Showing posts with label DULU DULU - USA. Show all posts
Showing posts with label DULU DULU - USA. Show all posts

Wednesday, August 26, 2009

TED KENNEDY MENINGGAL

Petikan daripada bharian.com.my 26/08/09

Senator Ted Kennedy meninggal dunia

WASHINGTON: Senator Amerika Syarikat Ted Kennedy, pakatan adik beradik yang seolah-olah dilahirkan untuk memimpin, meninggal dunia akibat kanser otak. Beliau berusia 77 tahun.

Edward M Kennedy, yang disiaftkan sebagai "liberal lion" Senat yang dianggap bakal menggantikan abangnya, John, yang juga presiden, meninggal dunia di sini lewat semalam di rumah di rumahnya di Hyannis Port, Massachusetts.


"Kami kehilangan pusat keluarga kami yang tidak boleh digantikan dan kegirangan yang dibawa beliau...," kata keluarganya dalam satu kenyataan.

>>>>>>>

CATATAN PK

Takziah untuk keluarga Kennedy.

Ketika bekas senator itu menjadi calon pemilihan presiden bagi parti Demokrat pada tahun 1980 menentang Jimmy Carter, aku yang baru menyelesaikan pengajian Sarjana Kewartawanan di Boston University ketika itu, sempat menjadi seorang volunteer untuk membantu kempen-kempen di pejabatnya di kotaraya Boston.

Apa yang dilakukan adalah untuk meninjau dan melihat sendiri pendekatan pemilihan calon yang dilakukan di Amerika Syarikat. Aku berpeluang mengikuti kempen-kempennya dan membantu kerja-kerja volunteer di samping berpeluang mempelajari strategi berkempen, hubungan media dan pembangunan imej calon presiden itu.

Pemilihan calon presiden bagi parti Demoktrat ketika itu dimenangi oleh Jimmy Carter yang kemudiannya berjaya mengalahkan Presiden Nixon dari parti Republican.

Monday, December 8, 2008

BILA ISTERI DIBAWA MERANTAU - Ep. 2 - 09

Masa yang paling seronok untuk makan angin ketika di US ialah pada musim cuti terutama di musim panas. Pada ketika itu, mereka yang berkeluarga dapat berkumpul di rumah tanpa gangguan beban kuliah yang perlu dibereskan. Mereka boleh juga melancung ke tempat peranginan atau melawat rakan-rakan di universiti lain. Bagi yang mempunyai wang lebih, mereka boleh menaiki kapalterbang yang menawarkan tiket tambang murah.

Untuk yang lebih adventurers, mereka boleh mamandu kereta beribu-ribu kilometer jauhnya untuk mengunjungi tempat peranginan yang diminati. Lebuhraya di sini sangat baik, lengkap dengan motel di kiri kanan jalan. Harga minyak belum lagi melambung naik sebagaimana di Eropah ataupun negara lain. Tempat yang sering dikunjungi pastilah Florida yang menawarkan beberapa tempat seperti Miami Beach, Disneyland, Sea World serta Pusat Penerbangan Angkasa J.F.Kennedy. Di sebelah barat iaitu di California pula terdapat Disneyworld dan Hollywood. Tempat-tempat lain yang juga popular ialah Washington DC, Kotaraya New York, Grand Canyon di Arizona serta Niagara Falls di sempadan Amerika-Kanada.

Di tempat yang ramai keluarga dari tanahair, lain pula ragamnya. Mereka dapat mengunjungi rakan-rakan dan jiran setanahair.

Seringkali juga, kalau dah ramai, ciri-ciri negatif pasti wujud. Perasaan berlumba-lumba membeli perhiasan rumah atau pinggan mangkuk untuk digunakan di sini ataupun dikirimkan ke tanahair. Yang paling diminati pastilah pinggan mangkuk Pyrex ataupun Corningware, kerana tawaran harga yang murah berbanding dengan beratus-ratus ringgit di tanahair. Berkotak-kotak dibeli untuk dikirim pulang.

