Showing posts with label DULU DULU - PTC. Show all posts
Showing posts with label DULU DULU - PTC. Show all posts

Tuesday, August 25, 2009

EYE ON MALAYSIA

Petikan daripada bharian.com.my - 25/08/09.
Dokumentari istimewa Malaysia
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Empat program terbaik disiarkan menerusi saluran Discovery bermula Jumaat ini
DISCOVERY Networks Asia-Pacific berasakan masih banyak sejarah, warisan dan budaya negara ini boleh dipaparkan kepada penonton antarabangsa sebagaimana yang pernah dilakukan menerusi program usaha sama First Time Filemmakers (FTFM) dan Eye On Malaysia.

Apatah lagi dengan wujudnya ramai karyawan filem negara ini yang dilihat cukup berpotensi untuk berjaya bersama hasil kerja mereka yang cemerlang, seperti ditunjukkan empat pembikin filem yang terpilih menjayakan program terbaru itu, kebarangkalian untuk penonton dunia menyaksikan budaya warisan Malaysia lebih cerah.
Eye On Malaysia ialah projek usaha sama kedua antara Discovery Networks Asia-Pacific dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), dalam usaha memaparkan budaya masyarakat negara ini ke persada dunia, di samping mendedahkan pengkarya filem Malaysia kepada gaya penghasilan dokumentari lebih bermutu serta mencapai piawaian antarabangsa.
Menerusi projek berkenaan, empat pembikin filem tempatan - Datin Paduka Shuhaimi Baba, Ikhwan Rivai, Abdul Hamid Abdullah dan Chew Han Tah - dipilih menghasilkan dokumentari sepanjang 30 minit untuk disiarkan oleh Discovery Channel. Masing-masing berjudul Wind Chucker, The Seasmiths, Honey Hunters dan The Joss Stick Maker
…LAGI…
>>>>>>>>>
CATATAN PK
Aku mengucapkan tahniah kepada empat pembikin filem tempatan yang dipilih menghasilkan dokumentari 30 minit untuk siaran Discovery Channel. Secara kebetulan 3 daripada mereka, Shuhaimi Baba, Abdul Hamid Abdullah & Chew Han Tah adalah akan seperjuangan ketika di TV3 dulu.
Hanya sekarang ini, kira-kira 25 tahun selepas aku mula menerbitkan Rancangan bercorak Dokumentari Mini- Majalah 3, baru ada usaha-usaha memberi pengiktirafan kepada satu genre penerbitan iaitu penghasilan dokumentari untuk dibawa ke persada antarabangsa.
Ketika aku menerbitkan dokumentari bertajuk Belantara mengenai Hutan Hujan Taman Negara di Pahang yang menerima Anugerah Dokumentari Terbaik Sri Angkasa, RTM 1992, harga tawaran dokumentari hanya sekitar RM25,000.

Ketika syarikatku diberi kontrak menghasilkan program Asia Hebat dan terjemahannya Fascinating Asia oleh sebuah stesen tempatan, harga yang ditawarkan juga adalah sekitar kadar itu. OLeh kerana kekurangan dana ketika menerbitakan siri itu, hanya negara Asia yang dilawati ialah Medan, di Indonesia mengenai perkahwinan Orang Minang serta Laga Lembu di perbatasan Kedah/Selatan Thailand yang berjaya dihasilkan. Tambahan lagi stesen yang memberikan kontrak turut menghadapi masalah kewangan ketika itu, maka terpaksalah kami menghasilkan program yang bertema Asia, tetapi membuat liputan di Malaysia sahaja.
Dokumentari yang dihasilkan di bawah program Finas-Discovery Channel ini menelan belanja antara RM150,000 hingga RM180,000 setiap satu berbanding dengan tawaran harga
untuk sebuah dokumentari diberikan peruntukan sekitar RM25,000.
Adalah diharapkan pengiktirafan sebegini akan berterusan dalam usaha membantu melahirkan lebih ramai pengarah dokumentari tempatan dan memperbanyakkan lagi dokumentari tempatan untuk dipersembahkan ke persada antarabangsa. Sokongan ini juga diharap dapat melahrkan lebih banyak Production Houses yang membuat pengkhusuan menerbitkan Majalah/Dokumentari Ehwal Semasa dan tidak hanya berkisar kepada Rumah Penerbitan yang menghasilkan drama-drama tempatan sahaja.

