Showing posts with label DULU DULU RTM. Show all posts
Showing posts with label DULU DULU RTM. Show all posts

Wednesday, April 8, 2009

HOTEL RM15 - 06


Ketika di Bilik Berita Radio RTM, aku sering ditugaskan membuat liputan keluar kota khususnya mengenai lawatan Perdana Menteri serta kenamaan lain. Apabila tugasanoutstation ini diberikan, ia agak menarik kerana kita berpeluang keluar kota untuk menambah pengalaman penghidupan. Selalunya apabila tugasan ini dilakukan, aku diberikan kenderaan yang disediakan pemandu. Itulah yang menyeronokkan.
Tetapi ada juga bahagian yang tidak menyeronokkan- apabila tiba waktu malam untuk tidur. Oleh kerana gajiku hanya RM290 sebulan, bermakna kelayakaan tuntutan untuk penginapan hanya berjumlah maksimum RM15 semalam. Ini bermakna aku hanya layak untuk menginap di hotel-hotel murah yang yang tidak melebehi had RM15 semalam.
Pada zaman itu hotel yang berkadar RM15 semalam adalah kategori hotel murah yang terdapat di ibu negeri atau pekan-pekan kecil yang dilanggani mereka yang berpendapatan rendah serta jurujual yang berpindah randah dari kota ke kota. Oleh kerana status ku itu, aku juga dikategorikan sedemikian.
Apabila pulang ke bilik hotel selepas selesai tugasan seharian, terpaksalah aku menyelinap ke bilik untuk tidur. Dan lazimnya hotel-hotel sebegini turut dihuni dan dipenuhi oleh pelacur-pelacur tua murahan yang menyusun kerusinya di hadapan bilik kami menunggu pelanggan.
Apabila rakan-rakan wartawan senior dari organisasi akhbar lain bertanyakan hotel penginapan, pastinya aku tidak memberitahu mereka yang aku menetap di hotel berharga RM15.
Lazimnya kawan wartawan ini lebih senior dan memilikki gaji yang lebih lumayan dan layak menginap di hotel 3 bintang. Hotel lima bintang belum lagi wujud di kebanyakan bandar luar KL pada ketika itu.

Suasananya kini jauh berbeza. Apabila aku di TV3, tempat penginapan ketika membuat tugasan luar kota ataupun di luar negara- status kelayakan mencapai taraf 5 bintang. Kalau mengikut rombongan PM ke luar negara, kami ditempatkan di hotel yang sama PM menginap.
Pada peringkat awal penubuhan TV3, wartawan RTM masih mengamalkan sistem lama di mana kelayakan hotel berdasarkan kepada status gaji wartawan berkenaan. Hanya selepas beberapa tahun, rakan wartawan di RTM menerima pembiyaan menginap di hotel berbintang sebagaimana di TV3. Dengan cara ini tidaklah timbul rasa rendah diri di kalangan wartawan di jabatan kerajaan itu.

Tuesday, March 31, 2009

BERBASIKAL KE ANGKASPURI - 05


Sebagai wartawan penyiaran pelatih di Bilik Berita Radio RTM, kalau ada tugasan di luar lingkaran waktu akulah orangnya yang sering diberi tugasan. Ketua Pemberita Rosli Deli, kemudiannya Taib Abas dan seterusnya Nazli Zakuan sering menyuruh aku membuat tugasan di luar lingkaran waktu kerana aku jarang bersungut. Aku melaksanakan tugas dengan sempurna dan atas dasar ini aku mudah diarah untuk menlaksanakan tugasan sukar.
Aku melakukan sedemikian kerana percaya tugasan yang diberi perlu dilaksanakan dengan ikhlas kerana ia akan membantuku memperkaya dan menamabahkan lagi pengalaman dalam bidang kewartawanan.
Penghujung tahun misalnya, banjir besar sering berlaku di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Untuk itu, aku terpaksa berada di Bilik Berita Radio seawal 4 pagi untuk menelefon pusat maklumat banjir di Kota Bahru, Kuala Terengganu, dan Kuantan. Aku menyediakan laporan terkini mengenai jumlah mangsa banjir, jumlah pusat pemindahan yang ditutup atau dibuka, sekolah yang ditutup dan apa juga berita yang berkaitan dengan banjir untuk disampaikan kemudiaannya oleh pembaca berita pada sebelah pagi.
Aku teringat pada ketika itu, Bahagian Gerak Saraf, Kementerian Penerangan yang beribu pejabat di Angkasapuri tidak membenarkan kami menggunakan perkataan ”Mangsa Banjir”kerana menguatari perkataan ”Mangsa” itu meresahkan pendengar radio. Perkataan”Mangsa Banjir” digantikan dengan ayat ”Mereka yang terlibat dengan banjir.Begitulah telitinya mereka.
Oleh kerana Wisma Radio hanya sekitar 3 kilometer dari rumahku di Taman Seputih, maka setiap kali bertugas subuh di RTM, aku mengayuh basikal dari rumah dan memanjat Bukit Putra kira-kira jam 3.30 pagi. Oleh kerana segan dilihat petugas di Angkasapuri aku berbasikal ke pejabat, aku terpaksa menunggu waktu gelap selepas maghrib untuk berkayuh pulang ke rumah – walaupun tugasku telah selesai jam 12 tengahari- iaitu selepas 8 jam bertugas.
Pada hari biasa aku berjalan kaki pulang pergi ke RTM dari rumahku. Hanya selepas aku berhenti dari RTM dan menyambung pengajian di ITM, barulah aku mampu membeli motosikal Yamaha 100 CC bagi membolehkan aku berulangalik dari ITM Shah Alam ke RTM untuk menjalankan tugas sebagai wartawan sambilan.
Sebagai wartawan pelatih dengan gaji RM290 sebulan, aku tidak mampu untuk membeli motosikal mahupun kereta sebagai pengangkutan ke pejabat di RTM pada ketika itu.

