukar keretapi ke Hamburg, Germany. Sedang aku melihat keindahan alam sekeliling dengan pulau-pulau kecil dari atas kapal, seorang pemuda menghampiri aku. Dia juga dari malaysia dan kini sedang menuntut di Norway di bidang Perkembangan Tenaga Hydro. Pemuda bermisai tipis itu rupa-rupanya telah lama memerhatikan aku. Pada mulanya dia sangsi, sama ada aku berasal dari Malaysia. Maklum sahajalah, orang Thailand, Filipino serta Vietnam juga berkulit sawo matang sebagaimana orang Melayu. Namanya Mazlan Ali, dan bertugas di Lembaga Letrik Negara.

Waktu makan malam, Ibrahim bersama kami di Cafetaria kapal. Barang makanan di dalam perjalanan pulang itu lebih murah dibandingkan waktu pergi. Kami berbual rancak tanpa disedari penumpang lain di situ memerhatikan. Mereka merasa agak pelik dengan perbualan kami yang asing di telinga. Tetapi tidak seorang pun yang datang bertanya. Kerana kesempitan waktu, kami terpaksa menolak pelawaan Mazlan singgah ke rumahnaya di Oslo.

Dari Stockholm kami berpisah dengan Mazlan dan berjanji akan bertemu di Malaysia satu hari nanti. Kami mengambil keretapi ekspress ke Copenhagen dan seterusnya ke Hamburg. Aku bercadang mencari rakan tanahair di Hamburg. Oleh kerana kami tiba jam tiga pagi, terpaksalah kami ”tidur duduk” di stesen menantikan hari siang. Aku berkeyakinan penuh boleh menemui rakan-rakan sebangsa, sekurang-kurangnya dapatlah menumpang untuk merehatkan badan.

Setelah hari siang, kami merayau sekeliling kota mencari manusia berkulit sawo matang dengan harapan dapat menemui rakan yang dimaksudkan. Bagaimnnapun sehingga lewat petang, satu batang hidung Melayu pun tak bersua.

Petang itu kami mengubah rancangan. Kami mengambil keputusan meneruskan perjalanan ke ibu negara German Barat, Munich. Oleh kerana terlalu letih, kami mengorbankan wang RM22 untuk mendapatkan tempat tidur di dalam keretapi.

Jam sembilan malam, keretapi meluncur laju meninggalkan stesen Hamburg menuju ke destinasi Munich. Kami tiba ke tempat yang dituju jam 8.30 pagi esoknya.

Sebelum berbuat apa-apa, kami menuju ke kedutaan Austria di Munich untuk mendapatkan visa ke Vienna, Austria. Setelah selesai urusan visa, kami menaikki bas pelancong melihat sekitar kota Munich dengan harapan boleh meneruskan perjalanan ke Vienna malam itu juga. Tanpa membuang wang untuk tidur di hostel belia di Munich, ”Hostel” dalam keretapi telah sedia ada.

Munich adalah sebuah kota yang tersusun, kaya dengan bangunan bentuk Gothic lama. Bangunan-bangunan lama dipelihara dengan teliti. Adalah ditaksirkan kira-kira 40% daripada bangunan lama di kota itu musnah akibat peperangan. Antara bangunan yang masih kekal ialah bangunan Lieb-franenkirche yang didirikan pada kurun ke 15.

Bas pelancong sempat membawa kami ke Stadium Olimpik Munich yang kini menjadi pusat pelancungan. Selesai sehari suntuk di kota ini, kami pulang ke stesen keretapi untuk menymbung perjalanan ke Vienna.

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di Berita Minggu di dalam ruangan Catitan dari Eropah oleh Salleh Kassim pada 5/10/80.

Tuesday, December 2, 2008

SEDAPNYA SATEY FINDLAND - 06

SELEPAS tiga jam di dalam keretapi dari Turku barulah tiba di Helsinki. Ibrahim menelefon kawannya Marti. Setengah jam kemudian Marti muncul di stesen dan terus membawa kami makan di salah sebuah restoran jagaannya. Sebagai seorang lepasan Universiti Amerika, Marti mempunyai kedudukan tinggi di negaranya kerana beliau ialah pegawai pemasaran sebuah firma yang mempunyai 12 restoran di sekeliling kota. Selesai makan, kami dihantar ke rumahnya dan dia pulang semula ke pejabat.

Jam 5 petang, Marti pulang dan membawa kami mandi di Sauna . Upacara mandi Sauna ini adalah amalan tradisi orang Findland yang membawa rakan rapat ke Sauna ala Findland.

Di hari berikutnya, pagi-pagi lagi Marti membawa kami berpusing-pusing kota dengan keretanya. Kota itu bergelar ”Bandar Putih di Utara”, kerana banyaknya jumlah bangunan berwarna putih. Kota itu nampak berbeza dengan kota-kota lain di Eropah Barat, kerana ia tidak sebegitu sebok. Di tengah-tengah pusat bandar terletak Senate Square di mana orangramai boleh berehat setelah letih membeli-belah.