Friday, July 24, 2009

HARTA INTELEK

MEMORI AKU DAN LAGU adalah sebuah program pilot berkonsepkan hiburan yang menampilkan persembahan yang menggabungkan drama dan lagu. Mesej drama berunsur nasihat dan teladan dipaparkan dengan iringan lagu yang bersesuaian.
Matlamat program ini adalah untuk berhibur sambil menyalurkan mesej yang bermanfaat kepada penonton.
Drama durasi siaran 30 minit ini berkisar mengenai kehidupan masyarakat sebagai tunjang rancangan, dilakonkan oleh pelakon lama dan baru. Lagu diperolehi dengan izin syraikat rakaman utuk diterbitkan bagi memperkukuh mutu persembahan drama berkenaan. Sambutan syarikat rakaman turut mengalakkan. Persembahan drama dan lagu akan seimbang supaya matlamat untuk menyampaikan mesej dan pengajaran dapat diolah secara berkesan.
Rancangan ini sesuai dan seronok ditonton kerana ia menampilkan cerita, lagu dan mesej yang bertujuan mempunyai unsur pendidikan dan pengajaran secara tidak formal. Rancangan mempunyai potensi tontonan dan tajaan khususnya dari syarikat rakaman, bersesuaian dengan slot tayangannya.
Namun selepas dijaja kepada beberapa stesen TV, tidak ada yang berminat untuk memberikan kami peluang menerbitkannya. Untuk tidak membazir kerana kos penerbitannya telahpun dikeluarkan, maka program pilot Memori Aku dan Lagu di sunting semula untuk diubahsuai dan digunapakai dalam program Neraca – Kisah Benar yang disiarkan di TV3.
Namun, apa yang diangggap menarik, terdapat juga program seperti ini yang kemudiannya disiarkan di salah sebuah stesen tv di negara ini.
Namun perkara seperti in pasti akan terus berlaku kerana dunia kreatif semasa tidak memberi penekanan terhadap pentingnya hak harta intelek-intellectual property - sedangkan kita sudahpun ada Perbadanan Harta Intelek Malaysia yang ditubuhkan sejak 1962 dengan nama Pejabat Cap Dagangan dan Jaminhak.

Tuesday, July 7, 2009

MJ DALAM KENANGAN

MICHAEL JACKSON DALAM KENANGAN

(1958-2009)

Upacara penghormatan terakhir diberikan kepada Raja Pop hari ini 7 Julai 2009.

Menurut laporan media, penyanyi yang meninggal dunia 25 Jun lalu dijadual dikebumikan di Forest Lawn Memorial-Parks selepas permohonan untuk mengebumikannya di Neverland ditolak.

Apa yang cuba dicoretkan di sini ialah aku bukanlah peminat fanatik Raja Pop ini, namun sumbangannya terhadap bidang nyanyian tidak dapat dipertikaikan.

Ketika penyanyi pujaan berjuta itu mengunjungi Malaysia pada 26/27 Oktober 1996, aku sendiri tidaklah turut serta menyaksikan Konsert HIStory Tournya.

Tetapi sebagai pengiktirafan kepadanya sebagai seorang penyanyi legenda aku membeli tikit berharga RM250 untuk 30 orang kakitangan syarikatku Prime Time Communications Sdn. Bhd, bagi membolehkan kakitangan kreatifku menikmati konsert insan istimewa ini.

Pada ketika itu pelbagai pihak menentang penganjuran konsert itu sehinggakan Majlis Perbandaran Shah Alam (MPSA) menolak permohonan penganjur, Jojo’s Entertainment mengadakan konsert itu di Stadium Shah Alam. Ia terpaksa diadakan di Stadium Merdeka pada 27 Oktober 1996.