Bagi yang punya wang lebih, macam-macam lagi boleh dibeli, dari kerusi antik hinggakan ke kereta menjalar buatan Amerika. Kalau pulang nanti, bolehlah mendabik dada yang barang barang kepunyaanya semua barang import.

Yang berjimat - lain pula halnya. Wang biasiswa sahaja digunakan untuk menampung sara hidup seluruh keluarga. Wang gaji tidak disentuh langsung, disimpan baik-baik di bank di tanahair dan mengharapkan keuntungan faedah-interest ketika pulang nanti dan bolehlah digunakan sebagai wang pendahuluan untuk membeli rumah baru.

Kalau tidak membawa keluarga , terpaksalah hidup membujang. Hidup bujang bermakna terpaksalah memasak serta wang biasiswa kadang kala habis untuk membayar bil telefon sahaja. Masakan tidak. Berbual dengan isteri selama 3 minit pertama menelan belanja kira-kira $15 wang Malaysia. Paling pendek sepuluh minit. Kalau berbual dengan isteri sahaja, kecil hati pula anak-anak. Itu belum masuk ibu mertua, bapa mertua, kedua ibubapa dan keluarga terdekat. Terpaksalah diletakkan jam loceng di depan muka untuk menjimat waktu. Kalau tidak di hujung bulan pastinya, mereka akan mengira hutang bil telefon sahaja.

* Petikan rencana ini disiarkan di Berita Minggu dalam ruangan Warkah Salleh Kassim dari Boston, Amerika pada 10.02.1980.

BILA ISTERI DIBAWA MERANTAU - 08

Semasa di tanahair, ramai suri rumahtangga merasa beruntung sekiranya berpeluang menemani suami melanjutkan pelajaran keluar negara. Mereka yang berkerja terpaksa mengambil cuti lama bagi memastikan kejayaan suami yang lazimnya mengambil kursus di peringkat Sarjana ataupun PHD.

Di samping gaji yang lumayan, mereka mendapat elaun keluarga, serta tambang kapalterbang pergi balik. Anak-anak yang mengikut, turut beruntung kerana berpeluang melanjutkan pelajaran di sekolah luar negeri semasa umur masih muda.

Mereka yang tinggal di universiti yang kurang pelajar tanahair, harapan dan tanggapan mengenai keindahan negara yang akan dikunjungi ketika berlepas dari Lapangan Terbang Subang dulu adalah berbeza dengan realiti sebenar ketika di sini.

Keindahan yang sering dilihat di layar perak atau tv misalnya adalah hayalan semata-mata. Keindahan dari luar sebegitu superficial dan tidak sejajar dengan keindahan isi dan penghuninya. Dalam masa sesingkat-singkatnya, mereka dapati hidup di luar negeri mula membosankan. Bosan kerana kesunyian tanpa rakan, kaum keluarga yang ditinggalkan di tanahair.

Ini ditambah dengan kesibukan suami yang menumpukan masa dan tenaga mengikuti kuliah, membuat persediaan peperiksaan serta tugas-tugas kuliah lain. Bagi si isteri yang pernah bekerja, berkurung di rumah memasak, mengemas rumah dan menjaga anak-anak adalah satu rutin yang membosankan.

Untuk mendapatkan pekerjaan sekadar mengurangkan kebosanan adalah sukar. Undang-undang imigresen begitu ketat melarang melakukan apa-apa pekerjaan terutama bagi mereka yang dibiyaai dengan biasiswa kerajaan. Peluang untuk bekerja hanya diberi kepada mereka yang pembiyaannya digantung ataupun terputus sebagaimana yang dialami oleh setengah penuntut dari Iran.

Kerja yang boleh dibuat tanpa pengetahuan pihak berkenaan hanyalah dengan menjadi ”Baby Sitter” yang bayarannya begitu rendah.

Bagi yang punya anak, mereka terpaksa menghadapi masalah sosial lain. Keadaan pergaulan anak-anak di sekolah perlu diperhatikan. Cara hidup yang sering melupakan nilai dan norma ketimuran boleh mengubah pandangan anak-anak yang sebegitu mudah dipengaruhi. Perhatian yang lebih perlu dikenakan terutama kepada golongan yang meningkat ke alam remaja. Pengaruh masyarakat sezamannya di sekolah seperti menghisap rokok, dadah serta kegiatan seks bebas perlu diawasi. Sebab itu, beban tugas mendidik anak-anak tergantung kepada ibu, kerana bapa sibuk dengan tanggungjawab sebagai pelajar.