MENJADI WARTAWAN RADIO - 04


Selepas menduduki peperiksaan Malaysian Certificate of Education,MCE dan Senior Cambridge,SC pada tahun 1969, aku mengikuti kelas Tingkatan 6 di Cambridge College - sebuah sekolah swasta di Johor Bahru yang letaknya berhadapan Pasar Besar lama. Setelah mendudukkil peperiksaan STPM dan menerima keputusan kurang membanggakan, aku mengambil keputusan untuk bekerja sahaja.

Kerjaya pertama ialah sebagai Jurusureh di Lembaga Kemajuan Johor Tenggara, KEJORA di Jalan Petri, Johor Bahru. Tugas seharianku adalah melukis lakaran pelan tanah yang berhubungkait dengan projek KEJORA. KEJORA, adalah sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab merancang pembangunan bandar di kawasan Johor Tenggara dan antara projek ternamanya ialah projek pelancungan DESARU yang ada sekarang.

Hampir setahun bekerja, aku mula bosan dengan tugas-tugas yang sama sepanjang hari. Aku mengambil keputusan untuk menghadiri satu sesi temuduga di Jalan Young di Kuala Lumpur yang memberi tawaran pekerjaan sebagai wartawan pelatih radio dengan gaji RM290 sebulan di RTM. Aku berjaya dalam temuduga itu. Untuk tidak mengecilkan hati majikan di KEJORA, aku memberitahu mereka yang aku berhasrat melanjutkan pengajian di sebuah kolej swasta di KL. Mereka tidak mahu aku berhenti dan menawarkan kenaikan pangkat sebagai Pelukis Pelan. Tawaran itu aku tolak dengan baik kerana keputusan telahpun dibuat untuk meninggalkan kampung halaman - Kg. Melayu Majidee untuk ke ibu negara. Ketika aku bertolak ke KL, stesen keretapi J.Bahru dipenuhi rakan sekampung yang berkumpul untuk mengucapkan selamat jalan kepadaku. J.Bahru yang ku huni hampir 20 tahun ditinggalkan untuk memulakan penghidupan baru di ibu negara.

Di Kuala Lumpur aku memulakan tugas sebagai Pelatih Wartawan di Bilik Berita Radio di Angkasapuri.

Setibanya di KL, aku mencari tempat tinggal sesuai dan menyewa sebuah bilik bersama sebuah keluarga China di Seksyen 17 di Petaling Jaya.

Aku kemudiannya diperlukan mengikuti kursus sebulan di South East Asia Press Centre, SEAPC di Jalan Klang Lama bersama wartawan serta pegawai Jabatan Penerangan. Antara wartawan yang mengikuti kursus termasuklah rakan dari RTM iaitu Aeshah Nun, Sharifah, Mahani dan Radzi Shafie. Rakan-rakan lain ialah Ali Mamat dari Bernama dan Shah Dadameah dari akhbar STAR. Kursus itu dibimbing oleh Pengarah SEAPC iaitu Howard Coates dan dibantu oleh bekas pengarang Berita Harian, Abu Bakar Ismail.

Setelah menghadiri kursus itu, aku berpakat dengan rakan sekerja Radzi Shafie dan beberapa rakan lain di RTM untuk berkongsi menyewa rumah terrace yang berhampiran dengan Angkasapuri iaitu di Taman Seputih di Jalan Lorni - kini Jalan Syed Putra.

Dunia kewartawananku bermula di ibukota Kuala Lumpur.