Setiap petang di tempat itu diadakan pertunjukan kebudayaan. Antara acara menarik ialah pertandingan menari rentak Finnish yang boleh disertai oleh sesiapa pun.

Setelah puas berpusing ke sana ke mari sepanjang hari kami pulang ke rumah Marti. Pada sebelah petang, Ibrahim berjanji untuk memasak makanan ala-Malaysia. Dia juga menjanjikan dengan tuan rumah untuk membuat satey. Marti sendiri telah jatuh cinta dengan makanan itu ketika Ibrahim membuatnya di Amerika dulu.

Pada mulanya aku pun merasa agak pelik dengan persetujuan Ibrahim memasak. Bagaimana untuk mendapat rencah yang diperlukan? Untuk mendapat daging tidaklah menjadi masalah.

Petang itu telah siap sedia nasi goreng serta satey yang rasanya lebih kurang sama dengan satey Kuala Lumpur. Selesai makan, para tetamu termasuk dua orang rakan sepejabat Marti meminta resipi membuat satey itu. Aku tersenyum bila mengetahui rencah yang digunakan untuk kuah satey dibuat daripada Peanut Butter. Begitu rupanya, aku sendiri kurang mengerti. Bagaimanapun, habis juga satey yang dihidangkan. Satey Ala Findland.

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di Berita Minggu di dalam ruangan Catitan Dari Eropah oleh Salleh Kassim pada 28/9/80.

MENUJU KE HELSINKI - 05

JAM 8 pagi keretapi ekspress dari Oslo meluncur masuk ke stesen pusat Stockholm. Bandar yang terletak di sebelah timur berhampiran Lautan Baltic itu adalah pusat perdagangan dan perindustrian terpenting Sweden. Ia dikenali panggilan Venice Utara kerana banyaknya terusan yang didirikan di sekeliling kota sebagaimana yang terdapat di Venice. Namun, terusan-terusannya tiada perahu gondola sebegaimana di Venice.

Di stesen keretapi itu, kami berpisah dengan rombongan dari Singapura yang ditemui di Oslo. Mereka mempunyai rancangan lain dan begitu juga kami. Sebagaimana biasa kami bercadang meninggalkan kota Stockholm malam itu juga menuju Finland. Di sana kami bercadang untuk tinggal agak lama sedikit.

Kota Stockholm yang dikunjungi terbahagi kepada yang lama dan baru. Kota lama begitu indah dengan bentuk bangunannya terletak di sebuah pulau – saujana mata memandang. Kota yang lebih dikenali dengan panggilan ”Stadsholmen” atau ”City Island” itu dijaga dengan sebegitu rapi oleh pihak berwajib untuk menarik perhatian para pelancung. Jalan-jalan yang sempit, lorong-lorong berbatu merah menambahkan keindahan semula jadi kota tua itu. Kota yang baru pula dipenuhi dengan hutan batu. Bagaimanapun, ia masih teratur tidak seperti bangunan pencakar langit di Amerika Syarikat.

Tempat lain yang menarik ialah Istana Diraja yang mempunyai 600 buah bilik yang direka oleh Nicodemus Tessin dan dibina antara tahun 1697-1754.

Kami sempat juga melawat pusat membeli-belah di tengah kota yang dikenali sebagai Pedestrian Mall Center. Untuk tandamata daripada lawatan singkat itu, aku beli sebatang paip yang menurut penjualnya adalah yang termurah di Eropah. Harganya hanya RM15 untuk dihadiahkan kepada rakan di tanah air.

Lewat petang kami meninggalkan kota itu menuju ke Pelabuhan Silja Line, iaitu kapal yang membawa kami ke Turku. Kapal akan hanya tiba jam 9.30 malam. Ketika menunggu kapal, sempat juga kami berbual dengan beberapa penumpang yang mempunyai tujuan yang sama ke Findland. Seorang daripadanya bernama Mark boleh berbahasa Inggeris. Mark bertugas di sebuah firma terkemuka di Stockholm dan berulang alik bertugas sebulan sekali ke rumah orangtuanya di Findland. Menurut ceritanya, dia tidak mahu bekerja di Findland kerana kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi adalah kira-kira 50 peratus. Oleh itu beliau lebih suka bekerja di negeri lain. Sambil berjenaka, tetapi bernada serious beliau berkata ”Sekurang-kurangnya kalau Soviet bertindak mengambil alih Findland, kaki saya yang sebelah sudah ada di Sweden”.

Jam 9.30 malam barulah kapal rapat dan para penumpang berebut-rebut untuk mendapatkan tempat duduk. Sesiapa yang lambat bermakna terpaksalah tidur di lantai kapal...