Presiden ABIM ketika itu, Dr. Mohd Nur Manuty adalah antara pihak yang menentang kehadiran Micahel Jackson di Malaysia dan berpandangan masyarakat negara ini sedar yang konsert semacam itu akan membawa banyak kegiatan negatif.

Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir Mohammad turut memberi katadua kepada pihak penganjur: “If everything goes well, Malaysian can have more international concerts.” .

Akhirnya, pada 27th Okt 1996, tepat jam 9.10pm MJ “keluar” dari bumi pentas dengan kapsul hidroliknya dan menemui peminatnya dengan lagu Scream dan They Don’t Care About Us.

Lagu lain yang disampaikannya ialah You’re Not Alone, The Way You Make Me Feel, Beat It, Stranger In Moscow, Smooth Criminal, Billie Jean dan Black or White.

Lebih 200 anggota polis, termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal di luar stadium bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Antara lagu-lagu Raja Pop yang menarik dan diberi perhatian pastinya mesej kedamaian yang disampaikan menerusi lagu-lagunya seperti Earth Song, Black Or White & We are The World yang ditulis bersama Lionel Richie .

Wednesday, July 1, 2009

DOKO HARI CUTI

Dalam keghairahan media elektronik di Malaysia menghasilkan rancangan tempatan, satu bidang yang secara sedar atau tidak diabaikan ialah rencana-rencana dokumentari mengenai Hari Kelepasan Cuti Umum di Malaysia.

Untuk itu, menerusi Paulmod Corporation, kami menerbitkan rancangan serupa itu untuk siaran di TV3 di sekitar awal 90an. Program sebegini dianggap penting kerana pendekatan Ehwal Semasa ini dirasakan perlu bagi memberi penjelasan khususnya mengenai Hari-Hari Kebesaran Islam yang lazimnya menjadi Hari Cuti Umum di Malaysia.

Rancangan bercorak ehwal semasa dengan teknik adunan visual serta wawancara dengan tokoh-tokoh tertentu digunapakai untuk memperkatakan hari kelepasan yang dibincangkan.

Antara rancangan yang dibuat termasuklah mengenai falsafah Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji, Awal Muharam, dan MauludulRasul.

Penerbitan rancangan seperti ini berhasrat memberi maklumat kepada penonton mengenai hari-hari cuti yang dirayakan. Ia memberi peluang kepada orangramai dari pelbagai keturunan, kepercayaan dan agama memahami falsafah dan konsep mengenai Perayaan Islam berkenaan.

Dengan pemaparan mengenai hari-hari cuti umum ini adalah diharapkan ia akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia memahami sistem budaya antara satu sama lain. Ini diperlukan dalam amalan sebuah negara majmuk yang mempunyai penduduk pelbagai kaum yang mempunyak latarbelakang budaya yang berbeda-beda.

Pada ketika ini, menjadi satu kelaziman apabila muncul hari perayaan berteras perayaan seperti hari Raya Aidilfitri misalnya semua stesen TV berlumba-lumba menyediakan program Hari Raya yang rata-rata hanya berteras hiburan dan tidak langsung menyentuh apakah ertikata Aidilfitri itu sebenarya.

Ia juga berlaku ketika perayaan lain seperti hari Raya China, Deepavali dan Krismas. Apakah pada tahun ini - ia akan berubah - sejajar dengan Gagasan 1 Malaysia. Sama-samalah kita perhatikan.

Sunday, June 14, 2009

LIFELINE DI RTM


Penerbitan program berbahasa Inggeris untuk RTM -LIFELINE - pada tahun 1998 antara lain bermatlamat  meneroka kehidupan rakyat kebanyakan dan mendedahkan kepada penonton agar mereka dapat menyedari dan mengiktiraf sumbangan golongan ini dalam nadi pembangunan negara. Tak kenal maka tak cinta. Rancangan selama setengah jam ini sekurang-kurangnya mendekatkan golongan ini dengan penonton.

Kelahiran program ini berasaskan premis perlunya sebuahprogram khusus yang membicarakan perilaku manusia biasa dan dunianya.

