
Walau bagaimanapun perlu diingat pada ketika itu wang 5 sen boleh membeli sekeping kuih sementara 10 sen pula membolehkan kita membeli sebungkus nasi lemak ataupun roti canai mahupun mee siam. (Ketika itu kuetiw dan mee maggi belum popular – kerana ia hanya menjadi makanan kaum China).
Hanya selepas hariraya ketiga, barulah berjaya dikumpulkan duit untuk kita berbelanja ke bandar Johor Bahru yang terletak 4 batu jauhnya untuk membolehkan menonton Filem Melayu di pawagam.
Menonton Filem Melayu baru keluaran Shaw Brothers serta Cathay Keris adalah kemestian pada remaja di zaman itu. Lagipun itulah satu-satunya bentuk hiburan yang ada berbanding pada masa ini. Filem Melayu yang ditonton masih lagi dalam bentuk hitam putih.
Panggung Wayang yang ada di Johor Bahru pada tahun60-an ialah Rex di tepi Sungai Seget (Berhadapan Kompleks Tun Razak - sekarang) dan panggung Cathay di atas Bukit di sebelah bangunan Rumah Pangsa di Bukit Chagar. Lazimnya apabila tiba dipanggung, penonton mula bersesak-sesak. Saya kurang pasti harga tiketnya- rasanya 2 ringgit sahaja. Untuk jalan mudah, selalunya kami membeli tiket pasaran gelap atau Black Market dengan harga 2 kali ganda iaitu 5 ringgit. Ketika itu apa yang popular dilakukan ialah minum Coca Cola - air kotak belum wujud - berserta bungkusan kuaci - tidak seperti sekarang berbekalkan Popcorn.
Ketika Hari Raya, Aidilfitri mahupun Aidiladha Filem Melayu keluaran Jalan Ampas serta Cathay Keris bersaing hebat menarik jumlah penonton yang berlipatganda berbanding dengan hari-hari biasa. Hero-hero ternama ketika itu ialah P.Ramlee, Ahmad Mahmood, Aziz Jaffar di bawah Shaw sementara heroin popularnya pastilah Saadiah, Roseyatimah, Zaiton & Sarimah. Hero-hero lain yang bernaung di bawah Cathay Keris pula ialah Nordin Ahmad, Mustafa Maarof dan ramai lagi. Dan pastinya watak jahat Filem Melayu ketika itu ialah A.Rahim dan Mahmood June.
No comments:
Post a Comment