Saturday, May 24, 2008

KERJA SAMBILAN - ITM-02

Akhirnya aku mengambil keputusan melanjutkan pelajaran ke ITM pada pertengahan tahun 1975. Itupun setelah menjalani beberapa siri perbincangan dan rundingan dengan bos-bos di RTM. Pada masa itu bos-bos ni sungguh sporting. Mereka bukan sahaja memberi sokongan moral terhadap niatku melanjutkan pelajaran, malah turut membuka jalan bagiku mencari duit untuk menampung pengajian ketika di ITM. Encik Tamimuddin Karim, Pengawal Berita Radio ketika itu, mencadangkan agar aku bekerja di Bilik Berita Radio sebagai wartawan sambilan dengan gaji RM25 sehari pada setiap hujung minggu. Ini bermakna setiap hujung bulan aku masih boleh menerima gaji berjumlah RM200. Setiap minggu ketika bertugas Sabtu dan Ahad aku boleh dapat RM50. Lebih RM10 daripada gaji bekerja sebagai kakaitangan tetap. Sokongan Ketua Pemberita ketika itu, Nazli Zakuan dan Arwah Salleh Patih Akhir, Penyunting Kanan begitu mengalakkan. Salleh Patih Akhir bersama Editor RTM Mokhtar juga sanggup menjadi penjaminku ketika aku memohon biasiswa MARA untuk menyambung pengajian Sarjana ke Boston University selepas selesai belajar di ITM pada tahun 1978. Alangkah leganya. Untuk memudahkan aku pergi balik dari ITM ke RTM, aku beli sebuah motosikal Yamaha baru 100 CC. Setiap cuti semester adalah masanya untuk aku membuat duit kerana aku bekerja setiap hari dan boleh menerima gaji lebih RM500 sebulan sepanjang dua bulan cuti semester. Masa praktikal ataupun latihan amali yang disyaratkan kepada pelajar tahun akhir ITM - aku terus bertugas di RTM dan menerima gaji yang sama. Ini semua rezeki. Tuhan nak bagi. Terima sajalah. Syukur Alhamdulillah.

Wednesday, January 16, 2008

NAK MASUK ITM - ITM-01

Pada awalnya, aku tidak berniat, berhasrat mahupun berminat memasukki ITM mahupun institusi pengajian tinggi lain yang ada ketika itu. Alasannya adalah mudah. Aku adalah golongan remaja tahun 70-an yang tidak layak melanjutkan pelajaran ke mana-mana, walaupun memperolehi Gred 2 dalam peperiksaan Senior Cambridge, SC & Malaysian Certificate of Education, MCE pada tahun 1969. Pada ketika itu, mereka yang dapat Gred 1 atau mempunyai kelulusan cemerlang dalam peperiksaan STPM sahaja yang berpeluang ke universiti di UM, UKM, UPM,USM & ITM. Itulah yang ada, tidak seperti sekarang di mana peluang pendidikan begitu meluas dengan percambahan IPTA & IPTS yang menjangkau jumlah puluhan dan mungkin ratusan.
Ketika itu tidak timbul “berminat”, "berhasrat” atau "bercita-cita" melanjutkan pelajaran ke menara gading. Macam mana nak minat - kerana peluang memang tidak ada bagi golongan yang banyak bermain daripada belajar. Ketika itu, aku pasrah menjadi wartawan di
Bilik Berita
Radio, Angkasapuri sebagai wartawan pelatih dengan gaji RM190 sebulan. Gaji bulanan walaupun sedikit, tapi cukup bagiku menyewa bilik kecil dengan kos RM50 sebulan, ongkos makanan serta masih mampu menghantar sedikit wang ke kampung.
Ketika mula selesa bekerja di RTM sebagai
Cadet Reporter, kami didatangi 3 pelajar praktikal School of Masscomm, ITM. Mereka ialah dari Batch 1974-1977 iaitu Mohd Akhir Rahman (Jin Kapiak), Faridah Hitam (Black) & Tengku . Jin Kapiak kini bertugas di Labuan, Faridah Hitam dengarnya dah pencen Utusan, sementara Tengku berjiwa rakyat yang mulut celupar- tapi baik hati – entah tak tahu ke mana dan di mana. Ketika di Bilik Berita Radio, mereka bertiga menjalankan tugas sebagai wartawan praktikal. Peringkat awalnya akulah Sifu buda-budak ini. Selepas mengenali mereka barulah aku tahu, selepas menerima diploma, pelatih ITM ini menerima gaji RM560 sebulan - hampir tiga kali ganda dengan angka gaji aku. Masa itulah berdetik di hati kecil ini untuk megikuti jejak mereka. Kalau aku boleh mengajar budak tiga ekor ni buat reporting, takkan aku sendiri tak boleh belajar.
Tapi, di benak kepala masih lagi berserabut... bagaimana nak cari duit untuk menampung keperluan ketika belajar. Betullah ITM tu belajar
free, tapi duit bulanan sape nak tanggung. Takkan nak mintak Mak Bapak lagi, sedangkan masa ni, walaupun gaji RM190 ada juga disumbangkan kepada mereka. Ini nak berhenti kerja.... nak belajar lagi..... kepala ini terus berserabut....

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...