Bagi mereka yang tidak punya anak, lain pula halnya. Mereka boleh mengambil kesempatan mengikuti kursus yang ditawarkan di sini. Kalau bercadang menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana, boleh mencuba nasib memohon tempat di universiti tempatan.

Masalah biasiswa boleh difikirkan kemudian. Mereka boleh mengikhtiarkan setelah permohonan masuk ke universiti diterima. Yang tidak berminat pula, mereka terpaksalah dengan routine sehari-hari memasak, mengemas rumah dan kebanyakan masa dihabiskan menonton televisyen di siang hari yang dipenuhi dengan ”Soap Opera” yang bertemakan kisah masyarakat.

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di Berita Minggu dalam ruangan Warkah Salleh Kassim dari Boston, Amerika pada 11.05.1980.

Sunday, December 7, 2008

CABARAN DI NEGERI ORANG - 07

Tahun 1980 menjenguk sudah meninggalkan era 70-an. 17 bulan kutinggalkan tanahair, keluarga dan rakan seperjuangan. Telah sekian lama tak kudengari dendangan lagu-lagu Melayu di corong radio mahupu di layar tv dan terpisah dengan berita-berita tanahair.
Adat orang merantau. Di sini terpaksalah tabah menghadapi segala cabaran hidup yang ada. Perjuangan perlu diteruskan untuk membawa pulang segulung ijazah. Di sini, banyak yang diperolehi bukan sahaja dari empat dinding dewan kuliah universiti, malah pengetahuan yang berbentuk asam garam hidup yang membantu memperlengkapkan diri untuk menghadapi cabaran serta mengharungi ranjau mendatgang. Semangat berlumba-lumba untuk berjaya di bidang pengajian masing-masing begitu menekan sekali. Perlumbaan tikus
(rat race) untuk mendapat ilmu pengetahuan sebegitu ketara. Ini berbeza dengan tahun-tahun 60-an dan 70-an di mana ramai pelajar menggunakan masa dan tenaga untuk memperjuangkan isu yang melibatkan rakyat. Kini keadaan berubah. Mereka bertumpu di perpustakaan daripada keluar berdemonstrasi di jalanan.
Sikap ini jelas sekali kerana tuntutan hidup. Mereka terpaksa berhempas pulas belajar di waktu siang dan bekerja di waktu malam untuk menampung sara hidup serta wang
tuition pengajian yang melambung tinggi. Sama ada bentuk perubahan ini menerlurkan manusia yang bertanggungjawab untuk masyarakat atau sebaliknya masih lagi menjadi tandatanya dan sering dipersoalkan.
Penuntut Malaysia yang berbiasiswa wajar berterimakasih dan bersyuklur kerana mendapat rahmat berbentuk pembiayaan, walaupun kadangkala ia tidak mencukupi. Namun, ia satu anugerah tinggi, hasil pengorbanan serta titik peluh rakyat di Malaysia bagi membolehkan mereka berada di luar negara.
Untuk meringankan beban kenaikan harga barang sesetengah pelajar Malaysia di sini terpaksa mencari jalan keluar. Ramai daripada mereka bekerja di hujung minggu di
supermarket, kantin. perpustakaan ketika tiada kuliah atau semasa cuti di musim panas di kawasan kampus masing-masing. Lazimnya mereka tinggal di kotaraya besar memerlukan dana tambahan kerana sewa bilik dan bahan makanan berlipatkali ganda harganya. Kadangkala dua pertiga daripada jumlah biasiswa yang diterima digunakan untuk membayar sewa rumah. Di samping cabaran-cabaran ini, para pelajar kita juga tidak dapat lari daripada menghadapi desakan kuliah yang tidak mengenal batas warna kulit, asal usul serta dari negara asal mana. Ramai pensyarah di sini tidak memberi pertimbangan langsung. Ini bermakna para penuntut luar negeri, dalam masa seseingkat-singkatnya terpaksalah memahami bukan sahaja matapelajaran kuliah malah mengetahui kebudayaan serta cara hidup yang serba-serbinya asing.
Bagaimanapun, tekanan dan rintangan sebegini dapat diatasi oleh pelajar kita kerana ini tergambar daripada keputusan peperiksaan mereka yang selalunya lebih cemerlang berbanding dengan pelajar watan di sini.
Liku-liku sosial yang sering menjahanamkan terpaksa juga dihadapi. Dalam keadaan terkontang-kanting di negeri orang, tanpa bantuan rakan, keluarga lebih memudahkan mereka dipengaruhi oleh kebudayaan barat yang sentiasa menanti habuan. Sikap orang di sini yang berkiblat kepada kebendaan menelurkan sikap indivudualisme yang tebal dan menyebabkan ramai dari penuntut kita dilanda kekosongan jiwa di tambah dengan desakan-desakan kuliah yang begitu menekan.
Bagi mereka yang tidak mempunyai prinsip hidup, keteguhan iman maka mudahlah dipengeruhi, seperti daun lalang yang ditiup angin, lemah longlai di bawa ke sana ke mari. Kalau dipengaruhi ke jalan yang diredhai bersyukurlah. Kalau arah sebaliknya, moga-moga tuhan melindungi mereka.