Apa yang mahu dipaparkan ialah manusia dengan alamnya. Sejajar dengan salah satu visi wawasan 2020 yang hangat diwar-warkan ketika itu - iaitu mewujudkan masyarakat penyayang, rancangan ini sedikit sebanyak diharap dapat memenuhi hasrat mulia ini dengan memaparkan manusia golongan ini dengan cabarannya dijelmakan dikaca TV.

Oleh kerana medium rancangan ini dalam Bahasa Inggeris, ia dijadikan landasan untuk memperkenalkan siaran majalah berkenaan untuk dijual dan disiarkan ke stesen TV lain di seluruh dunia sejajar dengan konsep World Globalisation.

Majalah LIFLINE ini diterbitkan berteras majalah  berita yang penuh maklumat, menggunakan pengacara yang mampu berkomunikasi bersama penonton. Ia dibuat dengan adunan visual mengenai  penemuan serta pengalaman menarik mereka yang dipaparkan. Setiap episod menggabungkan pengalaman 3 personaliti yang dipilih khusus bagi menarik penonton melihatnya.

Rancangan bercorak majalah Human Interest sebegini sepertimana Majalah 3 mampu  menarik perhatian penonton sehingga melebihi 3 juta penonton.

Wednesday, June 10, 2009

BELAJAR JAWI DI RTM


Ustaz Noori Ali, Pengarah Agama RTM telah ku kenal sejak sama-sama menuntut di Boston University,USA. Sekembalinya ke tanahair, Ustaz Noori ditempatkan di Bahagian Agama RTM dan bertanggungjawab kepada penerbitan berteras agama di JAKIM, JPM. Aku membuat kertas cadangan untuk membuat program Belajar Jawi iaitu bagi mempopularkan tulisan itu khususnya di kalangan pelajar. Ustaz Noori memintaku menyediakan sebuah program pilot Belajar Jawi dan memberi taklimat kepada Menteri di JPM-Hal Ehwal Agama,Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman. Pada majlis taklimat itu, beliau membayangkan bahwa JAKIM memerlukan bekalan 104 episod Belajar Jawi dan akan disiarkan di RTM1 sepanjang 2 tahun. Menerusi program itu, JAKIM berharap dapat membantu memperkasakan penggunaan Tulisan Jawi di kalangan masyarakat Malaysia khususnya golongan pelajar.

Program berkenaan bermatlamat mendidik orangramai tanpa batas agama untuk mempelajari tulisan jawi daripada peringkat awal sehinggalah ke peringkat boleh membaca jawi dengan lancar.

Selepas mendapat lampu hijau, syarikat penerbitanku memulakan penerbitan program itu. Aku menggunakan kepakaran Ustaz Margelan untuk mengajar program Belajar Jawi itu. Bagi memastikan program itu menarik aku memasukkan elemen tambahan dengan mengadunkan subjek yang berhubungkait dengan Belajar Jawi. Antara subjek yang disentuh ialah pengamal Tulisan Jawi di kalangan masyarakat Tionghua, penggunaan resam dalam pelajaran, guru belajar jawi, bangsa asing belajar jawi dan pelbagai lagi.

Aku memilih Zaini Yuhyi sebagai pengacara program. Aku memberinya latihan suara untuk menambahkan keyakinannya mengacarakan program itu. Zaini adalah antara penyampai berita ternama di RTM dan membaca berita jam 8 malam pada tahun 2000 hingga 2008. Pada tahun 2009 beliau agak sebok dengan tugas-tugas syarikatnya menghasilkan pengiklanan. Kerana kesebokan tugas, dia kini jarang membaca berita di RTM.

Program Belajar Jawi hanya bertahan setahun kerana selepas itu JPM mempunyai Menteri baru iaitu Brig. Gen (B) Datuk Seri Abdul Hamid bin Haji Zainal Abidin. Pada tahun berakhirnya penerbitan itu,Belajar Jawi turut diberi penghormatan dan menerima pengiktirafan kerana berjaya disenaraikan sebagai antara porgram Majalah Terbaik Seri Angkasa 1995 dan bersaing dengan program majalah lain. Ini merupakan satu kejayaan kepada program Majalah berteras agama kerana sebelum ini belum ada program agama yang layak dicalunkan ke peringkat akhir kategori Majalah Anugerah Seri Angkasa RTM.