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di Berita Minggu di dalam kolum Catitan Dari Eropah oleh Salleh Kassim pada 28/9/80..


Sunday, November 30, 2008

SELAMAT TINGGAL COPENHAGEN - 04

Setelah lewat petang, aku dan Ibrahim Abdul Hamid, pensyarah ITM kembali semula ke Amsterdam untuk menyambung perjalanan ke Copenhagen. Oleh kerana terlalu letih kerana sehari suntuk berpusing di dua kota berjalan kaki, kami berdua terlelap apabila keretapi meninggalkan stesen Amsterdam.

Kami tiba di Copenhagen di sebelah pagi. Selepas bersarapan dan menukar matawang Holland ke Denmark, kami terus menuju ke Pusat Penerangan pelancungan. Tidak banyak terdapat tempat menarik di sini , kami mengambil keputusan bertolak ke Oslo, ibu negara Norway pada malam itu. Tempat-tempat menarik yang sempat dikunjungi dalam lawatan ke Copenhagen termasuk patung ikan duyung yang menjadi simbol kota Copenhagen, yang terletak di tepi pantai di pinggir kota Taman bunga yang dipenuhi dengan pokok bunga Tulip yang berwarna-warni serta melihat Istana Di Raja Denmark. Seperti kota-kota lain, orangramai bertumpu ke pusat membelibelah khas yang dikenali dengan panggilan Mall Centre. Daripada lawatan singkat itu dapatlah diberi kesimpulan bahwa kotaraya ini lebih tersusun kemas dibandingkan dengan bandar-bandar yang terdpat di Holland.
Kami meninggalkan kota Copenhagen ke Oslo, Norway malam itu. Kota Oslo memang terkenal di peta dunia sebagai pusat instiitusi Nobel yang mengeluarkan hadiah Nobel setiap tahun. Kami diberitahu oleh rakan yang telah melawat ke sana supaya melawat pameran kapal Viking, yang telah digali di Osberg dan Gostkad di Bygody dan kapal Fram di Nagen. Kami juga bercadang sekiranya ada masa melihat keindahan Fiord yang dipelajari ketika di sekolah rendah dulu, sebelum meneruskan perjalanan ke Stokholm, Sweden.

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di Berita Minggu di dalam kolum Catitan Dari Eropah oleh Salleh Kassim pada14/9/80.

THE HAGUE - 03

AKU dan Ibrahim Hamid bangun agak awal sedikit pada hari kedua di Amsterdam. Semasa bersarapan, kami berbual rancak dengan para belia dari New Zealand, Austrlia, Nigeria dan juga Amerika Syarikat. Selesai sarapan, kami meninggalkan hostel menuju ke Centrum – sebuah pusat membelibelah yang menjadi tumpuan pelancung.

Oleh kerana tidak berduit, kami hanya berpusing-pusing berjalan kaki menikmati tempat bersejarah di sekeliling kota yang kaya dengan terusan dan perahu panjang yang dipenuhi para pelancung.

Amsterdam adalah kota terbesar di Holland walaupun ia bukan ibu negara. Ia juga adalah pelabuhan penting dan pusat perdagangan, bank, insuran dan perdagangan seni halus. Kota itu juga menarik hati para pelancung kerana perusahaan seni memotong intan.

Antara tempat menarik di kota itu ialah muzium kebangsaannya yang mempunyai banyak simpanan lukisan terkenal seperti Du dan lukisan Flemish termasuk karya Rembrandt ”Night Watch”.

Keistimewaan kota ini dibandingkan dengan yang lain ialah banyaknya jumlah terusan yang didirikan selari dengan jalanraya. Terdapat beratus-ratus jambatan yang menghubungkan jalanraya di sekeliling kota ini.

Menjelang tengahari, kami telah melawat beberapa tempat penting yang menarik. Menantikan keretapi malam yang akan membawa kami ke Copenhagen, Denmark, kami berangkat ke ibu negara Holland iaitu The Hague. Ia terletak kira-kira sejam perjalanan dari Amsterdam. Kota itu bolehlah dianggap tercantik daripada ibunegara lain yang pernah dikunjungi. Bangunan kediaman dan pejabat, jalanraya dan terusan yang terbina dibuat dengan begitu teliti dan kemas sejajar dengan statusnya sebagai ibu negeri. Mahkamah Keadilan Antarabangsa milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB juga terletak di sini. Kota ini bolehlah dianggap sebagai sebuah kota kediaman kerana tidak terdapat sebarang aktiviti perindustrian.

Sebagai pusat pentadbiran kerajaan, kota itu kaya dengan bangunan-bangunan bersejarah termasuk perpustakaan di raja, muzium seni halus lama dan dewan bandaran yang dibina pada kurun ke 16. Pusat bandar yang dikenali dengan panggilan Plein menjadi pusat tumpuan orangramai berehat-rehat.