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di
Berita Minggu dalam ruangan Warkah Salleh Kassim dari Boston, Amerika pada 10.02.1980.

Saturday, December 6, 2008

TERSADAI DI NEW YORK DENGAN 5 SEN - 06

HARI pertama tahun 1979. Keadaan kewangan kurang mengalakkan. Tapi rasa optimistik, kerana seorang kawan dari Boston akan tiba di New York bersama-sama wang lebih untuk dipinjam. Apabila perut lapar, Mansor Putih, mengajak ke China Town untuk mencari nasi goreng. Tiba di sana disambut pula dengan perarakan mengalu-alukan perhubungan diplomatik antara Beijing dan Washington. Di sudut lain, satu kumpulan lain berdemonstrasi anti perhubungan diplomatik itu. Mereka ialah golongan pro-Taiwan. Polis New York memenuhi kawasan China Town di Canal Street mengawal keadaan dan memastikan tidak berlaku perkelahian ideologi antara mereka yang mengambil bahagian.

Selesai makan, Mansor membawa kami ke Bangunan World Trade Center. Bangunan setinggi 107 tingkat itu adalah yang tertinggi di New York. Kami mengorbankan US1.50 untuk naik ke atas bangunan untuk menyaksikan hutan batu di sekeliling New York.

Hari kedua tahun 1979 matahari menjenguk muka. Tapi panasnya tidak dirasakan. Angin sejuk mengalahkan bahang panas menyebabkan kami bertiga terketar-ketar di dalam feri yang membawa kami ke Statute of Liberty. Baju tebal yang dipakai tidak memberi kesan. Selesai memanjat patung yang melambangkan kebebasan dari hujung kaki ke kepala, kami bertolak pulang. Kemudian kami singggah di bangunan PBB. Kami ke tingkat bawah untuk minum kopi di kedai PBB. Di situ juga ditempatkan kedai menjual cenderamata negara anggota. Bagaimanapun aku agak terkilan kerana tidak adapun barangan Malaysia. Batik Indonesia serta barang-barang negara jiran menarik minat pelancung.

Pulang awal ke bilik. Kawan dari Boston dijadual tiba jam 8 malam. Lepaslah sesak di dada. Adalah sikit wang untuk digunakan. Jam lapan berlalu. Dia tak juga tiba. Jam sembilan, telefon berdering. Berita cemas diterima.Dia tidak dapat datang. Cuaca buruk di Boston. Aku dan Mustafa diraut bimbang. Dia tak datang bermakna wang yang diperlukan juga tak datang. Hati sedap sedikit apabila diberitahu yang wang akan dikirim. Alhamdulillah.