Wednesday, May 13, 2009

123 LEKUK DI METROVISION

Rancangan kanak-kanak untuk television - 123 Lekuk pada mulanya diterbitkan khusus untuk memenuhi permintaan Permodalan Nasional Berhad,PNB yang mahukan sebuah program yang boleh dijadikan ikon oleh kanak-kanak Malaysia.

Program 123 Lekuk diterbitkan untuk membantu memupuk minat kanak-kanak untuk mencintai alam pendidikan seperti matematik, alam semulajadi dan manusia serta penguasaan bahasa.

123 LEKUK adalah sebuah rancangan yang berbentuk ‘info edu-tainment’ (information, education & entertainment). Melalui ruangan-ruangan yang disediakan, 123 LEKUK berhasrat membantu membimbing kanak-kanak untuk memperkukuhkan pengusaan kemahiran-kemahiran asas matematik dan pendidikan lain.

Selain it, program ini turut memaparkan ruangan (segmen), “filler” berupa Puppet, Kartun (2D Animation), Lakonan (Sketch dan Muzik) untuk mengurangkan kejemuan (to break monotony) dan mengalihkan penumpuan kanak-kanak.

Selepas disiapkan kami membawa program ini untuk penilian PNB yang paa ketika itu sedang bercadang menaja sebuah program khas untuk mengalakkan kanak-kanak di Malaysia menabung.

Ketika membuat program Pilot itu, pihak PTC menganggap telahpun diterima sebagai syarikat yang akan melaksanakan projekPNB itu. Namun, seperti amalan biasa, pihak PNB turut memanggil beberapa syarikat lain untuk membuat presentation mengenai subjek yang sama.

Oleh kerana pihak kami telahpun membuat presentation kepadaPNB sebelum ini, aku mengambil keputusan untuk tidak menyertai presentation kedua apabila dipanggil sekali lagi. Kerana ketidak hadiran kami itu, program pilot 59 Communications yang diterajui oleh Hassan Abu - bekas Pengurus Pemasaran TV3 diterima oleh PNB.

Hasilnya ialah program Along yang kemudiannya disiarkan beberapa tahun di RTM dengan tajaan PNB.

Oleh kerana tidak terpilih, aku mengambil keputusan untuk memberikan program itu kepada pihak Metrovision-TV8 yang secara kebetulan baru bersiaran di udara.

Aku menemui CEO Metrovision, Zulkifli meminta Metrovision-TV8 membeli dan menyiarkan 13 episod progrram 123 lekuk sebagai satu-satunya program kanak-kanak stesen terbaru itu.

Wednesday, May 6, 2009

ADDIN DI TV 3

Bekas Pengurus Berita Ehwal Semasa TV3, Haji Subohi Yatim yang meninggalkan TV3 bersamaku pada tahun 1992 turut menerima tawaran TV3 untuk menerbitkan program mingguan berteras Islam. Haji Subohi belum mempunyai kakitangan penerbitan bagi menghasilkan program ini dan menghubungi aku sekiranya berminat.

Pada mulanya, hati kecilku masih berdegil untuk tidak memenuhi tawaran ini kerana pengalaman pahit “berusahasama” dengan orang lain menerbitkan program sebelum ini. Mengenangkan Haji Subohi banyak membimbingku ketika menjadi Bos sebagai Pengurus Berita di TV3, aku hormati dan akur dengan permintaannya.

Aku bersetuju membuatnya dengan syarat selepas menolak kos produksi program bagi setiap episod, keuntungan bersih di bahagi dua antara syarikatnya Paulmod Corporation & Primetime Communications. Aku mencadangkan Program Addin kepada Hj Subohi untuk kelulusan TV3. Program Addin merupakan sebuah rencana majalah keagamaan yang diterbitkan dengan pendekatan ehwal semasa. Ketika itu, kebanyakan program agama di television memberi pendektaan didaktik yang bercorak forum dan khutbah. Pendekatan yang aku berikan tidaklah menjemukan dan berjaya memberi penerangan secara lebih halus (subtle) dan tidak terlalu mengajar dan menjemukan. Rancangan ini juga turut memberi rujukan dan menambah pengetahuan penonton sama ada yang beragama Islam mahupun yang bukan yang ingin memahami dan mendekati pemikiran Islam.