Bagi mengendalikan jumlah para pelancong yang begitu ramai, Jabatan Pelancungan menyediakan pusat-pusat penerangan di mana-mana. Para pelancung dari setiap buah negara luar boleh mendapatkan penerangan menurut bahasa ibunda masing-masing daripada pegawai pelancung negara itu.

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di akhbr Berita Minggu di dalam kolum Catitan Dari Eropah oleh Salleh Kassim pada 14/9/80.

SALAM AMSTERDAM... - 02

Setelah bersarapan nasi goreng dan bubur kacang di pagi yang dingin di kamar Sheikh Ghazali, kami meninggalkan Leuvan ke stesen pusat Brussels. Kotaraya Brussels yang menjadi pusat kebudayaan, perdagangan dan perindustrian itu kami tinggalkan tepat jam 12 tengahari. Kami bercadang mengunjungi kota itu dalam perjalanan pulang setelah selesai pengembaraan nanti. Tambahan lagi bag besar kami masih tersimpan di kedutaan Malaysia di Brussels.

Keretapi yang sentiasa kemas dan bersih meluncur laju meninggalkan Brussels menuju ke Amsterdam. Oleh kerana terlalu letih , kami terlelap dan tidak dapat menyaksikan keindahan semulajadi pandangan di kiri kanan sepanjang perjalanan. Kami hanya sedar apabila tiba di sempadan Belgium-Holland, apabila dikejutkan oleh pihak imigresen dan kastam. Oleh kerana kami mempunyai dokumen yang diperlukan, tidaklah menjadi masalah.

Walaupun demikian kami diperiksa dengan sebegitu teliti. Ini telah kami duga kerana imej rakyat negara kita agak tercemar akibat beberapa kejadian penuyeludupan dadah yang dilakukan oleh pemegang paspot Malaysia sebelum itu.

Kotraya Rotterdam, Dan Haag, Uterich dan beberapa kota kecil lain telahpun dilalui. Kami tidak bercadang untuk berhenti. Destinasi terakhir ialah Amsterdam. Dalam perjalanan itu dapat juga kami lihat simbol negara Holland iaitu kincir angin yang terpacak gagah. Jam 4 petang, barulah tiba di stesen pusat Amsterdam – empat jam perjalanan. Kami terus mencari rumah tumpangan belia yang berhampiran dengan stesen. Lama juga mencari baru berjumpa. Bayaran untuk semalam ialah RM26. Itulah yang paling murah. Itupun kami berkongsi bilik dorm dengan 26 belia lain dari New Zealand, Austrlia, Kanada, Israel dan juga Amerika Syarikat.

Oleh kerana perut lapar, kami terpaksa keluar semula ke bandar. Puas mencari tempat nakanan murah, tidak juga berjumpa. Kami terperanjat besar bila bertemui sebuah restoran makanan Indonesia ”Sukasari”. Rupa-rupanya terdapat banyak restoran serupa itu di kawasan tersebut kerana ramainya jumlah penduduk keturunan Indonesia di Amsterdam. Tambahan lagi Indonesia pernah dijajah oleh Belanda tidak lama dulu. Oleh kerana tak menjamah gado-gado dekat tiga tahun. Itulah yang dipesan. Harganya juga berpatutan.

Dalam perjalanan pulang mengikut arus manusia yang datangnya tak tahu daripada mana, kami tersesat. Jam menunjukkan angka 11 malam. Manusia masih lagi berpusu-pusu. Bila ditanyakan arah hostel, kami menghadapi masalah yang sama. Tiada siapa yang tahu berbahasa Inggeris. Yang boleh berbahasa Inggeris hanyalah para pelancung yang sama keadaannya dengan kami.

Tanpa disedari kami berada di kawasan ”Red District”- satu istilah bagi orang-orang di sini di mana pertunjukan sek bebas diadakan.Sungguhpun tempat serupa ini terdapat di Amerika, kami agak terperanjat dengan keadaan yang lebih berani di sini. Di samping majalah-majalah seks yang beratus tajuk, pertunjukan sek juga terdapat di mana-mana. Pelacur-pelacur berdandan cantik memakai bikini di tempatkan dalam cermin bergelas di kiri kanan jalan sebagai menjual daging lembu dan kambing di pasar..

Tujuan kami ialah mencari jalan pulang ke hostel. Kami tidak lama di situ. Akhirnya bersua juga hostel yang dicari yang rupa-rupanya terletak di belakang kawasan tersebut.

Ketika cuba-cuba melelapkan mata, hati kecilku berbicara. Beginilah akibatnya jika manusia hidup hanya berlandaskan kebendaan semata-mata.

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di Berita Minggu di dalam kolum Catitan Dari Eropah oleh Salleh Kassim.

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...