Esok tidak ke mana-mana. Wang untuk berjalan-jalan sudah habis. Yang ada wang untuk makan. Itupun terpaksa mencari makanan yang murah-murah. Sekeping pizza di sini berharga 40 sen. Pizzalah makanan yang paling murah. Itupun kena makan berdiri. Kalau mahu duduk, kena cari kedai lain dengan harga lebih 20 sen. Berdiri pun berdirilah. Untuk jimat belanja. Mansor sendiri wangnya telah susut. Mustahil baginya menyara kami.

Khamis 4.1.79 – duduk saja di bilik. Wang yang dikirim dari Boston dijadual tiba hari ini. Belum dapat duit sudah berangan-angan hendak makan sedap. Telah dua hari asyik telan pizza dan air sejuk. Wang dikocek tinggal $2.00. Mustafa dah kering. Mansor punya wang lebih sedikit dari kami, tapi kami tidak mahu menyusahkannya.

Wang dijadualkan tiba jam 3.00 petang. Masanya berlalu. Surat tidak juga sampai. Hati yakin akan tiba esok. Hati yang bimbang cuba ditenteramkan. Wangku tinggal seringgit. Yang lebih ku beri Mustafa. Kami pergi makan. Selepas makan kami kira duit. Aku tinggal 5 sen, Mustafa 2 sen.

Esoknya terpaksa pinjam wang Mansor untuk melapik perut. Jam 3.00 petang pergi lagi ke pejabat menerima surat di Universiti Mansur. Tiba di sana, pejabat ditutup bagi menyambut Perayaan Sabbath Yahudi. Harapan menipis. Sabtu dan Ahad memang cuti minggu. Ini bermakna kalau ditunggu wang akan hanya diterima hari Isnin.

Kepala sudah pusing. Ikhtiar mesti dibuat untuk mencari duit untuk pulang ke Boston. Mula menyumpah diri. Kalau dah tahu nak berjalan jauh, kenapa tak dibawa wang lebih.

Teringat kawan sekuliah yang menetap di New York semasa cuti. Mustafa menelefonnya. Dia ada. Kami mengadu hal. Mahu pulang ke Boston. Sudah jemu dengan pizza dan pahit maung New York. Dia faham. Sejam kemudian dia datang...Ketika dalam bas dalam perjalanan pulang termenung mengenangkan kebesaran Tuhan. Dalam sesak-sesak dengan lima sen di kotaraya New York ada juga hamba Allah yang sudi menolong.

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di Berita Minggu di dalam Warkah Salleh Kassim dari Amerika pada 11.02.79.