Format rancangan ini adalah bercorak Majalah dengan adunan visual serta wawancara tokoh agama. Setiap episod di bahagikan kepada beberapa tajuk seperti isu, petua dan soal jawab. Bagi segmen isu misalnya, diselang-selikan pandangan pakar agama mengenai sesuatu isu dengan pendekatan doku-drama pendek bagi memberikan impak kepada penonton. Artis-artis yang menjayakan drama pula terdiri daripada artis amateur yang baru belajar berlakon serta kakitangan PTC sendiri yang berminat dalam bidang itu.

Pendekatan Program Addin begitu berjaya sehinggakan TV3 menawarkan kontrak berterusan kepada Haji Subohi yang kemudiannya menswastakananya ke Primetime Communications. Program itu berterusan berjalan hampir 4 tahun dengan sejumlah 208 episod dan menjadi satu-satunya program agama terunggul di TV3 pada zamannya.

Tuesday, April 21, 2009

BELANTARA

Belantara – sebuah dokumentari mengenai keindahan hutan tropika Taman Negara menjadi hasil pertama penerbitan syarikatku Prime Time Communications Sdn. Bhd.

Program dokumentari khas untuk siaran RTM ini adalah projek sulung selepas aku meninggalkan TV3 dan membuka syarikat sendiri. Apabila mendapat kebenaran lampu hijau dari RTM, aku membuat persediaan bagi menghasilkan penerbitan pertama. Ketika itu RTM belum memberikan lagi sebutharga sebenar bagi penerbitan sebuah dokumentari setengah jam.

Oleh kerana aku belum mempunyai kakitangan, aku meminta bantuan rakan yang pernah bertugas di TV3 iaitu Hamid Mustapha untuk membantuku. Aku melantiknya Pengarah, dan memintanya mencari krew yang dipercayai yang terdiri daripada Freelancer yang mahir dalam bidang ini untuk melaksanakan tugas-tugas yang diberi. Antara mereka yang terlibat dalam penerbitan dokumentari itu ialah Din iaitu adik Zainah Anwar-Sisters in Islam sebagai penulis skrip dan temannya Hayati, Kamal Rozza dan Hamid Mustapha sendiri. Mereka berada di hutan Taman Negara hampir dua minggu untuk membuat penggambaran yang diperlukan.

Aku mengeluarkan peruntukan yang agak tinggi kerana ke semua freelancer ini adalah berpengalaman dalam bidang masing-masing - dan aku merasakan mereka perlu dibayar sedemikian. Sebagaimana projek yang menggunakan perkhidmatan freelancer, aku membayar 50 peratus peruntukan sebelum penggambaran dan membayar bakinya selepas projek diselesaikan.

Setelah siap dokumentari itu dan menghantarnya ke RTM, Pengarah Urusannya ketika itu, Salleh Patih Akhir memberitahuku Dokumentri yang diterbitkan itu dikategorikan dalam Kategori A. Berdasarkan kepada harga dalam kategori itu, RTM hanya boleh membayar RM25,000 sahaja untuk sebuah dokumentari. Mengikut perkiraanku, aku telahpun membelanjakan kos lebih daripada RM20,000 dan mengharapakan RTM membayar lebih daripada itu. Namun aku terpaksa menerima hakikat sedemikan walaupun aku tidak mengalami kerugian bagi projek pertama itu.

Apa yang memberangsangkan daripada hasil penerbitan pertama itu ialah Belantara terpilih disenaraicalun di bawah kategori Dokumentari Terbaik Anugerah Seri Angkasa tahun itu. Dan ketika malam Anugerah tiba, salah seorang penerbit Freelancer - Kamal Rozza mewakili aku merangkul Anugerah Dokumentari Terbaik Anugerah Seri Angkasa 1994.

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...