Sunday, November 30, 2008

NEW YORK- NEW YORK - 05

JAM baru sembilan pagi waktu Bloomington, Indiana. Berpisah dengan teman-teman yang baru dikenali di lobi Ramada Inn setelah lima hari bersidang membincangkan masalah yang melibatkan negara.
Persidangan yang bermula pada 25 Disember 78 itu bertemakan ”Pembangunan Malaysia : Penilaian dan Masa Depannya” boleh dianggap berjaya, sekurang-kurangnya menyedarkan mereka yang belum sedar mengenai perkara yang berlaku di tanahair setelah lama ditinggalkan.
Teman-teman sekereta dari Boston belum mahu pulang. Mereka mahu ke Chicago- di sebelah utara. Aku bukan tak mahu mengikut. Wang dikocek tidak mengizinkan. Oleh yang demikian aku dan Mustafa, teman serumah dan sekuliah terpaksa mencari kenderaan lain yang mahu pulang.
Bagaianmanapun, kami bercadang singgah di New York yang terpaksa dilalui dalam perjalanan pulang. Kota yang menerima 20 juta pelancung tahun lalu diharap sudi menerima kami. Mansur Putih yang tinggal di New York telahpun diberitahu yang kami akan singgah di tempatnya. Kami tiba jam 3.00 pagi setelah memanaskan pungggung di kereta selama 18 jam. Sungguhpun waktu sebegitu lewat, Kota New York masih sebok dengan kegiatannya.
Aku mengejut Mansur di biliknya. Dia rupa-rupanya masih diulit mimmpi. Sungguhpun mata mengantuk, terpaksa dibuka luas-luas melayan Mansur yang sebegitu ghairah mahu berbual setelah dikejutkan. Aku terpaksa tidur dulu dan Mustafa melayannya.
Esok paginya - Bangun awal. Hari terakhir di tahun 1978 – 31 Disember. Kami meninggalkan studio Mansur untuk sarapan dan bercadang melihat kotaraya New York hari itu. Cuaca kurang mengalakkan, seolah-olah meratapi perpisahan tahun 1978. Kami tidak boleh ke mana-mana. Hujan terlalu lebat. Kami hanya ke Universiti Columbia tempat Mansur Putih menyambung pengajian dari ITM dalam bidang Perfileman. Sempat juga meninjau Harlem – kawasan kediaman kulit hitam – dari jauh. Kami bercadang mengunjungi masjid di Harlem, tetapi tidak berbuat demikian kerana kesempitan waktu.
Sebelah malamnya perayaan tahun baru disambut di seluruh Amerika. Di New York ia diadakan di Time Square. Kami bertiga keluar awal untuk turut menyaksikan kota tersebut mengalu-alukan kedatangan tahun baru ketika tengah malam. Suasana malamnya pun seolah-olah seperti siang. Manusia seperti semut di setiap lorong-lorong keretaibawah tanah dan stesen bas. Mereka dengan hal masing-masing seolah-olah tidak memperdulikan yang orang lain juga wujud.
Tiba di Time Square, terkejut menyaksikan lautan manusia. Mereka sudahpun membanjiri tempat tersebut awal-awal lagi. Kami sendiri terperangkap tidak boleh bergerak ke mana-mana. Tolak menolak, gesel mengesel, terpekik terlolong menjadi perkara biasa. PolisNew York berkawal rapi di setiap lokasi. Oleh kerana sudah terlalu ramai, polis sukar menjaga keadaan. Manusia yang kebanyakknya mabuk seolah-olah melupakan dunia bagi menyambut tahun baru. Aku pun pelik memikirkannya. Kejadian ganjil seperti memanjat tiang lampu, kencing di halayak ramai dan pergaduhan berlaku di depan mata. Selok saku menjadi-jadi.
Tepat jam 12 tengah malam Tahun 1979 menjenguk muka. Semuanya terpekik dan berteriak ”Happy New Year” dinyalakan di papantanda di depan mata. Selesai acara , masing-masing pulang ke rumah masing-masing.

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di Berita Minggu di dalam ruangan Warkah Salleh Kassim dari Amerika.

Saturday, November 29, 2008

BERMESYUARAT DI AMERIKA - 04


Pembangunan MALAYSIA : Penilaian dan masa depannya.”. Itulah tema Persidangan Agung & Perhimpunan Tahunan ke 10 Persatuan Mahasiswa Amerika Utara, ringkasnya PEMAU tahun 1978. Ia berlangsung selama lima hari bermula dari 25 Disember di Universiti Indiana, Bloomington.

Seramai 315 penuntut Malaysia dari beberapa universiti di Amerika Syarikat dan Kanada menghadiri upacara itu. Duta Malaysia ke Amerika, Datuk Zain Azraai merasmikan persidangan, Duta Malaysia ke Kanada, Datuk Ahmad Zainal Abidin serta wakil Menteri Pelajaran dari Kuala Lumpur, Encik Aziz Shamsuddin turut hadir.

Lapan kertas-kerja dibentang dan dibincangkan di persidangan lima hari itu. Datuk Zain Azraai dalam ucapan perasmiannya mengingatkan peserta supaya menyedari hakikat bahwa mereka bukanlah satu golongan elit baru yang akan kembali ke tanahair menggantikan sisitem kolonial British dulu. Mereka datang daripada masyarakat dan adalah sebahagian daripada mereka dan dengan demikian adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk kembali berkhidmat untuk masyarakat.

Dalam hal ini, ketika kembali ke tanahair nanti selepas tamat pengajian, hendaknya janganlah mereka hanya memperjuangkan rumah besar, kereta besar, banyak saham dan melupakan tanggungjawab.

Adalah menjadi tanggungjawab mereka memikirkan cara terbaik dan membina dalam membentuk masyarakat Malaysia yang membangun dan moden tanpa merubah kebudayaan dan norma-norma hidup ketimuran.

Tema persidangan itu bersesuaian kerana ia menimbulkan beberapa soal pokok mengenai ciri-ciri masyarakat Malaysia yang hendak dibina bersama. Ia juga menyentuh soal corak masayarakat Malaysia yang dikehendakki dan apa pula yang boleh dan sanggup dibuat untuk membinanya.

* Petikan rencana ini pernah disiarkan di akhbar Berita Minggu dalam ruangan Warkah Salleh Kassim dari Amerika.

Thursday, November 27, 2008

TERKENANG NASI LEMAK, ROJAK & LAKSA - 03

HIDUP di luar negeri penuh cabaran. Khusunya perkara yang penting dalam hidup iaitu MAKAN. Bagi mereka yang berada di luar negara, antara perkara yang sering memilukan hati bukan sahaja berpisah jauh dengan kaum keluarga dan rakan, malah perpisahan dengan berpuluh-puluh jenis makanan serta kuih-muih. Antaranya ialah Mee Rebus, Laksa, Nasi Ayam, Kuih Kuci, Pulut Panggang serta makanan paling popular - Goreng Pisang.

Terliur meningingatkan nikmatnya mengunyah makanan-makanan ini. Golongan pelajar yang kurang bernasib baik dan jarang menjamah makanan ala-Malaysia ialah yang tinggal di asrama universiti. Terpaksalah mereka makan makanan seperti Burger, Steak serta Salad sahaja. Namun, ada juga asrama universiti yang membenarkan penghuninya memasak. Tapi, Jangan dicuba-cuba masak lauk yang berkari ataupun mengoreng ikan kering. Sekelip mata sahaja, mereka yang tajam hidungnya akan mengadu hal kepada pengetua asrama.

Aku masih teringat peristiwa seorang kawan yang tinggal di asrama di sini. Kerana baru menerima kiriman rempah kari dari tanahair, dia cuba menumis kari ayam. Penghuni seasrama yang tidak biasa dengan bau pelik ini terus mengadu kepada pihak berkenaan. Sejak itu, kari ayam yang dikirim dari Malaysia bersetemkan $50 terpaksa disedekahkan kepada rakan di luar asrama. Dalam satu kes lain, beberapa penuntut kita cuba membakar satay. Jiran-jiran di sebelah mengetuk pintu kerana ingatkan ada kebakaran. Masakan tidak, Asap membakar satay berkepul-kepul keluar dari bilik. Ini menarik perhatian dan menimbulkan kecemasan jiran-jiran.

Bagi mereka yang tinggal di luar asrama, mereka tidak punya banyak masalah. Lagipun adalah lebih murah mereka memasak sendiri. Hujung minggu di Boston adalah masa untuk membelibelah di pasar borong. Kalau ke supermarket harganya tinggi sedikit berbanding pasar borong. Kerana Boston berhampiran laut, ikan, udang dan ketam agak murah dibandingkan dengan bandar lain seperti Chicago, St. Louis dan Indianapolis yang tidak berpantai.

Masa yang seronok bagi yang masih bujang ialah apabila mereka yang berkeluarga menjemput makan ke rumah. Di hujung minggu, tunggu sahajalah deringan telefon menjemput makan. Rezeki sebegini pasti tidak ditolak.

Kalau tidak menerima jemputan, mereka berkumpul di hujung minggu dan berkongsi duit untuk memasak makanan yang istimewa sedikit. Kepala ikan, ikan pari atau ikan terubuk adalah antara makanan yang diminati. Ikan jenis ini harganya murah dibandingkan dengan ikan lain. Kepala ikan terubuk mislanya sukar dimakan dengan menggunakan sudu dan garpu oleh orang-orang di sini.

Aku masih teringat peristiwa kami berkumpul untuk memasak nasi lemak. Ikan bilis, santan yang ditin dibeli di Chinatown, Boston. Kesemua yang hadir menjilat air liur apabila bau nasi lemak tanpa daun pisang itu meyelubungi bilik. Apabila siap, masing-masing berebut mahukan nasi dan sambal lebih - seolah-olah tak makan beberapa hari. Maklum sajalah tak tercuit nasi lemak hampir setahun. Setelah santapan pertama, suapan terhenti seketika. Masing-masing melihat wajah rakan lain... Nasi lemak yang dibuat itu berbeza sikit. Dari tak ada, habis juga nasi itu di makan.

Rupa-rupanya nasi itu ialah Nasi Lemak Manis. Santan yang dibeli rupa-rupanya bercampur gula.

* Petikan rencana ini disirkan di akhbar Berita Minggu di dalam ruangan Warkah Salleh Kassim dari Boston, Amerika.

MANA BERITANYA? - 02


Sekalungan bunga tahniah kepada PM, Datuk Hussein Onn, Dr. Mahathir, Tengku Razaleigh, Encik Ghafar, Datuk Musa serta pemimpin UMNO yang terpilih ke MT di perhimpunan Agung UMNO tidak lama dulu. Mungkin ucapan tahniah ini agak terlewat, tapi ia mungkin boleh dimaafkan kerana aku baru saja menerima beritanya.
Lewat menerima berita atau tidak menerimanya samasekali mengenai peristiwa tanahair adalah salah satu dilema yang dihadapi oleh penuntut Malaysia di luar negara. Kalau ada belas ikhsan kawan-kawan dan keluarga, dapatlah diikuti perkembangan tanahair sedikit sebanyak walaupun ia terlewat kira-kira dua atau tiga minggu.
Perkara ini mungkin tidak berlaku di kotaraya yang ramai penuntut Malaysia. Kerana hubungan rapat wujud antara Kedutaaan Malaysia di Washington serta persatuan anak-anak Malaysia di universiti berkenaan. Di universiti di mana jumlah penuntut Malaysia sebegitu kecil sebagaimana Boston Unversity – yang hanya mempunyai 6 penuntut adalah sukar bagi Kedutaan menghubungi kerana ketiadaan persatuan yang formal. Hendak menubuhkan persatuan pun tidak perlu kerana jumlahnya sebegitu kecil. Bagaimanapun, jumlah itu tidak termasuk penuntut dari universiti lain seperti University Massachusetts, Massachusetts Institute of Technology (MIT), University North Eastern dan Harvard University.
Bagi kami di Boston University, berita tanahair yang baru diterima dicanangkan dari mulut ke mulut sebagaimana perhubungan yang dibuat di zaman dahulu kala. Usaha ini juga dapat mempereratkan hubungan antara pelajar yang lazimnya sebok dengan kuliah sendiri.
Setelah dua bulan di sini, aku tidak berpeluang mengikuti perkembangan tanahir di akhbar-akhbar tempatan. Akhbar-akhbar seperti Boston Globe, Washington Post dan Wall Street Journal misalnya, hanya memuatkan berita tempatan serta perkembangan dunia luar. Berita-berita di radio atau TV sama ada di rangkaian ABC, NBC & CBS serupa saja kandungannya. Apa yang berlainan hanyalah adunan rencah berita yang dipersembahkan dengan cara tersendiri.
Majalah seperti Far Eastern Economic Review, Asiaweek sukar diperolehi sama ada di tepi jalan mahupun di perpustakaan. Kalau adapun di perpustakaan ia adalah terbitan lama yang pernah dibaca di Malaysia. Majalah terbitan baru seringkali direbut awal-awal oleh penuntut dari negara Asia lain seperti Korea Selatan, Filipina dan lain-lain. Majalah Times, Newsweek, Esquire dan lain-lain tidak memberi perhatian kepada perkembangan di Asia malahan lagi Malaysia.
*Petikan Rencana ini pernah disiarkan di dalam akhbar Berita Minggu di dalam ruangan Warkah Salleh Kassim dari Boston, Amerika.

Experience the natural beauty and cultural heritage of Kuala Terengganu in this captivating video showcasing its stunning landscapes and tra...